Review Filem Motif


Filem:
Motif

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Nadiah Hamzah

Genre:
Jenayah, Drama & Keluarga

Pelakon:
Sharifah Amani, Rosyam Nor, Iedil Putra, Taqim Zaki & Etc.

Tarikh Tayangan:
26 September 2019

Pengedar:
Empire Film Solution Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang detektif dari bandar iaitu Inspektor Dewi yang telah ditugaskan untuk menyiasat sebuah kes kehilangan seorang remaja perempuan bernama Anna di sebuah pekan terpencil di Tanah Merah. Namun, dirinya tidak disukai oleh penduduk pekan itu termasuk Inspektor Rizal, detektif yang ditugaskan bersamanya. Bapa kepada Anna iaitu Hussein pula tidak percaya bahawa Inspektor Dewi mampu menjalankan tugas dan mencari anaknya. Dalam cuba merungkai dalang di sebalik kehilangan Anna, Inspektor Dewi turut dihantui konflik yang melanda dirinya. Apa sebenarnya rahsia disebalik semua ini? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 26 September 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak Empire Film Solution untuk menghadiri malam gala filem Motif bertempat di MMcineplexes eCurve, Mutiara Damansara pada 19 September 2019 yang lepas. Filem Motif ini sudah digerakkan dengan penghasilan sinopsis dan skrip bermula pada tahun 2014 sebelum menjalani penggambaran pada tahun 2017 selepas menerima dana pelaburan yang mencukupi. Kami melihat percubaan filem sulung Nadiah Hamzah ini memberikan satu  lagi keunikan baru buat filem-filem tempatan yang menjengah pawagam sepanjang tahun 2019 ini. Walaupun bukan cemerlang dari setiap sudut namun kami melihat filem ini punya elemen yang hebat di dalam beberapa aspek dan ianya wajar diberi pujian.   


Filem Motif ini sebenarnya menyuarakan isi hati wanita berkaitan poligami, penganiayaan terhadap wanita serta mengangkat wanita ke satu tahap yang lebih tinggi jika dilihat kepada jalan ceritanya. Kami dihidangkan dengan satu adegan awal dimana Inspektor Dewi sedang mendengar satu sesi ceramah ringkas di radio berkenaan poligami yang mana ia menyatakan poligami adalah satu perkara yang membuatkan banyak wanita rasa kecewa dan sedih tetapi apabila ianya digalakkan di dalam Islam maka pastinya ada kebaikan yang wujud daripada hal ini. Jadi, apabila filem Motif memaparkan dua situasi poligami yang berbeza namun membawa kepada satu makna yang sama iaitu wanita akan kecewa dan merana maka kami memahami satu perkara dimana filem ini dibuat oleh wanita untuk wanita. Ianya dikuatkan lagi dengan satu dialog yang menyatakan lelaki sudah menjumpai kebahagiaan yang ada di hadapan mata tetapi mereka tidak nampak dan akhirnya tersilap langkah sehingga kehilangan segala-galanya. Mesej berkaitan poligami ini disampaikan melalui pandangan wanita dan pada kami ianya masih menarik terutama apabila ia bijak bermain dengan beberapa adegan yang simbolik.


Tetapi, anda jangan tersilap kerana filem Motif bukannya filem yang hanya memberi tumpuan tentang poligami semata. Fokus utamanya ialah berkaitan jenayah pembunuhan yang misteri dimana ia membawa penonton untuk melihat, merasa dan meneka siapakah pembunuh sebenar di dalam filem ini. Poligami adalah salah satu asbab yang boleh dikatakan penting tetapi ialah bukannya perkara yang teragung di dalam filem ini. Kami merasakan filem ini wajar diberi pujian dari sudut susunan kronologi penceritaannya yang berjaya disusun dengan baik dan ia sememangnya menyelamatkan filem ini dan memberi satu kepuasan menonton yang optimum kepada kami sebagai penonton. Setiap susunan ini dilihat berjaya menyatukan setiap babak dengan baik disamping berjaya menimbulkan pelbagai konflik, kejutan serta perubahan plot yang menyenangkan buat sesiapa yang sukakan filem yang punya elemen-elemen ini.


Selain susunan penceritaan yang bagus, filem Motif juga berjaya tampil dengan sinematografi yang menawan serta skor bunyi yang boleh dikatakan baik dan bersesuaian dengan filem bergenre jenayah dan misteri seperti ini. Kami sangat tertarik dengan latar tempat seperti hotel murah dan hotel terbengkalai yang memberi satu aura pemandangan menarik untuk kami lebih menyelami apa yang filem ini cuba sampaikan. Lakonan para pelakon utamanya juga seperti Datuk Rosyam Nor, Iedil Putra, Sharifah Amani, Sherie Merlis dan ramai lagi tidak dapat dinafikan kehebatannya terutama dari sudut persembahan, penjiwaan emosi serta gerak tubuh yang sentiasa cuba membuatkan anda keliru di dalam mencari watak antagonis yang sebenar. Elemen humor yang turut disuntik ke dalam kisah ini juga berjaya menceriakan penonton. Namun, kami melihat ada kelompongan kepada pembinaan kisah beberapa watak yang kelihatan tidak jelas atau kurang meyakinkan. 



