Review Filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal


Filem:
Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Adam Amiruddin
Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim
Ahmad Razuri Roseli

Genre:
Pengembaraan, Keluarga & Fantasi

Pelakon:
Asyiela Putri, Ahmad Mawardi, Mohd Amir Asyraf, Ernie Zakri & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Mac 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan pengembaraan Upin dan Ipin bersama kawan-kawan ke sebuah kerajaan dongeng bernama Inderaloka. Kisah bermula apabiila mereka terjumpa sebuah keris lama di stor rumah Tok Dalang yang membuka sebuah portal misteri yang menarik mereka masuk ke sebuah dunia lain. Di dalam pengembaraan tersebut, Upin dan Ipin serta rakan-rakan mereka terpisah kepada dua kumpulan. Di dalam perjalanan mereka untuk bertemu semula bagi mencari jalan pulang, mereka telah bertemu dengan pelbagai watak-watak dongeng popular seperti Mat Jening, Ibu Tanggang, Bawang Merah, Bawang Putih, Pak Belalang, Belalang dan ramai lagi. Tanpa mereka sedar gerak-geri mereka sedang diperhatikan oleh seorang pemerintah kejam bernama Raja Siong yang ingin memiliki keris mistik tersebut dan ingin menghapuskan mereka daripada dunia Inderaloka. Bagaimana nasib Upin dan Ipin serta rakan-rakannya yang lain? Berjayakah mereka menyelamatkan diri dan pulang semula ke dunia asal? Saksikan filem animasi hasil seratus peratus anak tempatan yang cukup hebat ini di seluruh pawagam bermula 21 Mac 2019 untuk mengetahui jawapannya. 

 Ulasan:

Alhamdulillah pihak portal filem Rollo De Pelicula mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Les' Copaque Production Sdn Bhd atas jemputan untuk menghadiri Malam Gala Filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal bertempat di GSC Mid Valley pada 5 Mac 2019 yang lepas. Secara jujurnya, kehadiran aku disana semalam tanpa membawakan sebarang harapan yang tinggi untuk filem ini. Mungkin ramai sudah mengetahui untuk tahun 2019 ini, kita akan dihidangkan dengan tiga buah filem animasi tempatan bermula dengan filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal. Kemudian dalam beberapa bulan seterusnya In Sha Allah filem animasi Boboiboy dan Ejen Ali pula akan hadir menemui para penonton di pawagam seluruh Malaysia. Ramai memilih untuk memberi pujian kepada filem Boboiboy dan Ejen Ali yang dijangka bakal bersinar dan meninggalkan jauh filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini. Menonton trailer filem dua adik beradik kembar ini juga tidak lah terlampau memberi impak yang besar buat aku pada mulanya. Jadi, apabila semalam aku berpeluang menjadi antara penonton terawal menonton filem ini maka segala anggapan aku sebelum ini musnah sekelip mata kerana filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini sangat luar biasa daripada segi jalan penceritaannya dan meninggalkan jauh karya sulung mereka iaitu Geng Pengembaraan Bermula. 


Aku tidak pasti adakah skrip penceritaan filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini memang dirancang untuk dihasilkan sebegini atau ia berlaku secara tidak disengajakan. Ia berjaya menarik perhatian bukan sekadar penonton yang terdiri daripada golongan kanak-kanak mahu pun penonton dewasa yang hanya sukakan filem sekadar untuk mendapatkan hiburan semata-mata. Tetapi, filem ini berjaya memberi nikmat kepuasan kepada peminat filem tegar, pengulas filem, pengkritik filem mahu pun penonton yang mahukan mesej-mesej subteks yang segar dan mendalam untuk digali, dikaji dan dihayati keindahannya.


