Filem:
Misteri Jalan Lama


Pengarah:
Afdlin Shauki


Genre:
Keluarga & Drama


Pelakon:
Que Haidar, Hans Isaac, Datuk Ahmad Tarmimi Saregar, Vanidah Imran,
Sabrina Mohammed Hassan, Namron, Adam Corrie, Sobri Anuar, Afdlin Shauki,
Nasir Bilal Khan, Yalal Chin, Liyana Jasmay, Sufian Mohamed & Etc.


Penilaian:
6 / 10


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang dua dunia berbeza dimana dua beradik iaitu Indra dan Ilya yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka untuk urusan pengebumian Iskandar iaitu ayah mereka. Indra adalah anak kandung Iskandar yang menjadi pelumba kereta profesional tetapi kuat berjudi dan seringkali meminjam daripada ah long dan ini menyebabkan hidupnya mulai tidak aman kerana kini dia diburu oleh gangster. Manakala Ilya pula adalah anak angkat Iskandar yang diberikan oleh seseorang yang misteri ketika Iskandar melalui sebatang jalan lama pada 25 tahun dahulu. Ilya merupakan seorang anak yang baik dan dia banyak membantu Iskandar membina kerjayanya. Iskandar juga sangat sayangkan Ily dan ini jugalah yang menjadi punca ketidakpuasan hati Indra lalu dia membawa diri jauh daripada keluarganya.   

Pada hari kematian Iskandar dimana buat pertama kalinya selepas 15 tahun akhirnya Indra ke pejabat ayahnya untuk mengambil surat wasiat yang ditinggalkan untuknya. Indra diminta membawa Ilya pulang kerana Ilya tidak tahu memandu. Ketika di lebuhraya tiba - tiba Indra dikejar oleh gangster dan ini membuatkan Indra mengambil keputusan menggunakan jalan lama. Ketika melalui jalan lama tersebut dan tidak semena-mena mereka memasuki ‘dunia lain’. Pelbagai peristiwa pelik dialami mereka sepanjang berada di dunia tersebut. Daripada diganggu oleh makhluk mengerikan hinggalah kepada sesuatu yang mengasyikkan. Apakah akan terjadi kepada mereka berdua? Siapakah sebenarnya makhluk tersebut? Apakah hubungan antara Ilya dandan mereka? Apakah misteri yang terdapat di jalan lama tersebut? Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan Hans:

Afdlin sememangnya seorang yang kreatif dan karya - karya beliau selalunya memang kita tidak dapat jangka kekuatan dan keistimewaan yang tersembunyi sehingga lah kita menonton hasilnya dengan mata sendiri. Bagi aku filem Misteri Jalan Lama ini mempunyai sebuah jalan cerita yang boleh dikatakan agak menarik, kreatif dan adakalanya mengujakan aku. Walaubagaimanapun, plot filem ini masih terdapat beberapa kelemahan melalui persoalan yang ditimbulkan tanpa sebarang jawapan. Filem ini sebenarnya merupakan salah sebuah filem yang boleh aku katakan agak berat dan setiap plot sebenarnya amat berhubung kait dan jika anda tertinggal untuk menonton adegan awal filem mungkin ia akan memeningkan kepala anda untuk mengikuti jalan cerita seterusnya. Nasib baik aku bukannya tergolong di dalam kelompok penonton yang tidak menyukai filem - filem berat yang memaksa anda untuk berfikir kadang - kala seperti yang terdapat di dalam filem ini.

Teraju Utama Filem Ini : Hans Isaac Dan Que Haidar

Kredit harus diberi kepada setiap pelakon di dalam filem ini terutama Hans Isaac, Que Haidar dan Namron yang berjaya menjadikan watak mereka itu seolah - olah sememangnya watak itu dihasilkan oleh mereka. Hans Isaac memang menampilkan sisi lakonan yang betul - betul cukup mantap bagi aku di dalam filem ini. Aku sukakan bagaimana beliau mengawal karakter Indra tersebut dimana ia berjaya membuat penonton adakalanya cukup benci dengan watak itu dan adakalanya bersimpati dan kadang - kadang watak tersebut berjaya di dalam menguasai emosi penonton melalui emosi karakter itu sendiri. Dari segi humor pula pujian harus diberi kepada Namron kerana berjaya menggeletek hati penonton dengan setiap patah dialog yang diungkapnya yang kelihatan cukup bersahaja. Que Haidar pula tidak dinafikan sememangnya seorang pelakon yang berkarisma dan watak Ilya juga berjaya dibawanya dengan baik.

Namron Tidak Pernah Mengecewakan

Dari segi kesan khas atau CGI pula aku rasa sememangnya ia tidak memberikan kepuasan kepada aku. Dengan Afdlin sendiri mengaku peruntukan untuk menghasilkan kesan khas ini adalah sedikit maka hasilnya juga tidak lah mampu dijelmakan sepenuhnya. Adegan akhir yang menunjukkan kapal atau bahtera yang terbang seketika mendarat di atas jalan dan kemudian terbang semula memang nampak terlalu animasi. Kesan khas yang menunjukkan akar pokok yang menjalar pula boleh dikategorikan asal boleh sahaja lah. Tetapi, apa yang amat menggelikan hati aku ialah dari segi kostum pelakon. Apabila melihat kostum puak Nian membuatkan aku ketawa kerana ianya amatlah melucukan. Aku kurang pasti apakah objektif atau perkara tersirat disebalik kebuncitan di bahagian perut yang jelas di lihat pada kostum tersebut. Apa yang aku boleh katakan disini ialah aku baru nak merasai kegagahan watak Ilya memakai persalinan perang yang lengkap tetapi apabila melihat kepada bahagian perut kostum tersebut. Eh? Kenapa perkataan kegagahan tiba - tiba mempunyai kepak dan terbang ke atas lalu hilang entah kemana? Berkenaan puak lagi satu iaitu Ghaul(aku tidak pasti ejaannya) aku dapat bayangkan jika Afdlin mempunyai wang yang lebih banyak mungkin imej puak ini akan menjadi lebih menarik dan menggerunkan. Sememangnya kostum serta senjata setiap puak kelihatan sedikit lucu namun aku faham kerana kos kewangan yang terhad jadi mungkin pada filem - filem akan datang yang bergenre sebegini mungkin boleh dilebihkan sedikit peruntukan untuk bahagian penyediaan kostum.

