Review Filem Joker


Filem:
Joker

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Todd Phillips

Genre:
Jenayah, Drama & Thriller

Pelakon:
Joaquin Phoenix, Robert De Niro, Zazie Beetz, Bill Camp, Frances Conroy & Etc.

Tarikh Tayangan:
3 Oktober 2019

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Sinopsis:
Filem yang berlatarkan tahun 1980-an ini mengisahkan seorang lelaki bernama Arthur Fleck yang ingin dikenali sebagai Joker. Selepas gagal mencipta nama di dalam bidang komedi dan langsung tidak dihiraukan oleh masyarakat, Arthur berkeliaran di sekitar Bandar Gotham dengan berpakaian seperti badut namun disebabkan oleh penyakit yang dihadapinya menyebabkan dia selalu berdepan dengan musibah serta kumpulan samseng ganas. Semakin lama, kewarasan Arthur semakin hilang sedikit demi sedikit dan tanpa disangka dia mula mencetuskan kekecohan dan malapetaka di bandar itu mengikut caranya tersendiri sehingga menjadikannya sebagai seorang penjenayah ikonik yang dikenali sebagai Joker. Apakah sebenarnya yang telah dilakukan Arthur? Saksikan filem yang cukup menarik dan menyentuh emosi di pawagam berhampiran anda bermula pada 3 Oktober 2019 nanti.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak Warner Bros. Pictures untuk menghadiri tayangan istimewa untuk peminat filem Joker di TGV @ Central i-City pada 27 September 2019 yang lepas. Apa yang pasti, filem Joker merupakan antara filem terbaik untuk tahun 2019 yang telah kami tonton setakat ini dimana secara jujurnya kami sangat menyukai genre drama yang dipaparkan dimana ia disulami dengan pelbagai elemen menarik sama ada dari sudut sosiobudaya, ekonomi, kisah golongan bangsawan dan marhaen serta yang paling menarik semestinya ialah tentang masalah jiwa yang menjadi subjek menarik di dalam filem Joker ini.


Sudut sosiobudaya, kegawatan ekonomi serta kisah golongan kapitalis dan rakyat marhaen ini walaupun hanya sekadar elemen sampingan namun ia dilihat sama penting di dalam menyokong perkembangan watak Joker ini untuk dilihat meyakinkan. Seronok untuk melihat bagaimana pertembungan setiap elemen ini di dalam susur galur penceritaan watak Joker dimana bagaimana masalah ekonomi dilihat menjadi punca kepada penyebab lahirnya ramai golongan manusia yang semakin sakit jiwa dan otaknya. Lebih mengujakan untuk melihat bagaimana golongan bawahan berusaha mendapatkan hak mereka namun golongan bangsawan pula melihat dan merasakan hal tersebut sekadar satu jenaka bodoh yang tidak penting buat mereka. Filem ini bijak memaparkan hal-hal berkaitan persepsi serta kepercayaan pelbagai lapisan masyarakat sehingga membuatkan penonton sendiri akan terfikir dan terkesan dengan isi-isi menarik yang dipertontonkan di dalam filem Joker ini.


Bersesuaian dengan klasifikasi filem Joker ini yang hanya sesuai ditonton oleh penonton berusia 18 tahun dan ke atas, ia adalah sebuah filem yang sebenarnya tidak langsung cuba menghakimi tindak-tanduk insan bernama Joker ini berkaitan dengan jenayah-jenayah yang dilakukan tetapi ia membawa penonton untuk melihat punca-punca yang menyebabkan sesuatu jenayah tersebut terjadi. Jika ia ditonton oleh mereka-mereka yang masih mentah maka ia seakan-akan memberikan mereka satu bayangan dimana kejahatan perlu dibalas oleh kejahatan dan mereka akan melihat bahawa filem ini menyokong kenyataan sebegitu. Jadi, memang bagus apabila ianya diletakkan untuk tontonan 18 tahun ke atas kerana masing-masing sudah cukup dewasa untuk memahami erti sebenar frasa 'Matlamat Tidak Menghalalkan Cara'. 


