Review Filem Misteri Dilaila


Filem:
Misteri Dilaila

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Syafiq Yusof

Genre:
Seram

Pelakon:
Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Datuk Rosyam Nor, Sasqia Dahari,
Mas Khan, Namron, Nafiez Zaidi, Kenji Sawahii & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Februari 2019

Pengedar:
Skop Productions Sdn Bhd & Astro Shaw Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem Misteri Dilaila ini mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth Tan) yang bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser. Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan sebuah kejadian aneh. Pada keesokan harinya, Jefri mendapati isterinya telah hilang. Tiba-tiba Imam Aziz (Namron) telah muncul dengan membawa sebuah berita gembira yang memaklumkan bahawa isterinya Dilaila sudah dijumpai dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut apabila wanita yang muncul bersama dengan Imam Aziz itu bukan isterinya yang sebenar namun mengakui dirinya adalah Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Adakah Jefri mampu merungkai misteri sebenar kehilangan Dilaila? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda pada 21 Februari 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak Astro Shaw untuk menghadiri Tayangan Media Filem Misteri Dilaila yang telah berlangsung di MMcineplexes Ecurve Damansara pada 14 Februari 2019 yang lepas. Aku mengakui filem Misteri Dilaila ini antara filem yang aku nanti-nantikan kerana aku tertarik dengan dua perkara awal. Pertama ialah bayangan poster awalnya dimana seorang wanita memangku seekor kucing hitam dan permainan warna merah dan hitam yang digunakan di dalam poster tersebut sangat menarik dan seperti memberi satu teka-teki atau bayangan kepada wajah filem ini. Kedua pula semestinya ialah trailer filem ini yang menarik pada pandangan pertama aku kerana jalan ceritanya yang penuh dengan persoalan tentang watak serta hubungan antara Jefri, Dilaila (Elizabeth Tan) dan 'Dilaila' (Sasqia Dahari).



Filem ini bermula cantik dengan sinematografi yang cukup indah sebelum dua babak yang melibatkan perbualan antara Jefri dan Dilaila mula muncul mengambil langkah awal untuk menguji pemikiran para penonton. Frasa dialog yang diungkapkan oleh kedua-dua watak ini dicipta untuk didengar seakan-akan klise tetapi hakikatnya ia sudah mula mengambil langkah awal bermain tali dengan minda penonton untuk memaksa penonton meletakkan jangkaan atau penilaian awal terhadap perjalanan filem ini. Pertama ialah babak Jefri dan Dilaila di dalam kereta dimana kedua-dua watak ini menyatakan ayat-ayat cinta di dalam bahasa Inggeris seperti "I Love You", "Do You Love Me?", "I Will Die For You" dan pasti akan diakhiri dengan perkataan "Cliche". Kemudian babak klise kedua muncul dengan begitu cepat sewaktu Jefri dan Dilaila memasuki banglo penginapan mereka dan watak Dilaila ini sekali lagi mula memancing perhatian penonton dengan dialog yang lebih kurang berbunyi begini,"Ayah I pernah cerita ada hantu yang wajahnya sama macam I!" Aku secara zahirnya melihat ungkapan dialog tersebut kelihatan seperti terlalu mencuba untuk memberitahu selepas ini akan hadir seorang lagi 'Dilaila' namun aku masih boleh menikmati kisahnya.



Selepas itu, terjadi satu insiden antara Jefri dan Dilaila yang membuatkan pada malam harinya watak Jefri ini mulai diganggu dengan jelmaan makhluk-makhluk hodoh dikala elemen jumpscare kembali digunakan untuk cuba mengawal dan menguasai rasa takut para penonton di dalam panggung. Aku secara peribadi kurang gemar dengan penggunaan jumpscare yang terlalu kerap kerana ia secara automatik akan menghilangkan nikmat aku untuk merasai ketakutan tersebut. Sekali sekala hal ini membuatkan aku teringat betapa aku kurang menyukai filem Munafik 2 disebabkan hal yang sama. Tidak dinafikan adalah satu atau dua babak yang berjaya mengejutkan aku tetapi secara jujurnya aku tidak berasa seram dengan kemunculan hantu-hantu tersebut.


