15/02/19

Keluarga Iskandar The Movie

KL Motion Pictures telah mengumumkan hari ini bahawa syarikat produksi mereka bakal menerbitkan filem adaptasi daripada siri televisyen popular, Keluarga IskandarBerita gembira ini diumumkan oleh penerbit KL Motion Pictures iaitu Encik Jamaluddin Karim dalam ucapan beliau di Majlis Pelancaran Keluarga Iskandar The Movie yang diadakan di Platinum Lounge, MMCineplexes ECurve, Mutiara Damansara pada 13 Februari 2019 yang lepas. 


Keluarga Iskandar merupakan sebuah drama komedi bersiri tentang kehidupan seharian keluarga arwah Haji Iskandar yang terdiri daripada Mak Jah dan lima orang anaknya serta keluarga masing-masing. Menggunakan pendekatan mockumentary ala siri televisyen antarabangsa ‘The Modern Family’, siri ini berkisar tentang keluarga sederhana dalam masyarakat Malaysia moden di Johor Bahru serta beberapa adegan di sekitar Lembah Klang.


Sewaktu Keluarga Iskandar memulakan musim pertama pada tahun 2012 di Astro Prima yang baru mula beroperasi, stesen televisyen itu hanya mensasarkan jumlah penonton yang sedikit. Kemunculan Mak Jah dan keluarga besarnya dalam paparan isu-isu kekeluargaan yang mudah difahami dan diselami oleh penonton serta gelagat yang bersahaja di sebalik dialog-dialog santai dan lucu, menjadikan Keluarga Iskandar sebuah nama keluarga terbesar di Malaysia. Kekuatan Keluarga Iskandar diuji sekali lagi apabila pihak Astro memindahkan tayangan musim kedua drama komedi bersiri tersebut ke saluran berbayar iaitu saluran Astro Warna yang baru mula beroperasi pada tahun 2014. Keluarga Iskandar menjadi sebuah drama bersiri keluarga paling berpengaruh bagi saluran berbayar untuk musim kedua dan sekaligus melayakkan Keluarga Iskandar menjadi Siri Televisyen Komedi Terbaik bagi Anugerah Lawak Warna selama dua tahun berturut-turut.


Penghasilan filem Keluarga Iskandar The Movie yang bakal memulakan penggambaran pada bulan Februari 2019 ini turut disokong penuh oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang bertanggungjawab merancang, mempromosi dan memudahcara pembangunan Iskandar Malaysia yang terletak di selatan tanah air. Kerjasama yang diberikan untuk ‘Keluarga Iskandar’ ini telah dimeterai sejak penerbitan awal siri drama ini pada tahun 2013 dan 2015. Bagi Keluarga Iskandar The Movie, kira-kira 70 peratus penggambaran Keluarga Iskandar The Movie akan dijalankan di sekitar Iskandar Malaysia seperti Kota Iskandar, pusat bandaraya Johor Bahru LEGOLAND Malaysia, Sanrio Hello Kitty Town, dan Kampung Kong Kong, Masai.


Di majlis pelancaran tersebut, Wan Hasliza Wan Zainuddin selaku produser eksekutif turut memikul tanggungjawab sebagai pengarah filem ini telah memperkenalkan barisan pelakon yang bakal membintangi Keluarga Iskandar The Movie yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelakon-pelakon asal siri kegemaran ramai itu. Antara pelakon yang diperkenalkan dan hadir di majlis pelancaran Keluarga Iskandar The Movie adalah Kismah Johar, Hilal Azman, Zain Hamid, Anita Baharom, Sobri Anuar, Hiera Hassan, Azhar Sulaiman, Iz Ilham, Khaireesya Kemal, Raja Ema, Wan Rania Humairah, Mustaqim Mohamed dan Wan Adam DanishSelain itu, filem Keluarga Iskandar The Movie turut diserikan lagi dengan penampilan khas para pelakon lain seperti Zara Zya, Ajak Shiro, Faiz Dickie, Zarina Zainuddin dan Amy Mastura.


Menurut Wan Hasliza, pihak KL Motion Pictures amat berterima kasih kepada pihak Astro kerana memberi kebenaran untuk menerbitkan Keluarga Iskandar The Movie kerana peminat-peminat siri televisyen popular itu sudah menuntut agar terdapat kesinambungan cerita keluarga ini kerana di penghujung musim kedua siri Keluarga Iskandar terdapat beberapa adegan yang sengaja digantung kesudahannya membuatkan ramai penonton teruja untuk mengetahui penghabisan kisah keluarga ini. Keluarga Iskandar The Movie bakal memulakan penggambaran minggu hadapan dan KL Motion Pictures menjangkakan filem ini akan dapat disiapkan untuk tayangan pada bulan September nanti.


Untuk informasi lanjut mengenai Keluarga Iskandar The Movie, layari laman rasmi https://keluargaiskandar.com atau ikuti akaun Facebook, Twitter dan Instagram @keluagaiskandar dan hashtag #keluargaiskandarthemovie.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan