Filem Seram Mengawal Selera Penonton Malaysia

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog Hans. Baru - baru ini ramai heboh dengan kehebatan filem ...Dalam Botol yang dikatakan kutipan filem ini telah pun mencecah sebanyak RM1 juta hanya dalam 5 hari waktu tayangannya sahaja tetapi jika mengikut apa yang saya lihat di dalam carta di bawah ini memang itu semua itu hanya sekadar berbual kosong sahaja lah. Mungkin!


Sumber : FINAS


Apa - apapun, saya tidak mahu mengulas tentang kutipan filem ...Dalam Botol pun cuma bila saya melihat kembali 20 filem yang telah ditayangkan atau sedang ditayangkan mahu pun bakal ditayangkan bermula 1 Januari lalu hingga 23 Jun 2011 nanti hampir separuh daripadanya bergenre seram atau seram komedi. Kenapa filem bergenre seram menguasai pasaran filem tempatan?




Jika dikatakan filem seram tempatan mampu memberi pulangan lumayan kepada penerbit mungkin ada juga kebenarannya kerana 70% filem tempatan bergenre seram pada tahun 2010 mencatat kutipan box office dan bakinya pula mendapat kembali pulangan modal. Hanya satu atau dua sahaja filem bergenre seram yang gagal memikat hati penonton Malaysia. Itu adalah rumusan mudah pada tahun 2010.




Berbalik kepada tahun 2011 ini, sudah 3 buah filem bergenre seram atau seram komedi telah pun ditayangkan kepada umum iaitu Khurafat yang mencipta satu sejarah baru buat filem seram tempatan dengan kutipan sebanyak RM8 juta serta filem Sini Ada Hantu serta Ratu The Movie. Bagaimanapun, filem Ratu The Movie jika dilihat di dalam carta di atas memang mengalami kerugian kerana kurangnya sambutan penonton terhadap filem tersebut. Hari ini pula sebuah lagi filem bergenre seram akan ditayangkan kepada penonton iaitu filem Dilarang Masuk.




Bagi saya tidak salah untuk para pengarah di Malaysia terus - terusan menghasilkan filem bergenre sebegini cuma apa yang saya harapkan daripada mereka ialah jalan cerita serta isi yang mantap di dalam filem tersebut perlu lah selari dengan kesan khas atau CGI yang tampaknya kini lebih hebat dan bijak dimanfaatkan oleh mereka. Janganlah filem itu dibuat seperti tangkap muat sahaja kerana hasilnya nanti memang tidak kemana dan karya anda di masa hadapan akan ditolak oleh penonton atas sebab reputasi filem terdahulu anda.



Khurafat berjaya kerana jalan ceritanya yang sedikit berlainan berbanding filem - filem sebelum ini serta kebijaksanaan memanfaatkan kesan khas, solekan dan sistem bunyi yang menarik. Filem Sini Ada Hantu pula mampu mencapai kutipan setaraf dengan pembikinannya kerana mungkin terdapat satu atau dua cerita yang membawa nostalgia kepada penonton - penonton di Malaysia namun itu masih belum mencukupi untuk memberi pulangan modal kerana keuntungan kutipan akan dibahagi dua iaitu 50% kepada pemilik pawagam dan 50% kepada penerbit filem. Jadi, melihat kepada filem Ratu The Movie yang memang gagal di pasaran jika dilihat pada carta di atas maka boleh dilihat disini bahawa penonton Malaysia walaupun suka menonton filem bergenre seram tetapi masih juga bersifat selektif dan tidak juga menyukai pada filem yang agak stereotype atau klise.




Harapan kini agar karya pengarah tempatan lebih kuat dari segala segi terutamanya mesej dan jalan cerita. Lihat sahaja pada filem - filem negara seberang, sebuah filem mereka mampu menyampaikan pelbagai mesej yang menarik dengan kreativiti yang tinggi hanya dalam masa tidak sampai 2 jam namun kebanyakan filem tempatan hanya mampu menyampaikan satu mesej dengan menggunakan masa selama 2 jam(bukannya semua tetapi kebanyakkannya). Saya amat mengagumi filem Malaysia terdahulu yang berwarna hitam putih iaitu ketika zaman P.Ramlee dimana filemnya sangat hebat kerana mampu mematikan kehebatan filem - filem seberang tetapi kini kehebatan filem - filem Malaysia sering dipertikaikan atau kurangnya menonjol atau pun langsung tidak dipandang.




Diharapkan agar pengarah mahu pun penerbit filem - filem tempatan disamping menetapkan sasaran kutipan box office apalah salahnya jika kualiti filem dari segi jalan cerita dan mesej juga dititik beratkan supaya lebih segar, original dan menarik agar penonton dapat dididik melalui filem - filem tempatan.

P/S : Tidak Salah Bernilai Komersial Namun Jangan Berjiwa Kosong.


Catat Ulasan

0 Ulasan