Tetapi, apa yang membuatkan aku sukakan filem ini ialah naratif filemnya yang disusun cantik dan kemas bermula dengan kemunculan 'Dilaila' (Sasqia) yang mengaku dia ialah isteri kepada Jefri (Zul Ariffin). Disini aku berasa kagum dengan Syafiq Yusof kerana berani bermain dengan naratif sebegini untuk pasaran industri filem di Malaysia kerana kisah sebegini boleh dikatakan agak baru untuk penonton tempatan dan tidak ramai yang begitu berani mengambil langkah untuk menulis dan mengarah filem sebegini. Tetapi, ia tidak bermaksud Syafiq ialah orang pertama yang melakukannya kerana ia boleh ditonton di dalam filem-filem luar negara yang telah menggunakan konsep yang serupa.



Jadi, plot cerita mula berkembang dengan sangat menarik untuk pertengahan filem ini dimana setiap watak dikembangkan melalui suntikan elemen misteri serta permainan plot yang sentiasa bertukar yang membuatkan aku sebagai penonton sentiasa tertanya-tanya dan cuba meneka apa sebenarnya situasi sebenar yang berlaku terhadap Jefri dan Dilaila. Adakah 'Dilaila' yang dijumpai Imam Aziz (Namron) adalah Dilaila yang sebenar? Adakah Jefri menghidap sejenis penyakit yang berkaitan dengan mental dan psikologi sehinggakan dia tidak mengenali wajah sebenar Dilaila? Adakah ia sebenarnya ada hubung kait tentang harta atau dendam? Sehinggakan pada satu tahap aku mengesyaki setiap watak yang bermain di dalam penceritaan ini sebenarnya adalah antagonis dan mempunyai misi masing-masing.



Jadi, apabila pelbagai konflik mula timbul di layar dimana aku melihat setiap watak mulai dibogelkan wajah sebenar mereka membuatkan aku berasa teruja kerana momentum penceritaannya yang laju dan tidak meleret. Walaupun aku melihat Syafiq sebenarnya masih mempunyai peluang untuk bermain lebih lagi dengan para bintang di dalam filem ini namun disebabkan kurangnya mengaplikasikan konsep permainan psikologi di dalam pengucapan dialog para pelakonnya memberi sedikit kekangan untuk aku lebih menikmati permainan plot yang direncanakan Syafiq di dalam filem Misteri Dilaila ini. Sayang sebenarnya sebab babak-babak itu boleh jadi lebih kuat dan memberi lebih kesan kepada psikologi penonton seperti aku sendiri. Tetapi, aku masih mengagumi apa yang Syafiq lakukan sepanjang pertengahan filem ini.



Namun, segala-galanya berubah apabila ia tiba ke babak klimaks iaitu babak pengakhiran filem ini. Aku melihat 'plot twist' yang dihidangkan ini berjaya memanipulasikan jangkaan awal aku pada awalnya. Aku kagum kerana ia disusun dengan begitu cantik sehingga menyebabkan watak-watak yang sememangnya sudah terang-terangan dibogelkan ini tidak boleh dipersoalkan lagi kewajarannya diubah menjadi antagonis mahu pun protagonis. Namun, tiba-tiba aku menyedari walaupun kebijaksanaan dan kejayaan Syafiq di dalam mengubah beberapa watak di dalam filem ini seperti yang aku nyatakan tadi tetapi ia telah menyebabkan kelompongan jalan cerita yang sangat besar. Pertama, ia boleh dilihat kepada hubungan dan kesinambungan antara watak-watak yang berkait rapat di dalam permasalahan Dilaila ini dimana bagaimana watak-watak ini bertemu, apa punca mereka merancang permasalahan tentang Dilaila ini, siapa mereka ini dan kaitannya dengan Dilaila. Semua perkara ini terus menjadi kabur. Namun, permasalahan kedua yang paling besar dapat aku lihat ialah hubungan antara Jefri serta makhluk-makhluk mistik yang akan muncul mengganggu Jefri apabila adanya jumpscare di dalam filem ini dimana pengakhiran filem ini menyebabkan babak-babak tersebut kelihatan kosong dan tidak ada fungsi langsung buat filem ini. Ini yang menyebabkan aku kecewa dengan filem Misteri Dilaila ini sebab pengakhiran terus memusnahkan segala yang dibina daripada awal dan pertengahan filem. Kesimpulannya, aku kecewa!