Permulaan awal filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini sebenarnya merisaukan aku apabila permainan homaj filem ini tentang watak Nujum Pak Belalang serta si Belalang yang terkenal di dalam karya seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ini mengingatkan aku kepada cubaan yang sama dilakukan oleh pihak KRU Studios sewaktu menghasilkan filem Magika yang diterbitkan sekitar tahun 2010. Magika dilihat menggunakan konsep homaj ini dengan mengangkat watak-watak dongeng tempatan yang popular namun gabungan watak yang dimasukkan di dalam satu adunan filem itu nampak tidak sebati dan menyebabkan karya tersebut kelihatan bantat disana sini. Ia hanya sekadar untuk dikenang sebagai sebuah nostalgia lagenda karya dongeng orang dahulu sebagai satu bahan jenaka hiburan semata-mata. Namun, ia tersangat berbeza apabila hasil karya filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini bukan sekadar menjadikan watak-watak dongeng popular seperti Mat Jenin, Ibu Tanggang, Bawang Merah, Bawang Putih, Raja Bersiong, Singapura Dilanggar Todak dan Batu Belah Batu Bertangkup sebagai sebuah homaj biasa tetapi interprestasi atau tafsiran baru kepada kisah-kisah ini memberi satu fahaman baru yang bukan sekadar positif tetapi juga menjentik keseluruhan umat Melayu khasnya untuk mengenal jati diri dan kebanggaan mereka sendiri yang selama ini tersembunyi dek kerana fahaman kepercayaan lama yang dipasak terlalu jauh ke jurang dalam oleh sang penjajah.



Lebih menghiburkan apabila filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini turut menjadikan dua buah karya hebat seniman seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee iaitu filem Nujum Pak Belalang dan Anakku Sazali sebagai homaj yang begitu cantik apabila penceritaannya berjaya berevolusi dengan sangat baik bersama kisah-kisah dongeng rakyat yang aku sebutkan pada perenggan atas sebentar tadi. Aku tertarik dengan beberapa kisah rakyat di dalam filem ini terutamanya tentang kisah Si Tanggang dan Bawang Putih Bawang Merah. Kita semua pasti sudah sedia maklum bahawa kedua-dua kisah ini mempunyai watak protagonis dan antagonis yang memikat jiwa dan kita dapat lihat watak antagonisnya mendapat balas atas perbuatan jahat mereka pada karya asal. Namun, filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini dilihat bijak menterbalikkan kepercayaan tersebut ke arah lain tetapi masih kekal berpijak di landasan kebaikan yang positif membuatkan aku sangat terpegun dan sama sekali tidak menjangkakan aku dapat menontonnya di dalam sebuah filem animasi Malaysia seperti ini. 


Mesej yang paling jelas dapat dilih di dalam filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini ialah berkaitan hati dan kemaafan yang saling berkaitan dengan semua subjek di dalam filem ini. Antara kisah-kisah di dalam filem ini yang membuatkan aku sangat tersentuh tetapi pada masa yang sama sangat menghiburkan ialah kisah Ibu Tanggang dan anaknya si Tanggang yang disumpah menjadi batu. Aku menyukai plot penceritaan untuk kisah ini apabila watak protagonis si Ibu Tanggang ini diubah menjadi antagonis tetapi bukan sekadar suka-suka. Ia sebenarnya cuba menyampaikan tentang pengertian kemaafan di dalam pelbagai konteks dan salah satu menarik apabila Ibu Tanggang sebenarnya mengakui kekhilafannya menyumpahnya anak sendiri yang amat disayangi di saat dia berasa sangat marah tanpa berfikir panjang. Penyesalan Ibu Tanggang ini pula hanya sekadar tersimpan erat di dalam hati tanpa pernah diluahkan kepada sesiapa yang secara tidak langsung melambangkan sikap orang Melayu terutamanya yang kerap kali menyimpan rasa kecewa mahu pun marah di dalam hati. Ini secara tidak langsung juga memberikan satu kritikan sosial kepada masyarakat Melayu tentang hak dan keberanian untuk bersuara terhadap satu-satu perkara walaupun ia memedihkan hati masyarakat mereka sendiri. Menariknya kisah ini apabila kata maaf mula diungkapkan dan bagaimana watak Tanggang yang menjadi batu di atas laut mula karam di dalam lautan sambil air mata menitis daripada watak Tanggang itu juga memberikan satu tafsiran yang sangat indah. Selain ia memberi makna jelas tentang si Tanggang yang sudah suci daripada dosa dan mula diterima oleh sang pencipta untuk kembali kepada kejadian asal iaitu tanah, ia juga memberikan perlambangan yang pelbagai terhadap adegan air mata Tanggang yang memberikan pelbagai rasa seperti kelegaan, kesedihan serta rasa penyesalan yang masih tidak hilang akibat sikap derhakanya kepada si ibu sebelum ini. Aku melihat kisah Ibu Tanggang dan si Tanggang di dalam filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini sebagai sebuah kisah yang begitu hebat apabila diangkat dan diubah menjadi seperti mana yang ditonton di dalam karya ini. 


Kisah Bawang Putih Bawang Merah ini juga merupakan satu kisah yang menarik dan cukup 'nakal' untuk filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini. Kisah ini sangat terkenal di kalangan negara serantau Asean yang mana majoriti penduduknya ialah orang Melayu Islam seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei. Kenakalan yang aku maksudkan disini ialah perbezaan karakter watak yang dapat dilihat dan dibuat perbandingannya di dalam dua buah karya iaitu masing-masing dari Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia, filem lagenda ini dengan judulnya Bawang Putih Bawang Merah yang diterbitkan pada tahun 1959 hasil adaptasi novel dengan judul yang sama karya Salleh Ghani pada tahun 1955 telah menampilkan Bawang Merah sebagai watak protagonis manakala Bawang Putih ialah watak antagonis. Namun, untuk generasi Malaysia zaman kini pula yang tidak pernah menonton filem tersebut telah berpegang kepada siri sinetron popular Indonesia berjudul Bawang Merah Bawang Putih dimana watak protagonis ialah Bawah Putih dan watak antagonis pula ialah Bawang Merah. Perbezaan ini sebenarnya memberi satu persoalan menarik apabila filem ini yang berkemungkinan besar akan turut ditayangkan di negara seberang menampilkan kisah di luar norma kepercayaan mereka sebelum ini. Hal ini turut ditanya kepada aku semalam oleh beberapa teman yang menonton. Maka jawapan aku mudah dimana inilah salah satu bukti bahawa filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini mempunyai maruah yang cukup besar. Ia bukan sekadar menjawab secara sinis pertuduhan daripada segelintir golongan radikal disana yang gemar menuduh Malaysia mencuri budaya. Tetapi, filem animasi ini terbukti berani menegakkan dan mengekalkan kepercayaan kisah dongeng rakyat Malaysia yang dipercayai sejak dahulu lagi tanpa risaukan kata-kata masyakarat disana atau pun impak terhadap hasil kutipan jika benar-benar ditayangkan disana nanti. Filem kita budaya kita adalah satu slogan hebat yang tepat diungkapkan untuk filem animasi ini. 



Kisah Bawang Putih Bawang Merah di dalam filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini juga memberikan satu pandangan yang berbeza. Bawang Merah yang pasal asalnya ialah watak protagonis turut terkesan menjadi watak antagonis apabila dibebani dengan rasa bersalahnya dan kesukarannya untuk mengungkapkan perkataan maaf kepada adiknya iaitu Bawang Putih. Adegan di dalam babak-babak melibatkan Bawang Merah yang terperangkap di sebuah kawasan yang kolam air yang kontang serta daun-daun yang kekeringan layu itu memberi satu tafsiran menarik berkaitan kemaafan dan dendam. Dendam datangnya daripada kemarahan yang tercetus akibat elemen api yang panas. Kepanasan ini mengeringkan objek-objek sekitarnya dan ini yang dapat digambarkan betapa deritanya jiwa Bawang Merah yang mengambil masa terlalu lama untuk memaafkan adiknya Bawang Putih sehingga air kolam tersebut kontang sama sekali. Aku melihat kisah ini juga berjaya ditampilkan dalam plot penceritaan yang sangat bijaksana dan wajar dipuji sama seperti kisah Ibu Tanggang dan anaknya tadi.



Sebuah lagi kisah menarik di dalam filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini ialah berkaitan Mat Jenin. Peminat kisah sejarah pasti mengetahui tentang khabar angin yang menyatakan sebenarnya kisah Mat Jenin ini tidak pernah wujud di kalangan masyarakat tempatan sehinggalah kedatangan penjajah British ke Tanah Melayu. Jadi, kebanyakkan daripada teori mengandaikan kisah Mat Jenin ini sebenarnya sebagai satu bentuk manipulasi dalaman yang digunakan oleh pihak penjajah secara diam-diam untuk menjajah minda orang-orang Melayu khasnya supaya tidak terlalu bercita-cita tinggi agar tidak menjadi seperti Mat Jenin. Jadi, dapat dilihat pada zaman kini, kisah Mat Jenin ini masih meracuni pemikiran masyarakat kita dimana mana-mana individu biasa atau si marhaen yang bercita-cita tinggi pasti semangat serta motivasinya akan segera dimatikan dengan 'teguran jenaka' yang menyatakan usahlah menjadi seperti Mat Jenin. Hakikat asalnya untuk berjaya, ia pastilah bermula daripada angan-angan yang perlu direalisasikan menjadi nyata. Jadi, apabila kisah Mat Jenin di dalam filem ini mempunyai plot twist yang luar biasa mengalahkan filem Misteri Dilaila maka apa lagi yang penonton Malaysia mahukan melainkan wajibkan diri anda ke panggung wayang untuk menonton filem animasi yang hebat ini.



Hasil bicara aku bersama seorang pencinta filem tegar tentang watak Raja Bersiong ini juga menarik perhatian kami. Menariknya watak ini ditonton di dalam filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal kerana kesukaran untuk menewaskan dan menghapuskan watak ini selagi jantungnya yang dipaparkan sebagai seekor serangga yang boleh terbang tidak dihapuskan. Kami melihat jantung ini sebenarnya mewakili hati seorang individu. Cantiknya permainan cerita ini apabila ia menjadikan subjek hati ini sebagai penamat kepada watak Raja Bersiong. Kejahatan hanya dapat dibersihkan apabila hati yang hitam disucikan menjadi bersih. Jika hati yang hitam ini tidak dapat dibersihkan maka kejahatan itu akan sentiasa kekal wujud dan merosakan persekitaran yang berdekatan dengannya. Ini dapat dilihat kepada watak Raja Bersiong yang disangkakan telah mati tetapi sentiasa hidup kerana hatinya yang melambangkan kejahatan itu masih belum dibersihkan. Nampak tak betapi cantiknya subteks yang ada di dalam filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini? Sangat cantik!   



Selain itu juga, aku sangat tertarik dengan perkara berkaitan lanun, kapal dan pelabuhan yang wujud di dalam  filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini. Kanak-kanak mahu pun remaja hatta orang dewasa sekali pun yang menonton kebanyakkan terus akan teringatkan sebuah kisah lanun dan mengaitkannya dengan sebuah filem Hollywood yang terkenal di seantero dunia iaitu filem The Pirates Of The Caribbean lakonan Johnny Depp. Aku pula menontonnya dengan pandangan berlainan bercampau emosi yang berbaur antara suka dan duka. Kebanggaan aku terhadap filem ini sebenarnya apabila ia berani mengangkat dan memaparkan kisah sebenar tentang kejayaan orang-orang Melayu pada zaman Empayar Melaka yang setaraf dan sama hebat dengan Empayar Uthmaniyah dan Empayar China pada ketika itu melalui babak yang memaparkan latar Pelabuhan Megah. Perkataan Megah itu sendiri sebenarnya cuba menjentik penonton untuk sebenarnya menghargai dan berasa megah dengan sejarah bangsa sendiri yang sebenarnya hebat. Sedih yang aku maksudkan sebelum ini pula sebenarnya apabila ada yang menyatakan watak-watak lanun tersebut seakan-akan salinan kepada kisah The Pirates Of The Caribbean. Ini membuktikan masyarakat kita mempunyai pengetahuan sejarah yang begitu lemah terhadap kisah sejarah bangsanya tersendiri hasil didikan sejarah yang juga gagal memberikan maklumat dan info sebenar kepada masyarakat kita sendiri. Empayar Melaka telah membuktikan bahawa sistem pemerintahan mereka mempunyai Undang-Undang Laut serta pasukan tentera berkapal tersendiri yang digeruni musuh-musuhnya pada ketika itu. Hakikatnya bangsa Melayu ini sememangnya terkenal sebagai bangsa pelaut yang hebat sehingga diiktiraf masyarakat luar tetapi sayangnya ia tidak diketahui oleh majoriti bangsanya sendiri yang masih hidup sehingga ke hari ini. Melayu yang dimaksudkan disini pula bukan bermaksud Melayu yang wujud di Malaysia sahaja tetapi di seluruh rantau Asean ini. Jadi, ini membuatkan aku sangat menghormati kisah penceritaan yang wujud di dalam filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini.


