17/02/19

Review Filem Fall In Love At First Kiss


Filem:
Fall In Love At First Kiss

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Frankie Chen

Genre:
Romantik

Pelakon:
Darren Wang, Lin Yun, Louis, Christopher Lee & Etc.

Tarikh Tayangan:
14 Februari 2019

Pengedar:
RAM Entertainment

Sinopsis:
Filem yang diadaptasi daripada sebuah manga dari Jepun mengisahkan tentang seorang pelajar wanita bernama Xiang Qin yang tergolong di dalam golongan pelajar yang lemah dari segi akademik yang telah jatuh cinta dengan seorang pelajar lelaki yang bijak iaitu Jiang Zhi Shu yang dikenali seluruh sekolah kerana mempunyai IQ setinggi 200. Xiang Qin bagaimanapun tidak berani meluahkan perasaannya kepada Jiang Zhi Shu sehingga lah pada satu hari dia memberanikan diri selepas mendengar ucapan daripada Jiang Zhi Shu yang membangkitkan semangatnya. Namun cintanya ditolak dan diketahui seluruh sekolah menyebabkan Xiang Qin berasa begitu malu. Pada suatu hari, rumah Xiang Qin runtuh akibat gempa bumi dan ini menyebabkan dia dan bapanya perlu mencari rumah lain dengan kadar segera. Tanpa disangka, kawan lama kepada bapa Xiang Qin menjemput mereka untuk tinggal bersama dia dan keluarganya. Apa yang mengejutkan ialah rumah tersebut sebenarnya merupakan rumah keluarga Jiang Zhi Shu. Bagaimana Xiang Qin perlu berhadapan dengan Jiang Zhi Shu selepas kejadian memalukan tersebut? Atau adakah Xiang Qin akan terus mencuba untuk mendapatkan cinta Jiang Zhi Shu? Saksikan filem romantik yang sangat melucukan ini di pawagam berdekatan anda pada 14 Februari 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan:

Portal Filem Rollo De Pelicula telah menonton sebuah filem romantik komedi berjudul Fall In Love At First Kiss di Amerin Cineplex pada 16 Februari 2019 yang lepas. Mendapat pujian daripada ramai penonton wanita yang menyukai kisah filem yang dikatakan sangat bertepatan dengan tarikh tayangannya yang jatuh pada tarikh 14 Februari dimana semua sedia maklum tanggal ini lebih dikenali ramai sebagai hari kekasih. Melihatkan kepada plot ceritanya juga memang kami bersetuju bahawa filem ini memang terarah kepada perkara tersebut. 



Filem Fall In Love At First Kiss ini walaupun dihasilkan mengikut acuan filem negara tembok besar China namun tetap tidak dapat lari daripada menerapkan elemen-elemen manga Jepun yang menyokong kisah percintaan remaja di dalam karya mereka. Ia boleh dilihat melalui gred warna filem ini yang lembut, ceria dan penuh warna-warni namun keceriaan watak-watak yang dibantu oleh jalan ceritanya yang melucukan berjaya menjadikan filem ini setidak-tidaknya kelihatan segar dan ada kelainan tersendiri berbanding kisah-kisah sebelum ini yang memakai judul serta adaptasi daripada karya asal yang sama. 


Filem Fall In Love At First Kiss sememangnya merupakan sebuah filem ringan berkaitan cinta remaja yang berjaya menghiburkan penonton daripada awal hingga akhir melalui watak dan perwatakan Xiang Qin (lakonan Lin Yun) yang begitu ceria dan melucukan. Walaupun kelihatan naif dan lurus tetapi usahanya yang gigih dan tidak pernah kenal erti putus asa pasti menyebabkan setiap kali kemunculannya akan memberi sentuhan rasa dan emosi untuk mengajak penonton turut sama menikmati nikmat rasa ketawa, gembira mahu pun sedih yang dialami oleh watak ini. Satu perkara menarik di dalam filem ini ialah melihat bagaimana usaha besar yang dilakukan oleh sang 'pipit' untuk menawan hati sang 'enggang' dan sememangnya plot cerita filem ini memainkan peranan yang cukup besar di dalam mengekalkan momentum cerita serta perkembangan watak-watak utama di dalam filem ini. Menjadikan elemen komedi sebagai satu suntikan utama kepada filem ini sememangnya merupakan satu langkah yang berkesan dimana kebanyakan babak lucu di dalam filem ini berjaya memberikan sebuah momen menghiburkan yang pasti akan diingati oleh penonton walaupun selepas keluar daripada panggung wayang. Pastinya anda yang menonton akan teringat momen-momen menarik sewaktu pertemuan pertama Xiang Qin dan Jiang Zhi Shu di bilik rumahnya, kejadian di majlis hari sukan sekolah serta percutian menarik mereka berdua di sebuah kawasan pelancongan yang pasti akan membuatkan anda tidak akan kering gusi menonton gelagat mereka yang menghiburkan. 


Filem Fall In Love At First Kiss ini juga turut membawa beberapa mesej mudah dan senang untuk difahami oleh para penonton. Selain memaparkan tentang semangat yang tinggi serta usaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa untuk mendapatkan cinta yang diinginkan, filem ini juga membawakan mesej menarik berkaitan hak seorang anak untuk mengejar impian hidup mereka. Selain itu, filem ini juga tidak lupa untuk memaparkan kepentingan hubungan silaturahim yang baik antara keluarga serta berjaya menyedarkan penonton bahawa setiap manusia pasti ada kelebihan serta kekurangan yang tersendiri seperti mana yang dipaparkan pada babak awal filem ini berkaitan pelajar Kelas A yang mahir akademik manakala pelajar kelas F yang lebih mahir di dalam bidang praktikal dan kemahiran.


Kesimpulannya, tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang filem Fall In Love At First Kiss ini kerana ia merupakan sebuah karya ringan atau filem popcorn yang bukannya membawa mesej-mesej berat. Ia lebih kepada filem percintaan remaja yang menarik untuk dinikmati dan dihayati bersesuaian dengan tarikh 14 Februari yang memberi harapan kepada ramai pengemis cinta di seluruh dunia untuk mulai mengejar cinta masing-masing. Apa-apapun, filem romantik ini sememangnya sangat menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini.

P/S : Boleh Sesiapa Membantu Pihak Kami Untuk Memberitahu Apakah Isi Kandungan Surat Yang Ditulis Oleh Xiang Qin kepada Jiang Zhi Shu Pada Babak Akhir Filem Ini? Bantuan Anda Amatlah Kami Hargai!

P/S Lagi : In Sha Allah! Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Bakal Ditonton Pada 20 Februari Ini Iaitu Filem Bikers Kental 2. Nantikan Ulasannya!

2 ulasan:

  1. nak pergi tengok cerita ini.. tapi member tak minat plak cerita romance cina haha

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaah
      feel dia macam tengok romance jepun
      ajak jer kawan tu
      mesti dia suka punya

      Padam