Berbalik kepada perkara lain, aku ingin menyentuh tentang lakonan para pelakonnya. Keseluruhannya semua memberikan yang terbaik dan disokong dengan penggunaan frasa ayat yang santai dan pasar menyebabkan aku dapat menikmati elemen misteri dan humor dengan gembiranya. Zul Ariffin sekali lagi berjaya memberikan lakonan yang baik dan tidak mengecewakan. Rosyam Nor tidak perlu dinafikan lagi telah berjaya membina dua karakter di dalam satu watak dengan cukup baik terutama sekali watak psiko yang sangat menghiburkan aku. Namron pula sering kali berjaya menimbulkan unsur lucu setiap kali kemunculannya di dalam filem ini dan setidak-tidaknya berjaya mengurangkan rasa tegang penonton yang mungkin kepenatan menikmati penggunaan jumpscare yang kerap di dalam filem ini. Pemilihan Elizabeth Tan dan Sasqia pula sangat menepati watak Dilaila walaupun tidak lah seiras tetapi susuk wajah dan fizikal yang hampir seiras berjaya membuatkan filem Misteri Dilaila ini penuh dengan tanda tanya. Cuma sayangnya kedua-dua pelakon wanita ini tidak terlalu menonjol disebabkan permainan dialog mereka yang tidak meninggalkan kesan yang terlalu kuat buat aku yang menonton.



Aku juga sangat menyukai penggunaan lagu Rasa Sayang di dalam filem ini. Ia berjaya membangkitkan satu nostalgia yang berjaya meresap dengan baik untuk membangkitkan lagi elemen seram yang wujud di dalam filem. Ditambah dengan reka bentuk bangunan serta penggunaan props yang sangat cantik menyebabkan visual filem ini kelihatan sangat cantik di layar perak dan sangat memuaskan pandangan setiap penonton yang menyaksikan filem ini.



Selain itu, aku juga tertarik dengan transisi atau peralihan setiap babak pada permulaan filem ini. Walaupun tidak semua transisi itu kelihatan bersesuaian namun aku masih menyukainya walaupun ia hanya muncul pada awal filem sahaja sebelum hilang di pertengahan dan tidak lagi muncul pada akhir filem. Tetapi, untuk pengakhiran filem dimana walaupun aku tidak menyukainya tetapi hasil gerak kerja kamera wajar dipuji kerana ia membawa satu kelainan yang menarik dan hasilnya juga kemas tanpa ada gegaran yang menyakitkan mata. Jadi, secara keseluruhan filem Misteri Dilaila ini sebenarnya telah berjaya mengorak langkah untuk memberikan satu lagi nafas baru buat industri filem Malaysia serta para penonton tempatan. Aku percaya walaupun aku kurang gemar dengan pengakhiran filem ini namun aku melihata ramai penonton yang suka dan terhibur. Jadi, aku berani memberi jaminan yang filem ini pasti akan menjadi buah mulut seluruh penonton Malaysia nanti dan mendapatkan kutipan yang membanggakan.


TETAPI!!!!!
AKU AKHIRNYA MENYEDARI
BAHAWA AKU TELAH DIKEJUTKAN
DENGAN SATU LAGI 'PLOT TWIST' 

Menariknya, kejutan ini berlaku selepas sejam aku menonton filem Misteri Dilaila. Pada waktu aku menyedari hal ini, aku berasa sangat marah sebenarnya! Hahaha! Tetapi, pada masa yang sama membuatkan aku sekali lagi berasa bangga dengan insan bergelar pengarah bernama Syafiq YusofJadi, buat pertama kalinya dalam sejarah aku terpaksa menulis dua ulasan filem untuk sebuah filem yang aku tonton dan filem tersebut ialah filem Misteri Dilaila. Jika ulasan filem aku untuk tontonan pertama filem Misteri Dilaila ini tidak terlalu positif seperti pengulas, pengkritik dan penonton yang lain namun aku mendapat bayangan ulasan kali kedua aku untuk filem Misteri Dilaila ini pasti akan lebih positif kerana aku telah mengetahui kejutan yang telah disediakan.



