Review Filem Gol & Gincu Vol. 2


Filem:
Gol & Gincu Vol. 2

Penilaian:
6 / 10

Pengarah:
Umi Salwana Omar 

Genre:
Komedi & Drama

Pelakon:
Diana Danielle, Ummi Nazeera, Sharifah Amani, Sazzy Falak, Syafiq Kyle,
Aedy Ashraf, Jad Hidhir, Iezahdiyana Alaudin, Tiara Anchant, Grace Ng,
Aida Noris, Intan Serah, Nik Nasuhah, Annabel Michael & Etc.

Penampilan Khas:
Ziana Zain, Nadiya Nisaa, Sherry Al-Hadad, Sarancak, Ucop, Fimie Don & Etc.

Tarikh Tayangan:
25 Oktober 2018

Pengedar:
Reds Films Sdn Bhd

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang dua orang gadis yang mempunyai nama yang sama iaitu Zakiah tetapi mempunyai karakter yang bertentangan antara satu sama lain. Mereka terpaksa menjalani hukuman khidmat sosial apabila video pergaduhan mereka di surau menjadi tular sehingga diketahui oleh pihak pengurusan universiti. Mereka berdua akhirnyanya memilih untuk melakukan kerja amal di Rumah 3R yang dihuni oleh remaja bermasalah. Mereka berdua berusaha untuk mengumpul dana untuk RUmah 3R dan secara tidak langsung menjadikan mereka berdua lebih akrab. Namun, sangkaan mereka meleset setelah menyedari bahawa kerja amal bukanlah suatu perkara yang mudah dan menyebabkan hubungan persahabatan mereka kembali berantakan. Apakah sebenarnya yang terjadi? Mampukah mereka berdua mengetepikan sikap prejudis mereka di dalam membantu gadis-gadis remaja yang tinggal di Rumah 3R? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Terima kasih diucapkan kepada saudara Ajami Hashim kerana membuka laluan untuk aku menonton filem Gol & Gincu Vol.2 sewaktu sesi Tayangan Media yang berlangsung di TGV Sunway Putra Mall pada petang 17 Oktober 2018 bersama para pelakon, penerbit, penulis dan pengarah filem ini. Selepas filem Gol & Gincu lakonan Fazura, Ashraf Sinclair, Pierre Andre dan Sazzy Falak berjaya mencetuskan fenomena pada tahun 2005 dan akhirnya setelah 13 tahun masa berlalu maka muncul pula filem Gol & Gincu Vol.2 yang diberi nafas baru serta jalan cerita dan watak-watak baru yang cuba mewakili suara generasi masa kini. Namun, filem ini masih cuba mengekalkan intipati filem Gol & Gincu sebelum ini iaitu memperkasakan wanita, persahabatan dan membentangkan isu semasa yang berlaku pada masa kini.  


Untuk permulaan, aku ingin berkongsi dahulu pandangan berkenaan perbezaan filem pertama dan filem kedua ini yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Filem Gol & Gincu diarahkan oleh seorang pengarah lelaki bernama Bernard Chauly manakala filem Gol & Gincu Vol. 2 pula diarahkan oleh pengarah wanita bernama Umi Salwana Omar. Boleh disimpulkan disini fokus utama kisahnya adalah sama iaitu kisah tentang wanita tetapi apabila ia datang daripada kaca mata yang berbeza maka perbezaannya sangat ketara. Ada yang percaya hanya lelaki yang mampu menghasilkan filem berkenaan wanita lebih baik daripada wanita sendiri. Ada pula yang percaya hanya wanita lebih layak dan tahu cara menghasilkan filem berkaitan mereka kerana lebih arif dan dekat dengan sikap dan perilaku wanita itu sendiri. Tetapi, pegangan yang mana satukah antara dua ini yang boleh diterima dan dipersetujui?


Menonton Gol & Gincu Vol. 2 membuatkan aku terasa seperti menonton filem yang 100 peratus dimonopoli wanita walaupun masih ada pelakon lelaki yang wujud di dalam filem ini. Aku pada mulanya merasakan filem Gol & Gincu terdahulu mempunyai ramai pelakon lelaki tetapi bila ditonton semula sebenarnya jumlah lah lebih kurang sama sahaja. Filem Gol & Gincu mempunyai Ashraf Sinclair, Pierre Andre dan Zahim Albakri manakala filem Gol & Gincu Vol. 2 pula membariskan Syafiq Kyle, Aedy Ashraf dan Jad Hidhir. Tetapi,kenapa aku rasa filem kali ini tiada keseimbangan seperti filem terdahulu. Apabila dinilai semula, rupa-rupanya plot cerita Gol & Gincu Vol. 2 ini tidak menyokong perkembangan watak-watak lelakinya seperti mana filem terdahulu.


Satu perbezaan tetapi berjaya memberi kelainan, keterbukaan dan pencerahan dapat dilihat apabila filem Filem Gol & Gincu Vol. 2 ini berjaya dalam diam memecahkan isu-isu taboo berkenaan penerimaan masyarakat terhadap sesuatu perkara yang sebelum ini ternyata sensitif seperti kewujudan babak-babak yang berkaitan dengan tuala wanita dan rokok. Jika filem terdahulu memang penonton tidak berpeluang menyaksikan babak-babak sebegini tetapi filem Gol & Gincu Vol. 2 ini memberi anda peluang untuk melihat dan merasainya. Memandangkan salah satu penaja utama filem ini terlibat di dalam penghasilan produk tuala wanita maka mungkin ini merupakan antara sebab utama babak tuala wanita ini banyak menghiasi filem ini namun sebenarnya secara tidak langsung ia memberikan pendidikan dan pengetahuan yang lebih memberi pemahaman kepada kaum lelaki tentang hal wajib dan normal bagi kaum wanita itu sendiri.



Aku tidak nafikan filem Gol & Gincu Vol. 2 mempunyai kekuatan tersendiri terutama dari segi humor melalui dialog-dialognya yang memang berjaya menghiburkan penonton sepanjang filem ini berlangsung. Disamping itu beberapa frasa ayat yang digunakan agak cantik dan memberikan kekuatan kepada filem ini untuk kekal berdiri dengan teguhnya di mata penonton. Namun, aku melihat plot ceritanya masih tidak mampu menandingi versi terdahulu yang disusun cantik, kemas dan berjaya membuatkan penonton mengenali bukan sahaja watak utama tetapi juga kebanyakkan watak-watak pembantunya. 



Mari kita imbas kembali hal ini di dalam filem Gol & Gincu terdahulu dimana watak-wataknya bukan sekadar mempunyai identiti tersendiri tetapi konflik yang diwujudkan juga berjaya menjadikan filem ini sebagai hak milik semua pelakonnya. Cerita bermula dengan hubungan Putri dan Eddy dimana hubungan mereka yang musnah gara-gara kebosanan Eddy terhadap Putri namun dia mula sedar Putri terlalu istimewa apabila meninggalkan Putri untuk Shasha dan bagaimana naratif ini berjaya memanfaatkan dan mengekalkan permasalahan ini dengan sangat cemerlang sehingga ke akhir kisah. Masalah Putri bukan sahaja dengan Eddy tetapi juga bersangkut paut dengan Shasha yang memandang dan menghakimi Putri seperti apa yang dia percayakan. Filem ini akhirnya berjaya membuktikan Putri sebagai seorang wanita yang manja bukannya lemah dan Shasha sebagai wanita yang lasak tidak semestinya kuat. Menariknya juga bagaimana Fazura dan Sazzy mempotretkan watak ini kerana tidak perlu sebarang bantuan untuk memberitahu bahawa yang seorang ini manja, mengada dan girlish manakala seorang lagi pula lasak dan tomboy. Konflik seterusnya melibatkan Zie dan Shasha yang cuba membuatkan penonton terfikir tentang nilai kepercayaan, persahabatan, rasa dikhianati dan toleransi. Selepas itu konflik menarik juga telah disediakan untuk watak-watak kecil yang lain seperti watak Sarah dan Fiq dimana ia memaparkan seorang wanita yang terkongkong, tidak bebas dan tunduk kepada lelaki gara-gara cinta dan sayang. Kemudian filem tersebut lebih menarik kerana ia memaparkan pula elemen kekeluargaan melalui watak Jiji, Uncle Izam dan Kak Yan yang merupakan sebuah keluarga tetapi mempunyai permasalahan semasa yang sangat menarik berkenaan kisah haruan makan anak. Istimewanya kerana watak Jiji pada awalnya digambarkan seperti gadis sekolah liar dengan rokoknya, ponteng sekolahnya sehingga tiba babak akhirnya dia disahkan keguguran angkara perbuatannya ayahnya yang durjana. Kemudian, konflik menarik dan lucu berkenaan watak Juita dan Puan Fatimah dimana ia berbicara tentang kemahuan si anak dan kehendak dan kepercayaan ibu yang taboo dan tradisional. Kemudian ia diakhiri dengan cantik oleh watak Putri dan Reza yang mencintainya dalam diam yang digambarkan melalui riak wajah sebelum akhirnya berjaya untuk berterus-terang. Gol & Gincu di tahun 2005 telah memberikan sesuatu yang sememangnya cukup mencabar untuk dicabar oleh Gol & Gincu Vol. 2 ini.