Menjadi seorang manusia seperti Joker adalah satu penyeksaan yang sangat menyakitkan sekali. Kami sememangnya sangat tersentuh dan sedikit emosi melihat bagaimana watak Arthur atau Joker ini diperlakukan melalui paparan visual kehidupannya yang penuh dengan kesunyian dan penipuan yang tidak berkesudahan. Hal ini berjaya dipaparkan dengan cukup kreatif dan bijak melalui plot ceritanya yang berjaya mengekalkan momentum sederhana tetapi padat untuk membuatkan kami terpaku menonton di layar perak sejak minit pertama sehingga minit terakhir filem ini. Setiap watak yang berada dekat dengan persekitaran dan kehidupan Joker ini sebenarnya mempunyai titik sentuhan tersendiri di dalam menjadikan kisah Joker ini unik, dipercayai dari sudut logik filem dan memberi pelbagai warna untuk membuatkan kami terasa begitu dekat dengan apa yang dirasai oleh watak Joker tersebut. Menarik untuk melihat bagaimana tekanan emosi serta jiwa yang perlu dihadapi oleh watak Joker ini seorang diri saat dirinya dihina, hilang pekerjaan, dilayan seperti sampah, ditipu dan dibodohkan oleh orang yang dia sayangi serta paling memedihkan apabila dirinya mula menyukai perkara yang selama ini ditakuti dan cuba dielakkannya sebelum ini.


Persembahan lakonan daripada pelakon utama filem Joker iaitu Joaquin Phoenix bukan sekadar boleh ditakrifkan sebagai cemerlang tetapi kami merasakan pelakon ini bakal menerima pengiktirafan tertinggi untuk watak Joker ini. Bukan sahaja usahanya di dalam menampilkan bentuk fizikal yang kurus dengan mengurangkan berat badan lebih dari 20 kilogram sahaja yang wajar dikagumi tetapi juga bagaimana setiap gerak-geri, lenggok badan, penjiwaan emosi serta reaksi wajahnya berjaya menyatu dengan baik untuk mewujudkan satu roh manusia yang dilihat sangat meyakinkan terutama saat berhadapan dengan masalah kemurungan. Hal ini membuatkan kami sangat sukar untuk melihat atau menjumpai kelemahan yang ada pada watak yang dipegang oleh pelakon hebat ini. Kami yakin anda pasti dengan mudahnya dapat merasai setiap kesunyian, kesakitan, kesedihan mahu pun kepuasan yang dirasai oleh watak Joker ini disebabkan persembahan pelakon Joaquin Pheonix sememangnya sangat mantap dan berkesan. Kombinasi ketawa, kesedihan dan ketakutan adalah satu gabungan menarik yang berjaya diterjemahkan dengan cukup cemerlang oleh Joaquin yang membuatkan kami begitu kagum dengan bakat yang ada pada bintang hebat ini.


Filem Joker juga cemerlang dari sudut elemen thriller yang berjaya membuatkan kami terasa cemas dan tidak senang duduk pada beberapa babak yang mengandungi elemen tersebut. Antara babak menarik yang pasti diingati ialah babak pertemuan antara Joker dan dua rakan kerja lamanya di rumahnya yang berakhir dengan satu tragedi yang pastinya akan kekal lama di ingatan dan boleh menjadi igauan buat semua. Selain itu, babak-babak klimaks filem ini juga antara babak yang menarik dimana ianya memberikan kami satu pengalaman tontonan yang cukup mendebarkan terutama sewaktu adegan Joker berada di dalam temu bual sebuah rancangan televisyen. Setiap babak-babak ini menampilkan kesudahan yang anda tidak sangka dan menyebabkan filem ini sentiasa berjaya memberikan kejutan yang berjaya kepada kami. Apa yang membuatkan kami sukakan elemen thriller filem ini adalah disebabkan ianya bukan sekadar wujud hanya untuk mencantikkan filem yang sudah serba-serbi cantik ini. Tetapi, ianya wujud adalah bersebab dan sebabnya berjaya menyokong persoalan-persoalan yang telah ditimbulkan oleh kisah filem ini dengan cukup cantik sekali susunannya. Serius filem ini sangat cemerlang!