Puak Nian Dengan Kostum Mereka

Persoalan - persoalan yang kurang jelas dan aku mempunyai semangat ingin tahu yang cukup tinggi ialah apakah punca utama yang menyebabkan puak Nian dan puak Ghaul ini berseteru? Memang filem ini ada memberitahu bahawa puak Ghaul ini ingin menguasai dunia namun itu sahaja seperti tidak mencukupi kerana dendam yang ditonjolkan melalui puak Ghaul ini begitu mendalam sekali. Jadi, apa yang dilakukan oleh puak Ghaul ini selama 25 tahun mereka menunggu kedatangan Ilya yang merupakan putera Nian? Jika betul mereka ingin menguasai dunia dimana mereka harus menghapuskan puak Nian maka kenapa dalam jangka masa 25 tahun itu mereka tidak berbuat apa - apa untuk paling tidak melemahkan puak Nian sebelum kembalinya Ilya yang sudah diketahui mempunyai kekuatan melalui loket yang diberikan oleh ayahanda nya? Dikhabarkan juga bahawa ibu Ilya lakonan Vanida Imran yang membawa Ilya yang masih bayi ketika itu berjalan - jalan berdua - duaan dan kemudian diserang oleh ketua puak Ghaul. Kekaburan disini ialah apakah motif ibunya berani berjalan seorang diri di kawasan yang mungkin bukannya kawasan puak Nian(tidak dinyatakan jarak atau sempadan kawasan puak Nian dan puak Ghaul) tanpa dilindungi oleh panglima - panglima puak Nian sedangkan beliau ialah seorang permaisuri. Plot itu sangat lemah bagi aku. Kewajaran watak Ilya menjerit - jerit juga adakalanya kelihatan terlalu lama dan mungkin juga tidak perlu bagi aku.

Aku Suka Wajah Ketua Puak Ghaul Nih! Nama Harak Ker Apa Entah!

Skor muzik filem ini bagi aku menarik kerana ia menghidupkan suasana filem tersebut. Berkenaan pencahayaan pula aku berasa sedikit kecewa dengan filem ini. Jika diteliti sewaktu Ilya dan Indra menikmati durian di sebuah dusun itu adalah pada waktu pagi di dalam lingkungan pukul 1 hingga 3 pagi namun pencahayaan yang ditunjukkan kelihatannya seperti tidak menggambarkan keadaan tersebut. Ia sedikit mengecewakan aku namun babak Ilya menjerit dan kemudian kelihatan durian jatuh begitu banyak ke tanah sebenarnya agak menarik dan ia secara tidak langsung menggambarkan inilah Malaysia. Durian! Malaysia! Durian! Malaysia! Hahaha! Aku suka babak tersebut!

Salah Satu Adegan Di Dalam Filem Ini

Terus terang aku cakap filem ini sebenarnya memerlukan baget yang lebih tinggi dan aku pasti jika filem ini dihasilkan dengan kos paling tidak separuh daripada kos filem Hikayat Merong Mahawangsa pasti wajah filem ini akan kelihatan betul - betul mengujakan dan wow! Walaupun masih terdapat beberapa plot yang lemah sehingga menimbulkan persoalan - persoalan yang tiada jawapan namun aku suka bagaimana filem ini berakhir dengan menunjukkan watak Indra berjalan seorang diri. Menarik sebenarnya kerana dari situ pelbagai telahan akan muncul dari fikiran kita. Filem ini sebenarnya ada wawasan dan idea tersendiri cuma bagi aku mungkin Afdlin boleh menghasilkan yang lebih baik pada masa akan datang.

Vanidah Imran

Apa - apapun, jika anda seorang penonton yang hanya mahu menonton filem yang memberi anda terus - terusan jawapan tanpa perlu berfikir maka ini bukan lah filem anda. Filem ini sedikit berat dan bagi aku bukan semua menyukai filem sebegini. Namun, apa salahnya anda menonton kerana filem ini sebenarnya ada sesuatu yang menarik di dalam perkara yang tersirat disebalik sedikit kekurangan yang jelas tersurat di hadapan mata. Jadi, selamat menonton dan tahniah kepada semua pelakon dan krew filem ini kerana telah memberikan yang terbaik kepada penonton.


P/S : Satu Cadangan Aku Kepada Semua Penerbit Filem Tempatan! Sila Letakkan Sari Kata Untuk Memudahkan Penonton Memahami Perkataan - Perkataan Asing Atau Dialog Yang Tidak Jelas. Contoh Paling Jelas Ada Di Dalam Filem Ini Sendiri!

P/S Lagi: Ulasan Filem Tempatan Yang Akan Datang Ialah Filem Ombak Rindu! Insyaallah! (^_^)Y