Pertama ialah tentang kewibawaan watak Inspektor Dewi dan Inspektor Rizal dimana kami tidak nafikan lakonan mereka menarik, menghiburkan dan punya aura tersendiri. Namun, gabungan Amani dan Taqim ini kelihatan kurang mencengkam dari sudut memberi dan menanam kepercayaan kami untuk percaya mereka berdua ini benar-benar ialah anggota polis. Kekurangan ini kami lihat datang daripada susunan frasa dialog mereka serta kurangnya adegan-adegan yang membantu mereka untuk lebih menyerlah sebagai seorang polis yang boleh dipercayai. Hal ini terjadi disebabkan kelemahan terbesar Inspektor Rizal yang sentiasa berada di dalam fasa ketakutan yang masih samar untuk dihadam oleh kami sebagai penonton. Susuk tubuh serta ketrampilan Inspektor Dewi sebagai seorang polis juga kurang meyakinkan pada pandangan kami. Selain itu, watak Kamal lakonan Azhan Rani pula dilihat kurang jelas kerana tiada penerangan yang jitu untuk karakter tersebut yang mana pada akhirnya ia menghilang tanpa sedar. Seterusnya berkaitan watak Faisal lakonan Iedil Putra dan watak Yasmin lakonan Emma Tosh yang dilihat turut mempunyai kelompongan dari sudut perkembangan watak masing-masing dimana kekurangan ini akan disedari saat anda menonton pada bahagian akhir filem ini nanti. Perkara ini bukannya terlalu mengecewakan cuma sayangnya ia boleh menjadi lebih baik. Ditambah lagi dengan momentum penceritaan pada bahagian akhir yang dilihat terlalu terkejar-kejar menyebabkan penamatnya tidak dapat memberi impak secara maksimum buat kami.


Secara keseluruhannya, filem Motif merupakan antara filem tempatan di tahun 2019 yang masih berada di kategori berbaloi untuk anda tonton di pawagam. Walaupun ada beberapa perkara yang sangat kabur dimana antaranya tentang apakah kewajaran Inspektor Dewi perlu dihantar ke Tanah Merah, lokasi tempat tinggal yang tidak disediakan sehingga perlu tinggal di hotel ayam dan babak akhir filem ini yang terlampau terkejar-kejar dimana kami tidak ingin nyatakan di dalam ulasan ini untuk mengelakkan 'spoiler'' bagi yang belum menonton, namun kami merasakan filem Motif telah meletakkan satu tahap yang sekurang-kurangnya cukup baik bagi sebuah filem tempatan yang berkonsep sebegini untuk diatasi oleh para pembikin filem tempatan lain yang bercita-cita untuk menghasilkan filem di dalam genre dan konsep yang sama dengan filem Motif. Sekali lagi kami nyatakan bahawa kekuatan utama filem Motif ini ialah susunan plot serta gaya penceritaannya yang bijak dan menarik yang membantu kami untuk sentiasa fokus menonton filem ini sehingga ke akhirnya.


Jadi, selamat menonton filem Motif di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 26 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Ad Astra. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

16 Ulasan

  1. Sharifah Amani, Rosyam Nor, Iedil Putra..line up pelakon gini paling2 8/10 ni..🙁

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama mcm film Dendam Pontianak, barisan pelakon hebat tapi dpt ulasan 4/10, heheh

      Padam
    2. tak mengecewakan lah
      boleh layan :)

      Padam
    3. unknown : Motif much more better than Dendam Pontianak untuk citarasa Hans lah :)

      Padam
  2. menarik dia punya hero dan heroin nya, akak minat filem penyiasatan nih

    BalasPadam
  3. Wajib tengok Motif diarah oleh Cannes award winning director. Dibintanggi pelakun terbaik negara ketika ini.
    Jalan cerita pun menarik ..misteri.

    BalasPadam
  4. Yup.. Support filem tempatan����hasil anak tempatan khasnya Filem Melayu������

    BalasPadam
    Balasan
    1. betul tu
      siapa lagi nak sokong kalau bukan kita kan
      tambah-tambah filem ada kualiti :)

      Padam
  5. Mase tgk filem ni waktu pagi cume ade 4 org je dlm pawagam.. Cerita penyiasatan yg susah nak dijangka.. Paling suka lakonan mantap pelakon2.. Kurang suke kat perkembangan watak.. Cerita pun mula2 slow.. Rase macam banyak maksud tersirat lagi2 endingnye yg tak berape nk faham.. Kene banyak berfikir lg kot.. Hihi..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Aik..tak faham ke ending dia?
      rasanya ending dia okay jer lah
      tak ada lah sampai tak faham
      hehehe

      Padam
    2. Saya pun x faham ending die, sape bunuh hana?

      Padam
  6. kan hp Anna( diamod bertali ) ada pada Yasmin.

    BalasPadam
  7. Haah tak faham. Last2 die sebenarnya Yasmin yang bunuh Anna ke mcm mana ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya baru tgk kat Netflix. Ending dia tak faham. Skrg tak boleh tidur. Siapa yg bunuh Ana?

      Padam