Jadi, nantikan ulasan kedua untuk filem Misteri Dilaila ini daripada portal filem Rollo De Pelicula dimana anda semua akan mengetahui adakah pandangan aku masih akan kekal sama atau pun berubah sebaliknya. Selamat menonton filem Misteri Dilaila dan semoga anda semua terhibur. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini.

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Berjudul Gully Boy. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

36 Ulasan

  1. nak tengok, tapi semua orang takut, huhuhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      tengok jer lah seorang-seorang
      ramai dalam panggung wayang tu nanti

      Padam
  2. Tunggu review kedua ni tak muncul2.. Huhu..

    BalasPadam
  3. Ni yg lemah bile review awal dr tarikh tayangan.. Movie belom boleh tgk lg tp otak dh start mula meneka..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      yang dah tengok nih pun masih meneka lagi

      Padam
  4. akak bab yg jumpscare tu yg tak minat nengok cite hantu or misteri tu, dia punya scare tu menghantui sampai berminggu2... udah penakut kan hahhaa...

    wah, tak sabar nk tunggu apa ulasan kedua hans ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      saya kalau filem yang kerap guna jumpscare yang berjaya buat saya cuak Beddua: The Curse jer

      Padam
  5. Masa tngok iklan film ni kat TV pun dah ase seram dah
    kalau pergi tgok kt wyg msti lgi terkejut ni.
    xsbr nk tgu review ke 2.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      In Sha Allah
      nantikan...
      banyak lagi movie nak kena tulis nih
      hahaha

      Padam
  6. Hahaha mmg power kan gimik 2 ending senyap2 ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      kami yang tengok tayangan media sebelum nih dah gaduh dulu dah
      hahahaha

      Padam
  7. saya tonton versi elizabeth tan jumpa ngan banker. pada akhir cerita, pegawai polis tu bagitau pada jefri yg delaila dah lama mati dan mereka dah jumpa mayatnya, jadi siapa yg berjumpa ngan banker tu kalau delaila sebenarnya dah mati?

    BalasPadam
    Balasan
    1. owhhh awak tengok version 2 lah kan?
      saya tak suka version tu
      saya suka version 1

      Padam
    2. Versi 1 macam mana cerita dan ending..tengok version 2 jugak nih

      Padam
  8. Balasan
    1. version kedua ending dia Zul dengan Koperal Polis

      Padam
  9. V2...jeff mati x?memang hantu.sebab delaila ada mention rumah tu ada hantu sama macam dia...mungkin hantu tu x suka jeff jual rumah tu...tu yg dia kacau dr awal sampai abis..sekali hantu tu pn troll geng2 polis ni..ni apa yg sy rasalah

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha tak semestinya dilaila cakap ada hantu tu betul
      hehehe

      Padam
  10. tak sabar nak tgok v1. tp lps tgk v2, x fhm sgt hantu2 ni sbb apa. igtkan last2 hantu2 ni jd hero tlng zul. haha.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha v1 lain pula kisahnya
      nanti tengok tahu lah
      hahaha

      Padam
    2. okay dah tengok..hahaha ending dua2 version mmg lain sgt. and setuju dgn u. mmg v1 gempak habis. yg penting baru thu penggunaan hantu2 tu haha. and both ending kene fikir sendiri. but v1 lagi sakit hati kite nak fikir hahahaha.

      Padam
    3. hahahaha
      sebenarnya kalau Syafiq Yusof perkemaskan lagi skrip filem ini pasti akan jadi lebih baik
      sayang dua-dua ada plothole

      Padam
    4. adakah ada sambungan nnt hahaha.

      Padam
  11. Komen aku simple je, di masa hadapan, cuba lebihkan sikit attention to detail. Kenapa? Jawapannye ialah, setiap kad nikah ada gambar kedua pasangan dan adalah tidak logik jika gagal menunjukkan gambar suami atau isteri anda jika keadaan memaksa. Unless takde kad nikah la. Kan?

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha...facebook pun ada...senang jer nak tunjuk

      Padam
  12. X tgk lg version 2,,,x sabar tggu 21 hb nk baca review...

    BalasPadam
  13. version 2 sebenarnye dah keluar ke belum?
    xdpt tgk lagi v2

    BalasPadam
    Balasan
    1. version 2 tu keluar sekali dengan version 1 lah

      Padam