Review Filem Nezha


Filem:
Nezha

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Jiaozi

Genre:
Animasi

Pelakon:
Lu Yanting, Han Mo, Chen Hao & Etc.

Tarikh Tayangan:
26 September 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:
Filem animasi ini berdasarkan lagenda purba China dimana ia mengisahkan seorang budak lelaki bernama Nezha yang dilahirkan dari mutiara syurga oleh Primeval Lord of Heaven. Namun, dia sering dibenci dan ditakuti oleh penduduk kampung kerana mempunyai kuasa luar biasa yang ditakdirkan untuk membawa kemusnahan kepada dunia. Dia perlu membuat pilihan sama ada menjadi baik atau sebaliknya bagi mengubah takdirnya dan menjadi adiwira. Saksikan filem animasi yang menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 26 September 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan media filem animasi Nezha bertempat di TGV One Utama pada 25 September 2019 yang lepas. Filem animasi ini mula menarik perhatian ramai apabila mendapat pujian serta penilaian yang sangat positif daripada pelbagai lapisan penonton serta laman sesawang yang merujuk kepada penilaian penonton dari segi skala pemarkahan. Jadi, adakah benar filem ini betul-betul menarik atau ia hanya sebenarnya istimewa dan sesuai untuk penonton di negara tembok besar China sahaja? 


Filem animasi Nezha ini pada kami sangat menarik daripada sudut penceritaannya dimana kami cukup sukakan mesej yang dibawa berkaitan kebaikan dan kejahatan. Uniknya filem ini apabila ia memaparkan simbolik yang bertentangan dengan metafora rasional rujukan ramai sebelum ini yang menyatakan api adalah kejahatan manakala air adalah kebaikan dimana filem Nezha memaparkan perkara yang sebaliknya. Cantik untuk melihat sindiran terhadap manusia zaman kini yang sering bersikap prejudis serta bagaimana pandangan serong masyarakat yang melihat dan menilai hanya kepada luaran semata menyebabkan mereka tanpa sedar telah melahirkan dan menukar insan-insan yang pada asalnya adalah baik dan berhati putih kepada sesuatu yang ganas, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Mesej ini pada kami berjaya disampaikan dengan cukup baik dan berjaya menjadikan jalan cerita filem animasi Nezha bukan sekadar sebuah filem animasi yang kosong dan tidak bermakna. 


Kami juga melihat filem Nezha juga kaya dengan elemen kekeluargaan dimana penggunaan emosi yang sederhana tetapi bijak dimanipulasikan dengan sebaik mungkin melalui wata Nezha, ibu bapanya serta seorang rakannya berjaya memberi sentuhan rasa kepada kami sebagai penonton yang cukup menggemari elemen kekeluargaan seperti yang dipaparkan di dalam filem ini. Selain itu, filem Nezha juga punya kekuatan tersendiri dari sudut humor yang melatari hampir 70 peratus filem ini serta elemen aksi yang menarik dan menghiburkan menjadikan filem Nezha sangat menarik untuk ditonton oleh setiap lapisan umur. 


Tidak dinafikan kualiti filem animasi Nezha ini tidak lah setanding seperti mana filem-filem keluaran Disney mahu pun Pixar namun secara keseluruhannya boleh dikatakan ianya agak kemas dan ada sebahagiannya yang kelihatan segar pada pandangan kami. Ada juga beberapa bahagian kisah ini yang sedikit meleret namun ianya tidak memberi kesan terlalu ketara kerana bijak ditutupi oleh adegan komedi yang berjaya menggeletek jiwa penonton yang sukakan lawak komikal seperti kami. Secara keseluruhan, filem animasi Nezha ini memang menepati citarasa kami dan berbaloi untuk ditonton dilayar perak. 


Jadi, selamat menonton filem animasi Nezha di pawagam terpilih bermula pada 26 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Akan Kami Ulas? Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan