Filem:
Duan Nago Bogho
Penilaian:
8/10
Tiktok Review:
Pengarah:
Sabri Yunus
Genre:
Drama
Pelakon:
Mohd Asrulfaizal, Jojo Goh, Sabri Yunus, Rosyam Nor, Sangeeta Krishnasamy & Etc.
Pengedar:
Empire Film Solution
Tarikh Tayangan:
19 Januari 2023
Sinopsis:
Filem Duan Nago Bogho ini mengangkat kisah seorang anak seni tradisional Kelantan Mak Yong iaitu Duan yang juga pemain peran Mak Yong yang mempunyai dua personaliti. Dia yang mencintai seni tradisional juga dalam masa yang sama sangat suka bergaduh. Kisahnya bermula selepas Duan bergaduh dengan penonton Mak Yong yang mengganggu sewaktu dia sedang membuat persembahan sehinggalah ayahnya meminta dia untuk meninggalkan kampung dan mencari kerja lain. Rakannya iaitu Awi yang tinggal di Kuala Lumpur mengajak Duan ke ibu kota. Awi memberitahu Kuala Lumpur memberikan peluang yang lebih luas dalam bidang seni, termasuklah Mak Yong. Awi adalah pekerja seni yang cuba membawa seni Kelantan ke arah yang lebih luas dan maju. Selain itu, tugas Duan adalah untuk membantu Nancy, anak kepada Jimmy Ang iaitu seorang lelaki cina keturunan Kelantan sehingga membawa konflik dalam hidup Duan. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 19 Januari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem tempatan yang cukup menarik arahan Sabri Yunus iaitu Duan Nago Bogho pada 12 Januari 2023 yang lepas di GSC The Starling Mall. Untuk makluman semua, 'Nago Bogho' ini bermaksud ular tedung selar dan tajuk ini dipilih bagi menggambarkan perwatakan watak utama filem ini iaitu Duan. Menelan kos sekitar RM2 juta, filem ini menggunakan dialek bahasa Kelantan sebanyak 80 peratus di dalam keseluruhan penceritaannya. Namun, anda jangan risau kerana filem ini menyediakan sarikata bahasa Melayu untuk memudahkan penonton yang bukan berasal dari Kelantan untuk memahami setiap tutur kata para pelakon di dalam filem ini.
Kami secara jujurnya sangat menyukai filem Duan Nago Bogho ini. Berjaya lari daripada konsep klise filem-filem tempatan sebelum ini yang cuba membawa konsep rakyat Malaysia berbilang kaum dengan cara yang terlalu mendesak, Duan Nago Bogho tampil dengan gaya tersendiri untuk menyatakan bahawa inilah filem berwajah Malaysia yang berjaya menampilkan etnik yang pelbagai serta seni budaya Malaysia iaitu Mak Yong dengan cukup bijak. Tidak perlu terlalu 'menjual' atau kelihatan terdesak untuk meletakkan kedua-dua elemen tersebut, filem ini juga dilihat cemerlang apabila masih berjaya tampil dengan nilai komersial yang selalunya sukar untuk dilihat di dalam filem-filem yang memaparkan elemen seni budaya sebegini.
Tidak dinafikan pengarah Sabri Yunus sebenarnya membawa suara, pandangan dan persoalan yang ada di dalam sendiri sebagai anak jati Kelantan untuk diluahkan di dalam filem Duan Nago Bogho ini. Bukan sekadar bermain tentang negeri Kelantan semata, Sabri Yunus juga turut memampatkan lagi hal ini dengan persoalan-persoalan berkaitan budaya Melayu yang semakin terhakis serta hubungan antara kaum Melayu dan kaum lain dengan cara yang begitu versatil. Perkara utama yang dapat dilihat adalah berkenaan seni Mak Yong itu sendiri. Bagaimana Sabri Yunus dilihat cukup bijak di dalam percubaannya kembali memperkenalkan seni ini yang semakin pupus di kalangan orang Melayu sendiri dan pada masa yang sama berjaya menyindir dan membuat penonton Melayu sendiri terfikir tentang ego segelintir masyarakat Melayu yang tidak suka budaya mereka 'dirampas' atau dipelajari oleh kaum lain tetapi pada masa yang sama tiada usaha daripada kaum Melayu sendiri untuk mempertahankannya. Perkara-perkara ini berjaya disampaikan melalui susunan dan kekuatan dialog yang dilontarkan oleh para pelakonnya yang membuatkan adakalanya kami meremang bersemangat menonton filem yang cukup berkualiti seperti ini.
Filem Duan Nago Bogho sebenarnya cuba membawa penonton untuk mengenali dengan lebih mendalam pemikiran watak utama filem ini iaitu Duan. Lelaki ini bukan seorang samseng atau ketua gangster Kelantan tetapi watak ini terperangkap di dalam situasi yang memerlukan dia bertindak melindungi rakan-rakannya daripada ancaman samseng dan gangster Kuala Lumpur. Ini juga adalah satu lagi kebijaksanaan pengarah Sabri Yunus yang sukar untuk dilihat pada filem-filem tempatan yang lain. Gemar bermain dengan subteks yang memerlukan hal ini dibedah dan dibincangkan sememangnya merupakan satu keistimewaan beliau yang membuatkan peminat filem tempatan seperti kami yang terlalu candukan hal-hal sebegini berasa sungguh gembira. Perwatakan Duan sememangnya cukup ekslusif dimana filem ini berjaya memaparkan kejujuran hidup seorang pemuda tempatan Kelantan yang patuh pada agama, berpegang pada janji, percaya dengan kehebatan seni Mak Yong dan sentiasa menjaga maruahnya melalui pergaduhan. Ini sememangnya cukup ekslusif dan ianya wajar diberikan pujian.
Selain daripada banyak plot twist yang menarik, aksi-aksi yang dipaparkan di dalam filem Duan Nago Bogho juga tidak kurang hebatnya. Walaupun ada beberapa kekurangan yang dapat dilihat daripada sudut warna, muzik latar, pencahayaan dan permainan kamera namun ianya berjaya ditutupi oleh penceritaan yang cukup menarik, lakonan para pelakon yang sangat mantap dan juga mesej-mesej serta kritikan sosial yang cukup berani untuk menjadikan Duan Nago Bogho sebagai antara filem tempatan yang sememangnya sesuai ditayangkan pada awal tahun 2023 ini. Kami dengan sukacitanya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan filem hebat ini. Secara tidak langsung, penonton dapat melihat, mengenal dan memahami dengan lebih mendalam tentang budaya orang Kelantan sendiri.
Jadi, selamat menonton filem tempatan berloghat Kelantan iaitu Duan Nago Bogho yang ditayangkan bermula pada 19 Januari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Daripada China Yang Diarah Dan Dilakonkan Oleh Pelakon Donnie Yen Iaitu Sakra! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.
0 Ulasan