Filem Joker yang memilih tahun 80-an sebagai latar filemnya dengan memaparkan kisah kegawatan ekonomi di bandar Gotham yang menyebabkan pekerja pengutip sampah mogok sehingga bandar tersebut dipenuhi sampah dan tikus gergasi juga dilihat berjaya mengekalkan suasana tersebut di dalam keseluruhan filem. Sinematografi, solekan, props, busana mahu pun teknik khas solekan ngeri di dalam filem ini dilihat sangat hidup dan membantu filem Joker untuk kelihatan dipercayai. Pemilihan lagu latar filem ini juga sangat kena dengan kisah yang dipaparkan. Secara keseluruhannya, kami sangat menyukai segala intipati yang terdapat di dalam filem Joker ini namun kami harus akui filem Joker bukannya filem untuk semua terutama buat penonton yang lebih meminati filem berbentuk komersial. Tetapi, kami yakin filem Joker sangat berbaloi untuk anda tonton kerana terdapat pelbagai kejutan, mesej menarik serta kebijaksanaan mereka di dalam memaparkan elemen-elemen menarik berkaitan ekonomi, sosio budaya serta kuasa media yang berjaya digarap dan diolah dengan cukup bijaksana. Filem Joker adalah filem wajib tonton untuk tahun 2019!


Jadi, selamat menonton filem Joker di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 3 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Kollywood Berjudul Kaapan. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

14 Ulasan

  1. Oh yeah!! Film yg ditunggu². Perfect Ten oleh Hans tu. Tak sabo nak tonton. This film is no "Joke", heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      antara filem terbaik 2019 dalam carta RolloDePelicula nanti

      Padam
  2. Ad scene potong tak? Sbb kalau x silap movie ni 'r' rated

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak pasti pula sebab tengok semua okay jer
      hahahaah

      Padam
    2. ada.. biasalah tu induk perfileman malaysia

      Padam
    3. tapi banyak jer scene gore lepas...tak sure lah kalau ada potong cuma setakat tengok memang tak mengganggu sangat lah

      Padam
  3. Masuk website TGV ,GSC sentiasa pènuh ..FUll..tp Alahamdulilah bkesempatan menonton dgn rata2 penonton cina,Patut dketegori 18 sbb adegan ngeri, masa Arthur bunuh kwn baik dia..Dgn gunting..siot ngeri abih!!! Tp dia sayang di pendek tu..sbb mamat tu baik dgn dia..Tahniah ♥️🤟 rasa2 nya mesti ada sambungn JOKER2

    BalasPadam
    Balasan
    1. Masa Arthur tembak muka Robert De Nero tak ngeri?

      Padam
    2. hahahaa Tanpa Nama.
      Saya sangat suka babak tu sebab betul-betul berdebar tengok

      Padam
    3. Unknown : babak tu pun best sebab nampak real gila

      Padam
  4. Saya setuju mmg filem wajib tonton 2019, watak JOKER sangat terkesan dan dia mencari siapa diri dia sebenarnya.Siapa yang buat jahat terhadap dia akan dibunuh dan yang baik dia akan ingati. Ibunye sendiri dia sanggup bunuh kerana menipu dan mendera dia dari kecil. Bila watak Bruce keluar saya terus berkata ni Batman semasa kanak2 dan saya terus boleh meneka apa akan terjadi kepada keluarga Wayne. Saya bagi 10/10

    BalasPadam
    Balasan
    1. terbaik
      cuma seronok bila baca pandangan lain yang mengatakan Joker sebenarnya hanya buat cerita untuk buat orang bersimpati dengan dia
      saya suka baca review penonton tu

      Padam