Rasa puas menonton filem Gol & Gincu Vol.2 tidak seperti yang aku rasakan sewaktu menonton filem Gol & Gincu terdahulu. Bukannya filem Gol & Gincu Vol. 2 ini tidak menarik. Aku secara jujur memang terhibur menonton filem ini. Permasalahan dan konflik yang dicetukan di dalam hubungan watak-wataknya bukan tidak ada tetapi ia lebih kepada konflik yang membawakan situasi yang sama iaitu pergaduhan. Kebanyakan konflik yang terjadi pastinya berpunca daripada pergaduhan antara watak utamanya iaitu Zack dan Yaya. Bak kata Ismet Ulam Raja dalam filem 3 Abdul,"Sudah! Sudah! Sudah! Jangan bergaduh! Asyik dengan bergaduhhhh jaaaa!" Begitu juga bila melihat kepada konflik keluarga yang sebenarnya wujud dan melibatkan kedua-dua watak utamanya tetapi ia kelihatan samar-samar sahaja. Ditambah pula dengan perwatakan kedua-dua watak ini yang adakalanya seperti tertukar menyebabkan ia sedikit mengecewakan bagi aku. Lihat pula kepada hubungan watak  Zack, Yaya dan Jiji dimana aku merasa cukup sayang kerana watak Jiji ini tidak diberi peluang untuk lebih menyerlah seperti mana pada versi terdahulu. Bagaimana pula dengan watak-watak lelaki di dalam filem ini iaitu Hakim, Mateen dan Momok? Aku lebih percaya watak-watak ini lebih kepada untuk melariskan cerita kerana tiada kekuatan dan hubung kait yang menarik seperti watak-watak lelaki di dalam filem terdahulu. Watak Mateen sebenarnya sudah berjaya memberikan sesuatu yang menarik semasa babak dia bersama Zack di dalam lif namun aura tersebut akhirnya hilang. Ada satu konflik menarik yang dicetuskan melalui watak Zack, Yaya dan Hanis dimana permulaannya menarik dimana mereka percaya Hanis seorang yang tidak ada keyakinan diri. Pertengahannya semakin menarik apabila perbuatan Zack dan Yaya telah mencetuskan kekecohan dan membuatkan Hanis berasa sangat tertekan. Tetapi, pengakhiran konflik ini sangat lemah dimana ia diselesaikan dengan begitu mudah tanpa ada sebab musabab kukuh yang menyokong ke arah penerimaan watak Hanis untuk menjadi positif sedemikian rupa. Konflik yang melibatkan watak Gangster dan Cinonet pula mengingatkan aku kepada watak Preety Sabharwal dan Komal Chautala di dalam filem Chak de! India namun sayangnya tidak ada plot yang menyokong watak-watak ini untuk menjadi kuat sedangkan watak-watak ini mempunyai keistimewaan yang cukup kuat untuk memberi lebih warna pada filem ini. Cinonet seorang gadis yang aku percaya berasal dari Sabah, merokok, pandai mencuri tetapi menyukai bidang perubatan. Watak yang punya daya tarikan yang cukup besar bagi aku tetapi sayangnya penceritaan untuk ini sekadar sepintas lalu.



Pemilihan para pelakon yang terlibat di dalam filem ini bagi aku sangat bagus cuma ada beberapa perkara yang walaupun nampak remeh tetapi ia mencacatkan sedikit aura watak-watak ini. Sebagai contoh watak Zack yang memang sekali imbas semua tahu gadis ini berpewatakan tomboy dengan ruang tidurnya yang semak seperti lelaki tetapi satu babak dia memakai baju yang tertulis perkataan tomboy. Aku ketawa sekejap memikirkan perkara ini kerana seolah-olah tidak ada kepercayaan kepada watak tersebut sehingga perlu ada babak memakai baju tersebut. Apa-apapun, aku suka bagaimana cara Diana Danielle membawakan watak Zack ini kerana bagi aku watak ini berjaya disampaikan dengan baik. Watak Yaya pula yang dibawakan oleh Ummi Nazeera bagi aku seperti terganggu dengan pelbagai objek yang seolah-olah cuba memberitahu penonton bahawa watak Yaya ini adalah watak seorang wanita yang mewakili wanita muslimah. Bukannya watak-watak ini tidak dilakonkan dengan bagus. Mereka berdua memang memberikan lakonan yang sangat mantap tetapi elemen-elemen seperti pemakaian, solekan dan barang-barang yang cuba divisualkan dengan harapan untuk menguatkan perwatakan mereka ini sebenarnya yang melemahkan watak tersebut. Watak-watak remaja wanita yang lain pula menarik dan mempunyai pelbagai identiti. Pujian harus diberikan kepada Sherry Al-Hadad yang memegang watak sebagai pihak pengurusan tertinggi tempat Yaya dan Zack belajar dimana walaupun hanya muncul dalam tiga babak sahaja jika tidak silap aku iaitu dua babak di atas kerusi dan satu babak dia berjalan keluar dari bilik tetapi dia mampu memberikan impak yang kuat untuk filem ini. 


Berkumandangnya lagu Generasiku dendangan kumpulan OAG pada babak mereka berlatih futsal sebenarnya sangat berjaya mengimbau kembali kenangan kepada filem terdahulu. Namun, sayangnya apabila lagu ini berkumandang saat babak mereka sedang berlatih. Visual tersebut sebenarnya lebih kuat jika filem ini membiarkan hanya gerakan bola dan langkah kaki sahaja yang bersuara seperti mana yang pernah dilakukan pada filem terdahulu saat Putri termimpikan Shasha di gelanggang futsal. Tambah mengecewakan apabila bunyi lagunya agak bingit dan sedikit menggangu saat menonton babak tersebut sedangkan visual yang ditayangkan menampilkan hasil-hasil sudut kamera yang sangat cantik. Serius suntingan dan tambahan efek kepada babak tersebut sangat menarik tetapi sedikit rugi kerana filem ini membiarkan lagu latar mengambil peranan sehingga menenggelamkan kecantikan visual babak tersebut.  



Aku menyukai intipati filem ini yang berkaitan dengan isu masalah seperti komen-komen keyboard warriors serta gelagat manusia yang sanggup untuk sensasikan sesuatu isu demi mengejar atau menjadikan isu tersebut panas dan tular tanpa memikirkan kesannya kepada pihak-pihak yang terlibat. Selain itu, permasalahan remaja dan wanita yang berjaya dipaparkan melalui watak-watak remaja wanita yang tinggal di Rumah 3R seperti seks luar nikah, dadah, mencuri dan gangsterisme. Elemen kekeluargaan pula berjaya digambarkan dengan baik oleh watak Yaya saat dia mulai kehilangan sumber-sumber pendapatannya daripada pihak penaja. Aku sukakan dialog-dialog Yaya dan Zack saat mereka membincangkan tentang realistik dan pentingkan diri. Bagi aku ayat-ayat itu agak padu dan berkesan.


Antara babak-babak yang menarik perhatian sepanjang menonton filem Gol & Gincu Vol. 2 ini ialah :

1) Babak-babak pertemuan awal antara Yaya dan Zack yang bukan sekadar mencuit hati tetapi punya maksud tersendiri dan menjadi kiasan kepada mereka yang memahaminya.  

2) Babak-babak yang melibatkan Sherry Al-Hadad sememangnya terbaik sehingga aku mengharapkan ada produser yang akan menerbitkan filem yang menjadikan Sherry sebagai watak utama. Serius Sherry ada sesuatu yang menarik tetapi masih belum mampu ditunjukkan kesemuanya kerana tidak berpeluang ke arah itu. 

3) Babak Zack dan Yaya di dalam van bersama Jiji dan anak-anaknya yang menghuni Rumah 3R. Babak tersebut sememangnya mampu membuatkan anda ketawa besar. Nak tahu kenalah pergi tengok filem ini.


Apa-apapun, filem Gol & Gincu Vol. 2 sebenarnya sangat menghiburkan untuk ditonton kerana momentum ceritanya bergerak pantas dan tidak meleret tanpa tujuan. Jadi, kenapa anda wajib menonton filem Gol & Gincu Vol. 2 pada 25 Oktober 2018 ini? Dibawah ini adalah sebab-sebabnya untuk anda pergi ke panggung wayang berdekatan bagi menonton filem ini.

1) Filem ini membawakan kisah serta permasalahan wanita-wanita Malaysia untuk lebih difahami terutamanya buat kaum lelaki untuk menerimanya dengan positif dan terbuka. Kebanyakan lelaki kadang-kadang bersikap prejudis dengan sikap stereotaip wanita yang sering persoalkan sebagai suatu perkara yang melecehkan tetapi filem ini mampu mendekatkan anda dengan permasalahan wanita.

2) Elemen komedi yang bermesej berjaya disampaikan dengan cukup baik di dalam keseluruhan filem ini. Anda pasti terhibur dan tidak berasa bosan melihat keletah dan gelagat pelakon-pelakonnya daripada awal sehingga penamat filem ini.

3) Peminat filem Gol & Gincu di tahun 2005 perlu menonton filem ini untuk melihat kesinambungan watak Jiji lakonan Sharifah Amani serta kemunculan istimewa watak Shasha lakonan Sazzy Falak. Sayangnya watak Putri lakonan Fazura tidak sempat membuat penampilan khas di dalam filem ini. Jika tidak pasti para peminat versi terdahulu akan bernostalgia saat menonton filem ini.

4) Sokonglah filem tempatan yang membawakan kisah wanita ini supaya selepas ini lebih ramai produser serta produksi yang berani melabur untuk menerbit dan membawakan isu wanita di dalam filem-filem keluaran mereka selepas ini. 


Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Red Films dan seluruh pihak yang terlibat di dalam menjayakan Tayangan Media Filem Gol & Gincu Vol. 2 yang berlangsung dengan meriahnya di TGV Sunway Putra Mall. Jadi, mari beramai-ramai menonton filem ini dan jangan lupa kongsikan pandangan serta komen anda tentang filem ini di ruangan komen selepas menonton. Sekian!

P/S : Tak Sabar Untuk Menyaksikan Filem-Filem Tempatan Terbaru Selepas Ini Kerana Kepelbagaian Kisah-Kisah Yang Memberikan Bayangan Filem Malaysia Berada Di Landasan Yang Betul Untuk Bangun Semula Mencabar Dunia Luar Dengan Hasil Yang Luar Biasa :)

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. wah..lagi excited nak tgk ni, but tu la..jauh..kena tunggu beli kat astro first la..which is lambat lagi of coz.. good review. tq!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih sudah baca ulasan filem nih
      Selamat menonton :)

      Padam