Selain itu juga, aku sangat menyukai beberapa kritikan sosial yang sempat aku tangkap di dalam penceritaan filem filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini. Salah satu babak yang menarik perhatian aku ialah adegan melibatkan Ibu Tanggang yang berniaga pisang salai di sebuah pulau bersama dengan para pelanggannya. Aku ketawa dan bangga dengan mesej sinis tersebut yang mengkritik secara santai terhadap sikap orang Melayu khasnya di dalam bidang perniagaan. Filem ini tidak melemahkan masyarakat Melayu seperti mana sebuah ayat terkenal,"Bagaimana hendak merdeka jika sebatang jarum pun tidak mampu dihasilkan!" yang sehingga kini masih meracuni pemikiran orang melayu. Filem ini mengangkat kehebatan orang Melayu di dalam perniagaan dan penjualan makanan dimana memang ramai mengetahui masakan orang Melayu sememangnya lazat dan menggiurkan. Tetapi, kritikan hebat disini yang aku lihat ialah hasil pengeluaran produk yang terlalu sedikit sedangkan permintaannya ramai. Ini yang menggagalkan kebanyakkan orang Melayu yang tidak berani mengambil risiko dan menyebabkan mereka kekal hidup di takuk yang lama walaupun hakikatnya mereka boleh hidup lebih senang kerana produk jualan mereka sebenarnya hebat dan berkualiti. Selain itu juga, aku tertarik dengan satu lagi perkara sewaktu Upin dan Ipin serta rakan-rakannya mengemaskan stor Tok Dalang yang penuh dengan barang-barang bersejarah lama. Secara sinisnya aku melihat filem ini sebenarnya cuba menyedarkan penonton bahawa barang-barang lama yang mempunyai sejarah yang hebat bukannya perlu untuk disimpan atau disembunyikan. Sebaliknya ia perlu dihebahkan agar kebanggaan dan keberanian masyarakat yang berkaitan dengan sejarah tersebut dapat dipupuk untuk menjadikan seluruh masyarakat itu bangga dengan kekuatan sejarah bangsanya sendiri. Aku mengakui filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini bukan sekadar sebuah filem animasi biasa tetapi penuh dengan nilai estetika sejarah yang sangat gah secara langsung.


Hasil grafik filem ini walaupun tidak segah filem animasi luar negara tetapi masih boleh membuatkan aku berasa bangga. Senang cakap, filem ini tidak akan membuatkan kita rasa malu langsung jika ia ditonton oleh rakyat negara luar. Jika dibuat perbandingan dengan filem Upin Ipin sebelum ini iaitu Geng Pengembaraan Bermula, aku sangat percaya filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini telah menunjukkan perubahan dan perkembangan teknologi animasi yang berganda-banda baiknya. Satu lagi faktor yang menjadikan filem ini menarik adalah lagu-lagu soundtrack yang bukan sekadar sangat merdu didengar tetapi mencorakkan perjalanan filem ini dengan cukup baik. Lagu Buai Laju dendangan Ernie Zakri bukan sekadar mempunyai lirik lagu yang indah tetapi penuh dengan elemen tradisional yang membuatkan kisah dongeng rakyat Bawang Putih Bawang Merah yang dimasukkan di dalam filem ini terasa begitu dekat dihati. Manakala irama lagu Keris Sakti nyanyian Fakhrul Razi pula berjaya melengkapkan filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini sebagai sebuah filem animasi tempatan yang bukan biasa-biasa tetapi sebagai salah sebuah karya tempatan terbaik di tahun 2019.


Bagi aku, filem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini sememangnya memberikan satu kejutan yang sangat menarik terutama sekali berkaitan jalan ceritanya yang mampu menarik perhatian banyak golongan penonton untuk menyukai filem ini. Kanak-kanak akan menyukai filem ini melalui pemerhatian tontonan sepintas lalu mereka. Penonton dewasa pula akan menyukai filem ini kerana kisah-kisah dongeng popular ini pasti mengimbau nostalgia. Penonton yang suka berfikir pula pasti akan sukakan kreativiti penceritaannya yang mempunyai pelbagai subteks dan makna tersendiri yang menarik untuk dikaji dan diterjemah di dalam fahaman masing-masing.


Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan produksi serta para pelakon yang terlibat di dalam menjayakan filem animasi kebanggan Malaysia ini. Fillem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal sememangnya wajib ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia tidak mengira peringkat umur atau latar belakang. Pastikan pada tanggal 21 Mac 2019 ini, anda semua memberikan sokongan kepada filem yang dihasilkan oleh 100 peratus tenaga tempatan dengan pergi menontonnya di pawagam berdekatan anda. Tanpa ragu aku menyatakan bahawa aku sangat bangga dengan filem ini dan karya-karya sebegini sememangnya tidak malu untuk diangkat, dipromosi, disebut dan dijaja kepada seluruh pihak agar kehebatannya dapat diketahui dan dinikmati oleh lebih ramai lagi penonton di selurug dunia. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini untuk perkongsian buat kita semua. Selamat menonton dan pasti anda terhibur!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Komedi Romantik Dari Indonesia Yang Sangat Menghiburkan Iaitu Filem Milly & Mamet. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

18 Ulasan

  1. best tu. my kids heboh nak balik msia, sbb nak tgk movie ni. tunggu kuar kat astro first je la.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      tengok dekat pawagam baru feel sebab sound nya mixing dolby atmos

      Padam
  2. Memang sangat terbaik. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan sebagai rakyat Malaysia bilamana dapat melihat animasi terbaik dari Les' Copaque ni. Korang yg belum tonton, memang kena pergi tgk 21 Mac ni..👏👏👏

    BalasPadam
  3. wahhhh menariknya, teruja lak rasa

    filem sebelum ni pun beria akak layan berkali2 pun tak jemu hehehhe

    BalasPadam
    Balasan
    1. yang nih sangat-sangat baik dari Geng Pengembaraan Bermula
      anggap jer GPB tu sebagai percubaan
      yang Keris Siamang Tunggal nih memang nampak hasil kerja berpengalaman

      Padam
  4. harap dpt pecah semua rekod filem malaysia yg pernah wujud

    BalasPadam
    Balasan
    1. mudah-mudahan macam tu lah agar lebih banyak filem animasi berkualiti dan terbaik dapat dihasilkan lagi selepas ini :)

      Padam
  5. wahh..tak sabar nak tengok movie ni..

    BalasPadam
  6. Mmg cun..meremang tgk..bnyak sgt moral yg bagus..yg da dewasa ni pun gelak dan sedih tgk cite ni..haha

    BalasPadam
  7. Ya benar,baru menonton dengan anak-anak. Filem animasi yang bercampur baur antara sedih dan gembira. Durasi filem terasa tidak puas.

    BalasPadam
  8. Sayang, filem ini di buat dalam format Atmos tapi tak banyak panggung yang tayangkan nya dalam format Atmos.

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      apa-apapun menonton dalam Atmos memang terbaik

      Padam