Tayangan Media Filem Misteri Dilaila

Portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan untuk menghadiri majlis Tayangan Media Filem Misteri Dilaila yang telah berlangsung dengan kehadiran ramai media di MMcineplexes Ecurve Damansara pada 14 Februari 2019 yang lepas. 


Filem Misteri Dilaila ini mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth Tan) yang bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser. Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan sebuah kejadian aneh. Pada keesokan harinya, Jefri mendapati isterinya telah hilang. Tiba-tiba Imam Aziz (Namron) telah muncul dengan membawa sebuah berita gembira yang memaklumkan bahawa isterinya Dilaila sudah dijumpai dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut apabila wanita yang muncul bersama dengan Imam Aziz itu bukan isterinya yang sebenar namun mengakui dirinya adalah Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Adakah Jefri mampu merungkai misteri sebenar kehilangan Dilaila? Saksika filem ini di pawagam berdekatan anda pada 21 Februari 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.


Filem Misteri Dilaila ini merupakan sebuah filem misteri seram yang diarahkan oleh Syafiq Yusof dimana karya ini merupakan hasil kerjasama antara dua gergasi penerbitan filem yang diminati ramai iaitu Skop Productions dan Astro Shaw. Menurut Dato' Khairul Anwar Salleh yang merupakan Naib Presiden Dan Ketua Bahagian Melayu Dan Nusantara, beliau mengharapkan filem Misteri Dilaila menjadi pembuka kepada kejayaan kerjasama antara Astro Shaw dan Skop Productions pada tahun ini. Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama antara kedua-dua syarikat penerbitan gergasi Malaysia ini akan diteruskan lagi dengan penghasilan filem seterusnya iaitu filem Abang Long Fadil 3 yang akan memulakan penggambaran pada Mac 2019 nanti.


Manakala Penerbit Skop Productions yang juga terkenal dengan gelaran 'Six Million Dollar Man' iaitu Datuk Dr. Yusof Haslam pula berharap agar filem Misteri Dilaila ini dapat diterima oleh peminat filem tempatan kerana filem ini membawakan satu dimensi baru di dalam sinema Malaysia dengan cerita dan gaya persembahan yang amat berlainan dan keluar daripada kepompong klise filem-filem Melayu terdahulu.


Bagi pengarah filem Misteri Dilaila iaitu Syafiq Yusof, beliau menjelaskan idea untuk menghasilkan filem ini tercetus disebabkan minatnya yang mendalam terhadap filem bergenre seperti ini. Disamping cuba untuk menonjolkan kelainan pada naskhah terbarunya, beliau turut teruja kerana sudah sekian lama tidak menghasilkan filem bergenre misteri thriller.


Pengarah tersebut turut mengakui mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan keseluruhan skrip filem Misteri Dilaila. Syafiq menyatakan tempoh masa yang diambil hanya untuk menulis tentang idea dan inspirasi filem ini sahaja mengambil masa hampir dua bulan. Walaupun kerap kali dilabel sebagai 'King of Plot Twist' oleh penonton filem tempatan, Syafiq sebenarnya enggan dilabel sebegitu kerana mengakui dia masih lagi di dalam proses pembelajaran dan masih lagi menimba ilmu di dalam proses penghasilan skrip.


Menyentuh berkenaan barisan pelakon yang membintangi filem Misteri Dilaila pula, Syafiq melihat ini adalah gabungan kali pertama mereka semua di layar perak dan percaya setiap pelakon yang dipilih  mempunyai peminat mereka yang tersendiri untuk membantu menarik penonton ke pawagam. Kebanyakan pelakon dipilih oleh pengarah sendiri hasil perbincangan bersama antara kedua-dua pihak penerbit iaitu Skop Productions dan Astro Shaw. Menariknya ialah Zul Ariffin sememangnya merupakan pilihan pertama Syafiq untuk menggalas watak Jefri yang merupakan watak utama filem Misteri Dilaila ini. 


Filem Misteri Dilaila akan ditayangkan di 131 buah pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei pada 21 Februari 2019. Apa yang lebih mengagumkan ialah pengumuman yang cukup membanggakan daripada Datuk Dr. Yusof Haslam sendiri yang menyatakan filem Misteri Dilaila turut akan ditayangkan di 100 buah pawagam di Indonesia selepas beberapa hari tayangan filem ini di Malaysia. Semoga filem Misteri Dilaila mampu membawakan satu fenomena sebagai filem pertama Malaysia di tahun 2019 yang melakar sejarah sama ada dari segi kutipan mahu pun kejutan tentang jalan cerita filem ini.


Filem
Misteri Dilaila 

Genre
Seram 

Durasi
1 Jam 23 Minit 

Tarikh Tayangan:
21 Februari 2019

Penerbit
Datuk Yusof Haslam 

Pengarah
Syafiq Yusof 

Produksi
Skop Productions Sdn Bhd 

Lokasi Penggambaran
Bukit Fraser 

Jumlah Hari Penggambaran
36 Hari 

Barisan Pelakon 
Zul Ariffin
Elizabeth Tan 
Datuk Rosyam Nor 
Sasqia Dahari 
Mas Khan 
Namron
Nafiez Zaidi 


P/S : Ulasan Filem Misteri Dilaila Akan Menemui Para Pembaca Dalam Waktu Terdekat! Nantikan Ulasannya Yang Penuh Dengan Kejutan!

Catat Ulasan

0 Ulasan