Review Filem Raya Tak Jadi



Filem:
Raya Tak Jadi


Pengarah:
Prof. Madya A. Razak Mohaideen


Genre:
Komedi


Penilaian:
2 / 10


Pelakon:
Saiful Apek, Johan Raja Lawak, Jalaluddin Hassan, Wan Sharmila, Mak Jah & Etc.


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang seorang ahli perniagaan bernama Leo yang bakal mengalami kerugian yang besar kerana kontena yang berisi kurma-kurma yang ingin dijualnya sebelum raya tidak sampai. Jadi, dia telah merancang untuk menunda hari raya dengan menculik Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Hj.Ehsan. Dia telah mengarahkan dua pekerjanya iaitu Ali dan Abu untuk melakukan penculikan tersebut. Mereka berdua telah berjaya menculik Hj.Ehsan namun masalah timbul apabila Ali dan Abu telah tertukar teksi mereka dengan Shuib iaitu seorang pemandu teksi.

Shuib mempunyai seorang adik yang mempunyai masalah pelupa yang serius iaitu Bob. Kekecohan berlaku apabila Shuib dan Bob menemui Hj Ehsan yang disangka telah mati di dalam bonet teksi mereka.Mereka berdua telah melakukan pelbagai cara untuk meninggalkan mayat tersebut namun gagal dan membuat keputusan untuk mengebumikan mayat itu. Tiba-tiba mayat yang disangka telah mati itu hidup semula dan ini telah memeranjatkan semua orang. Hj. Ehsan kemudiannya menerangkan mengenai penculikannya. Sementara itu, Leo telah mengarahkan Ali dan Abu untuk mendapatkan semula Hj Ehsan dan mereka telah menculik Ibu dan adik perempuan Shuib dan Bob sebagai tebusan. 

Kemudian, Leo mengarahkan Shuib meminta wang tebusan daripada isteri Hj Ehsan dan menyerahkan wang tebusan tersebut dan Hj Ehsan kepadanya sebelum dia melepaskan ibu dan adik perempuan Shuib dan Bob. Leo dan dua pekerjanya telah diserbu dan ditangkap oleh polis ketika melakukan urusan penukaran tebusan dengan Shuib dan Bob. Shuib dan Bob berasa sedih kerana mereka terpaksa meraikan hari raya seperti hari raya tahun-tahun yang lepas dalam serba kekurangan. Tetapi, Hj Ehsan telah datang menziarahi mereka dan memberikan pelbagai hadiah dan duit yang banyak sebagai ganjaran menolong dia. Selain itu, Hj Ehsan juga menyukai sikap mereka yang baik. Oleh itu dia turut menawarkan Shuib dan Bob untuk bekeja dengannya.

Ulasan Hans:

Aku tidak menaruh harapan yang tinggi sewaktu menonton filem A. Razak Mohaideen kerana niat aku cuma untuk bersantai dan merehatkan badan mengenangkan Johan Raja Lawak dan Saiful Apek merupakan teraju utama yang mempunyai nama yang besar di dalam arena komedi. Kisahnya mudah dimana penyimpan mohor besar diculik gara - gara beranggapan jika penyimpan mohor diculik mungkin raya dapat  ditunda. Aku tak dapat nak pastikan perkara tersebut sebab sejarah negara sebelum ini belum ada lagi lah penyimpan mohor diculik dan jika betul diculik pun aku rasa hari raya tetap juga berlangsung. Jadi, kelemahan yang paling asasnya aku sudah nampak iaitu pada jalan ceritanya dan ia telah ditunjukkan sejak dari awal lagi filem ini bermula!

 Nasib Lah Ada 2 Pelakon Nih Dalam Filem Raya Tak Jadi!

Digambar Leo iaitu seorang peniaga berbangsa Cina dan menjual kurma tetapi masih tidak tahu apa itu bulan Ramadhan dan Syawal. Aneh kerana sebagai seorang penjual kurma besar - besaran sangat tak munasabah lah untuk peniaga seperti beliau sampai tidak tahu bulan apa orang Islam berpuasa dan raya. Sangat tak munasabah! Owh, aku terlupa! Ini sekadar untuk memberi kelucuan! Okay! Tak lucu!

 Kenapa Dato' Terima Watak Nih? Sob Sob Sob!!!

Susunan jalan cerita bagi aku kelam kabut! Sebelum aku menonton filem ini aku ada terbaca review filem ini di blog TMBF berkenaan lakonan Dato' Jalaluddin Hassan dan mungkin aku menyetujui kata - kata beliau dan disini aku aku meletakkan seorang lagi pelakon yang boleh dipersoalkan seperti Jalaluddin iaitu Noreen Noor yang memegang watak sebagai isteri kepada beliau di dalam filem ini. Dato' memakai baju bayi sambil menghisap jari manakala Noreen Noor memakai kostum Cat Woman yang tersangat lah sendat! Ia adalah sangat kelakar jika filem ini diterbitkan pada tahun 2001 dan bukannya pada tahun 2011! Aku tak tahu nak kata apa! Hanya mampu tercengang dan menonton adegan itu sehingga habis! Adakah pengarah merasakan babak itu sangat lucu? Jika anda rasa lucu maka disarankan anda pergi ke Genting Highland dan bermain Solero untuk mengejutkan anda dari tidur!!

 Babak Nih Langsung Tak Kelakar!!!

Aku sependapat juga dengan TMBF di dalam ayat beliau,"Walaupun ini sebuah komedi ringan, ini bukan komedi ringan yang bagus." Bagi aku filem ini cuba memperbodohkan penonton dan jika penonton ketawa maka semestinya anda baru pertama kali menonton filem sebegini yang datangnya dari pengarah filem ini. Jadi, apabila aku melihat kembali Entry Ini dan kemudian membandingkan pula dengan filem Raya Tak Jadi ini maka rasanya filem ini mempunyai jawapan untuk kajian pengarah tersebut.

 Senarai Pelakon Filem Raya Tak Jadi

Bagi aku sendiri sebenarnya aku tidak kisah jika sesebuah filem itu cuba menampilkan pelakon dengan watak yang bodoh - bodoh alang tetapi biarlah jalan cerita filem itu cerdik maka secara tidak langsung pelakon yang melakonkan watak yang tidak cerdik itu akan dipandang hebat di dalam filem tersebut. Tetapi, untuk filem Raya Tak Jadi............(fikir - fikirkan lah!)

P/S : Nasib Ada Johan Dan Apek!! Berjaya Juga Buat Aku Ketawa 2-3 Kali! Kalau Tidakkk....... (^_^)Y

Catat Ulasan

1 Ulasan