Filem:
Karak


Pengarah:
Yusry Abd Halim


Genre:
Ngeri


Pelakon:
Shahir AF8, Shera Aiyob, Kilafairy, Md. Eyzendy, Sidek Hussain, Sobri Anuar.


Penilaian:
3 / 5


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang empat orang pelajar kolej yang sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan setelah menghabiskan masa malam mereka di Kuala Lumpur. Semasa perjalanan pulang, mereka terperangkap di dalam kesesakan jalan raya di sepanjang lebuhraya Karak. Sedang mereka menunggu kereta - kereta dihadapan bergerak kerana kesesakan yang amat teruk tiba - tiba ada seorang peminta sedekah meminta sedekah sambil menceritakan tentang kemalangan yang begitu dasyat di hadapan mereka. Oleh kerana mereka perlu pulang segera disebabkan perlu menghadiri kuliah pada keesokan paginya akhirnya mereka sepakat untuk memilih menggunakan sebatang jalan lama iaitu Karak tanpa mengetahui jalan yang mereka pilih itu akan merubah hidup mereka selama - lamanya. Mereka terserempak dengan seorang wanita bersama anaknya dan dikejar oleh sebuah kereta Volkswagen Kuning dan akhirnya mereka terbabas ke dalam hutan. Di dalam hutan mereka diganggu oleh pelbagai makhluk halus yang menyeramkan sebelum terjumpa sebuah rumah yang dihuni oleh seorang lelaki orang asli yang telah tua. Namun, kehadiran mereka disitu tidak disenangi oleh sesuatu dan kejadian aneh mula melanda. Apakah sebenarnya yang terjadi? Saksikan sendiri di pawagam berhampiran anda. 

Ulasan Hans: 

Filem ini bermula dengan adegan yang sedikit cliche tetapi dimaafkan kerana ia menunjukkan kisah - kisah yang selama ini kita pernah dengar melalui mulut ke mulut atau pun melalui bacaan iaitu tentang kisah kereta sebuah keluarga yang rosak dan si suami keluar mencari pertolongan. Apabila kereta polis datang dan mereka menyuruh si wanita keluar dari kereta dan jangan menoleh ke belakang tetapi wanita itu tetap memandang ke belakang dan kemudian terlihat si suami sedang dibunuh oleh sang hantu. Itu salah satu cerita yang selalu kita dengar tentang lebuh raya Karak selain kisah kereta Volkswagen Kuning. Jadi, walaupun kelihatan sedikit bosan bagi sesiapa yang sudah tahu tentang kisah tersebut namun adegan itu mampu membuatkan penonton terkejut kerana kehebatan kesan bunyi dan solekan wajah hantu tersebut yang kelihatan agak menarik. Lagi satu aku suka wajah bayi dalam adegan tu dengan mata dia yang bulat tu. Diakui aku sedikit terkejut pada waktu tersebut. Haha!

 Babak Permulaan Filem Karak

Adegan kemudian kembali kepada kisah 4 orang sahabat iaitu Nik(lakonan Shahir AF8), Zura(lakonan Shera Aiyob), Ida(lakonan Kilafairy) dan Jack(lakonan Md. Eyzendy). Antara keempat - empat watak ini boleh aku katakan Md. Eyzendy sahaja yang mampu memainkan watak beliau dengan berkesan berbanding yang lain. Mungkin disebabkan Md. Eyzendy sudah lama bertapak di dalam dunia drama dan filem sedangkan ketiga - tiga yang lain baru sahaja melangkah ke alam filem namun mereka tidak lah kelihatan kaku cuma masih banyak yang perlu digali dan dipelajari. Namun, aku suka melihat watak Ida yang dilakonkan oleh Kilafairy. Aku tidak pasti adakah watak yang dipegangnya itu memang dicipta untuk beliau kelihatan seperti seorang wanita yang 'amat gedik' tetapi jika betul maka dia telah berjaya melakukannya dengan cukup bergaya. Cuma babak beliau berkemban untuk mandi itu sebenarnya aku rasa tidak perlu diwujudkan pun. Ini adalah pandangan peribadi aku sahaja.

Kisah 4 Sekawan

Bagi aku tahap keseraman filem ini sangat menarik pada permulaan sehingga pertengahan sebelum aku mulai bosan sedikit demi sedikit dengan babak - babak lain selepas itu yang aku sudah boleh agak apa yang bakal terjadi. Babak tandas itu memang terbukti seram cuma aku lebih suka jika seram itu datangnya lebih kepada situasi atau riak muka berbanding dengan keadaan tandas yang 'dihias' dengan cukup 'melampau' untuk menerbitkan rasa seram di kalangan penonton. Ada juga babak si hantu wanita yang sedang mengajukan soalan kepada Jack yang pada mulanya aku rasa agak lucu tetapi kemudian terasa seram pula. Aku suka babak itu walaupun bukannya 100% kerana adegan ini mampu membuat aku sedikit seram kerana ayat - ayat yang terpacul daripada mulutnya yang membuatkan aku berkhayal tentang apa akan terjadi jika aku berada di tempat Jack. Hahaha!

 Aku Geli Gila Tengok Muka Jack Waktu Nih!

Filem ini juga menimbulkan beberapa persoalan atau babak yang kurang jelas sedikit pada aku seperti watak Tok Malam lakonan Sidek Hussain yang tiba - tiba berkata kepada Zura,"Kamu semua dah lama tak solat kan?" Mungkin betul tetapi apabila tiba - tiba soalan itu terpacul keluar maka aku sedikit bingung. Hati aku menjerit - jerit,"Apakah? Macam mana dia tahu?" tanda aku sangat kabur dengan persoalan itu. Persoalan tentang agama juga sebenarnya menarik bagi aku apabila kisah ini cuba menyampaikan satu mesej bahawa Adakah Kita Faham Apa Sebenarnya Yang Kita Baca Atau Adakah Ia Hanya Sekadar Untuk Hafalan? Cuma sayangnya kehebatan mesej itu dimusnahkan oleh adegan antara Zura dan Nik pada waktu pagi selepas tamat gangguan yang berlaku terhadap Zura. Jika yang sudah menonton pasti faham maksud aku ini.

Hantu Dalam Filem Nih Wajah Memang Seram Habis

Apa - apapun, filem ini lebih banyak membuat aku ketawa kerana elemen komedi yang terdapat di dalam filem ini. Ada yang betul - betul lucu dan ada juga unsur lucu tu timbul akibat percakapan seperti contoh percakapan yang cukup baku oleh si pengemis sewaktu mereka berempat terperangkap di lebuh raya yang sesak. Tetapi, aku memuji wajah hantu, kesan solekan, kesan bunyi serta kesan khas yang digunakan di dalam filem ini cuma aku sedikit terganggu dengan bunyi yang seperti CD tersangkut sewaktu kemunculan beberapa hantu di dalam filem ini. Apa - apapun, kelainan hantu - hantu dalam filem nih agak membuatkan aku teruja kerana aku dah tak perlu tengok hantu wanita yang berbaju putih dengan rambut rebonding yang panjang mengurai lagi. Aku puji hasil hantu untuk filem Karak nih.

Senarai Pelakon Dan Orang Kuat Filem Karak

Apa - apapun, filem ini berjaya membuatkan ramai penonton terjerit - jerit di dalam panggung cuma sayangnya tidak berjaya membuat aku turut sama menjerit tetapi unsur seram itu masih ada. Cuma filem ini berjaya membuatkan aku geli - geleman dengan solekan - solekan dasyat pada wajah pelakonnya. Apa - apapun, jalan ceritanya seharusnya digarap lebih kemas agar plot - plotnya berkembang dengan lebih rapi dan tersusun. Itu sahaja dari aku kali ini dan ini hanya pandangan peribadi aku. Masing - masing ada pandangan dan citarasa tersendiri dan pergilah menonton di pawagam berdekatan anda untuk merasai aura keseramannya.


P/S : Selepas Nih Mesti Lebuhraya Karak Sunyi. Hahahahahaha! (^_^)Y