Review Filem 47 Meters Down Uncaged


Filem:
47 Meters Down Uncaged

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Johannes Roberts

Genre:
Pengembaraan, Seram & Ngeri

Pelakon:
John Corbett, Nia Long, Sophie Nélisse, Corinne Foxx & Etc.

Tarikh Tayangan:
29 Ogos 2019

Pengedar:
RAM Entertainment

Sinopsis:
Filem sekuel daripada filem "47 Meters Down" pada tahun 2017 ini mengisahkan mengenai empat orang gadis yang menyelam di dalam satu kawasan dimana pada zaman dahulu ia merupakan sebuah bandar sebelum musnah ditenggalami air. Namun, mereka mula menyedari yang mereka tidak bersendirian di dalam kawasan tersebut apabila mereka mula bertemu dengan spesis jerung berbahaya yang mulai mengganas dan menyerang mereka. Adakah mereka akan selamat daripada serangan jerung-jerung agresif ini? Saksikan filem yang penuh misteri dan kejutan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada RAM Entertainment untuk menghadiri tayangan filem 47 Meters Down Uncaged bertempat di TGV KLCC pada 26 Ogos 2019 yang lepas. Kami tidak pernah menonton filem pertamanya namun filem sekuel kepada 47 Meters Down ini tiada masalah untuk ditonton kerana ia merupakan sebuah naskah yang bergerak secara sendiri tanpa berkaitan dengan filem terdahulu. Secara jujurnya, kami boleh nyatakan filem ini merupakan sebuah popcorn filem yang menghiburkan untuk ditonton jika anda membuang jauh-jauh elemen logik filem yang sememangnya tidak ada di dalam filem ini.


Filem 47 Meters Down Uncaged bermula dengan adik beradik Mia dan Sasha serta dua orang rakan mereka iaitu Alexa dan Nicole yang merancang percutian mereka berempat tanpa pengetahuan ahli keluarga. Keempat-empat watak ini mempunyai karakter tersendiri yang telah dipaparkan sejak daripada awal lagi. Dari sudut karakter, tidak dinafikan penerangan yang diberikan melalui setiap adegan membantu penonton untuk mudah mengenali dan memahami keempat-empat watak ini dengan baik. Jadi, dari semasa ke semasa anda akan didedahkan dengan sikap keempat-empat watak gadis ini yang membantu memberi warna kepada penceritaan filem ini menjadi lebih menarik dan penuh kejutan. 


Filem 47 Meters Down Uncaged ini bermula baik melalui intipati kisah bandar lama di zaman lampau yang ditenggelami air yang dijadikan sebagai latar filem untuk hampir keseluruhan filem ini. Namun, semakin lama plot penceritaan filem ini boleh dikatakan merapu dari sudut logik filem jika anda memerhati, mendengar dan melihat sendiri apa yang diperkatakan sepanjang keseluruhan filem ini. Secara mudahnya, anda akan berasa hairan di kawasan yang kosong tanpa kelibat ikan kecil yang banyak dan tiba-tiba wujudnya ikan jerung yang sangat besar seolah-olah tinggal di tempat yang penuh dengan makanan. Ada satu teori tentang evolusi jerung di dalam cerita ini dimana pada akhir cerita ianya kelihatan seperti pepatah orang lama "Meludah ke langit tetapi terkena kembali muka sendiri". Selain itu, kemunculan jerung di kawasan yang kecil dan tiba-tiba menjadi luas juga sememangnya menyebabkan filem ini gagal teruk dari sudut logik filem. Banyak lagi tentang hal ini tetapi biarkan anda menontonnya sendiri.


Namun, kalau sudah namanya filem 47 Meters Down Uncaged ini ialah sejenis popcorn  filem maka cadangan kami ialah anda perlu membuang jauh-jauh logik filem atau menolak ke tepi perkara ini. Kami yakin anda pasti akan terhibur kerana kami juga terhibur menonton filem ini apabila tidak memikirkan logik filem yang sememangnya tidak wujud langsung di dalam karya ini. Banyak faktor menarik yang kami lihat ada di dalam filem ini. Pertamanya berkaitan dengan visual di dalam airnya yang sangat cantik dimana pergerakan kamera, sinematografi, skor muzik dan pencahayaan filem ini berjaya bersatu dengan cukup baik. Hal ini dilihat memberi nilai tambah kepada kehebatan teknik CGI mereka di dalam penghasilan ikan-ikan jerung ini yang pada kami kelihatan begitu realistik dan berjaya membangkitkan rasa gerun dan seram saat ikan jerung ini muncul mengejut di layar. Penggunaan teknik jump scare di dalam filem ini juga pada kami berjaya dimanfaatkan dengan sangat baik kerana berjaya mengejutkan majoriti penonton melalui adegan-adegan menarik yang penuh misteri. Kami sendiri yang pada hakikatnya sukar dikejutkan dengan teknik jump scare ini tetapi kali ini nampaknya filem ini telah berjaya mengejutkan kami sebanyak dua kali. Kami memuji kehebatan filem ini dari sudut tersebut.


Kami juga agak tertarik dengan rakaman babak-babak filem 47 Meters Down Uncaged ini di dalam air terutama babak yang memaparkan kawasan bandar lama yang ditenggelami dimana kami nampak usaha produksi filem ini di dalam menghasilkan latar tempat yang wajar dipuji. Walaupun ianya tidak lah berjaya kelihatan bersesuaian dengan usia atau zaman bandar tersebut wujud namun ianya masih boleh diberi pujian. Mesej-mesej yang cuba disampaikan di dalam filem ini sama ada berkaitan kekeluargaan atau persahabatan pula pada kami tidak terlalu kuat dan ianya ditenggelami oleh kehebatan filem ini dari sudut misteri dan kejutan yang sentiasa datang bertalu-talu terutama sekali melalui babak kemunculan atau serangan jerung yang menarik. Secara keseluruhannya, filem 47 Meters Down Uncaged ini merupakan sebuah filem yang lebih mempertaruhkan nasibnya kepada 'bintang' utama filem ini iaitu sang jerung. Pada kami pertaruhan ini agak bijak di dalam membeli jiwa penonton yang sukakan elemen komersial seperti yang ditawarkan oleh filem ini. Berbaloi buat anda yang sukakan elemen misteri dan kejutan tetapi mungkin tidak buat sesiapa yang mendambakan jalan cerita yang mantap.


Jadi, selamat menonton filem 47 Meters Down Uncaged di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 29 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Komedi Dari Indonesia Berjudul My Stupid Boss 2. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

8 Ulasan

  1. Antara ulasan yg ditunggu2 nih... TQ Hans

    BalasPadam
  2. No bad jugak cerita ni. Lebih kurang macam cerita crawl jugak kan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups macam crawl tetapi yang nih lagi merepek...hahaha

      Padam
  3. Ok lah tu.. Tak terlalu berat. Cukup sekadar tayangan senggang buat penonton yg kebanyakannya hari ni menonton umtul menghiburkan hati yg dah penat.seharian bekerja. Apa pun, nanti LeYa nak pergi tonton juga

    BalasPadam
  4. cerita langsung tak logik..hampeh btul

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahha
      sebab filem ni popcorn film
      cerita memang tak logik tetapi tetap menghiburkan lagi lah :)

      Padam