Review Filem The Zoya Factor


Filem:
The Zoya Factor

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Abhishek Sharma

Genre:
Komedi, Drama & Romantik

Pelakon:
Sonam Kapoor, Dulquer Salmaan, Sanjay Kapoor & Etc.

Tarikh Tayangan:
20 September 2019

Pengedar:
Antenna Entertainments

Sinopsis:
Filem inidiadaptasi dari sebuah novel karya Anuja Chauhan dengan judul yang sama dimana ia berkisarkan tentang seorang eksekutif pengiklanan bernama Zoya yang tanpa sengaja menjadi pembawa tuah kepada Pasukan Kriket India. Mereka menyedari kehadiran gadis tersebut membawa kepada kemenangan perlawanan pasukan mereka. Bukan mereka sahaja yang percaya terhadap `tuah` gadis itu tetapi juga presiden kriket dan juga seluruh negara. Hanya seorang sahaja yang masih rasa ragu-ragu iaitu Nikhil yang merupakan kapten baru pasukan India. Adakah benar Zoya pembawa tuah? Atau sebaliknya? Saksikan filem melucukan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 20 September 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood berjudul The Zoya Factor di MMcineplesex eCurve pada 23 September 2019 yang lepas. Filem Bollywood yang menampilkan kisah komedi romantik yang agak unik ini menawarkan sebuah premisnya yang berkisarkan tentang kepercayaan karut manusia kepada manusia lain yang diyakini sebagai si pembawa tuah. Hal ini di lihat menarik apabila ianya bertentangan dengan kepercayaan minoriti manusia di dalam kisah ini yang mempercayai hanya dengan usaha yang tinggi sahaja dapat memberi tuah dan kejayaan kepada mereka yang gigih berusaha. Pada kami, The Zoya Factor adalah sebuah naskah yang cukup menghiburkan untuk ditonton oleh para peminat filem Hindi.


Filem The Zoya Factor ini dimulakan dengan pengenalan watak Zoya dimana dia dilahirkan para tahun ketika India memenangi Piala Dunia Kriket dan ayah Zoya menyatakan bahawa suatu hari nanti Zoya akan memberi magis kepada kumpulan kriket India. Kemudian filem ini telah memaparkan adegan animasi yang menunjukkan bagaimana nasib baik Zoya berjaya membantu kumpulan ayah dan abangnya memenangi kejohanan kriket jalanan. Kemudian, penonton akan dipaparkan bagaimana Zoya walaupun dipercayai membawa nasib baik kepada orang lain tetapi tidak untuk dirinya sendiri apabila sering gagal dalam pelajaran atau kurang bernasib baik di dalam pekerjaan. Namun, segala-galanya berubah apabila pertemuannya dengan Nikhil Khoda yang merupakan kapten baru pasukan kriket India serta bagaimana Zoya 'menjual' tentang kisah dirinya yang dilahirkan pada tahun kehebatan India dan bagaimana nasib baiknya membantu orang-orang sekeliling. Hal ini kemudian telah dipercayai oleh pasukan kriket India apabila mereka yang sebelum ini sering kalah mulai memenangi pelbagai perlawan. Namun, Nikhil Khoda melihat ini sebagai satu virus yang sangat bahaya kepada pasukannya yang terlalu bergantung harap kepada nasib baik Zoya. Kisah ini kemudian mula memaparkan antara kepercayaan, cinta dan juga mesej-mesej menarik tentang tahyul dan falsafah kejayaan yang agak baik untuk difahami.


Filem The Zoya Factor memperkenalkan kami kepada dua pelakon yang baru kami kenali. Sonam Kapoor yang memainkan watak utama sebagai Zoya dilihat agak cemerlang di dalam menampilkan karakternya yang lurus dan adakala bodoh-bodoh alang dimana ianya agak meyakinkan untuk ditonton. Dulquer Salman yang merupakan anak lelaki pelakon lagenda Mammootty pula yang memegang watak sebagai Nikhil Khoda pada kami berjaya memberi satu persembahan lakonan yang hidup dan agak sempurna. Gabungan antara Sonam dan Dulquer Salman ini dilihat mempunyai keserasian yang sangat baik dan ia kelihatan begitu menyerlah di layar kaca. Cuma apa yang menjadi masalah berkaitan filem ini ialah momentum penceritaannya yang berkaitan dengan hubungan kisah cinta dua watak utama ini yang dilihat terlalu pantas dan tidak menyokong antara satu sama lain pada awalnya. Walaupun ianya dikategorikan sebagai sebuah kisah cinta pandang pertama namun bagaimana kisah filem ini menuju kepada perkara tersebut dilihat agak kelam dan kurang memberi impak kepada kami sebagai penonton. Namun, bahagian pertengahan dan pengakhiran dilihat agak menarik kerana kami sebagai penonton dapat melihat bagaimana sisi lain dua watak ini dipertontonkan yang membuatkan watak Zoya dan Nikhil mempunyai keunikan serta keistimewaan tersendiri. 


Kami sebenarnya agak tertarik dengan cara filem komedi romantik Bollywood ini menempelak dan menyindir kepercayaan tahyul yang masih menebal di kalangan seluruh rakyat India tanpa mengira apa kasta yang mereka wakili dengan menggunakan sukan kriket sebagai teras utama penceritaan mereka. Filem ini memaparkan bagaimana kebanyakan golongan berada, sederhana sehingga kepada agamawan disana yang mempercayai Zoya adalah seorang dewi yang membawa kebaikan dan tuah. Tetapi, menarik untuk melihat satu adegan yang memaparkan dua lelaki yang boleh dikategori sebagai golongan bawahan yang sedang berbicara sesama mereka sambil ketawa melihat kedangkalan serta kebodohan majoriti manusia yang mempercayai Zoya yang langsung tidak tahu apa-apa tentang kriket sebagai seorang pembawa tuah kepada pasukan kriket India. Adegan ini dilihat menarik kerana ia menyokong dan menjawab apa sebenarnya yang dirisaukan oleh Nikhil dimana lelaki ini tidak menyalahkan Zoya cuma tidak mahu kredit kemenangan serta usaha dan latihan mereka di atas kelihatan tidak bermakna. Ini antara perkara menarik yang berjaya diterjemahkan dengan cukup baik oleh filem The Zoya Factor ini ada pandangan kami.


Sebagai sebuah filem bercirikan sukan, kami melihat usaha keras pihak produksi terutama di dalam menjadikan bahagian serta suasana stadium kelihatan realistik adalah cukup bagus dan boleh diberi pujian. Selain itu, permainan kamera serta cara suntingan yang menarik sewaktu memaparkan gerak perlahan mahu pun ulang tayang juga dilihat cantik dan seolah-olah seperti kami benar-benar sedang menyaksikan perlawanan kriket yang sebenar. Selain banyak mesej serta nilai murni yang boleh dilihat di dalam filem ini, kami juga tidak terlupa untuk menyatakan bahawa suara latar pada permulaan dan pengakhiran berjaya menaikkan suasana keceriaan filem ini dimana pemilik suara tersebut merupakan pelakon lagenda yang cukup popular dan dikenali iaitu Shah Rukh Khan. Secara keseluruhan, filem The Zoya Factor merupakan sebuah filem ringan yang cukup menghiburkan untuk anda tonton pada minggu ini.


Jadi, selamat menonton filem The Zoya Factor di pawagam terpilih bermula pada 20 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Akan Kami Ulas? Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan