Review Filem Rahsia

Filem:
Rahsia

Penilaian:
9/10


Pengarah:
Shamyl Othman

Genre:
Seram

Pelakon:
 Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Eman Manan, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Marsha Milan Londoh & Etc.

Pengedar:
Astro Shaw

Tarikh Tayangan:
10 Ogos 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan RAMLAH, seorang suri rumah tangga, pulang bercuti ke rumah ayahnya TAN SRI KARIM sempena menyambut ulangtahun kelahiran beliau, bersama-sama suaminya HAMDAN, seorang pensyarah, serta dua anak kecil mereka, MARINA dan SAIFUL. Namun, keadaan bertukar menjadi keruh apabila anaknya Saiful tiba-tiba hilang sewaktu mereka berkelah di tepi pantai. Pihak polis yakin Saiful hilang di persisiran pantai namun Ramlah mula diganggu kelibat anaknya. Mampukah Ramlah merungkai rahsia disebalik kehilangan anaknya itu? Saksikan filem seram tempatan yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 10 Ogos 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh Astro Shaw untuk menonton sebuah filem seram yang menarik berjudul Rahsia pada 1 Ogos 2023 yang lepas di GSC Midvalley Kuala LumpurFilem ini merupakan versi Reboot dari karya yang dianggap sebagai 'cult classic' filem tempatan Rahsia yang ditayangkan pada tahun 1987. 


Terlebih dahulu, suka untuk kami nyatakan bahawa filem Rahsia ini berjaya tampil dengan sebuah kisah yang segar tetapi masih tidak lupa untuk mengekalkan identiti-identiti yang ikonik di dalam filem asal seperti piano, anak patung, kereta main, dinding, pagar dan beberapa lagi yang sememangnya membuat anda kembali mengimbau karya asal filem ini yang cukup hebat. Menariknya setiap identiti tersebut berjaya disesuaikan dengan penceritaan gaya moden di dalam filem versi reboot ini dengan cukup baik dan berjaya menyokong penceritaan untuk berkembang dengan sewajarnya. 
 

Pujian juga harus diberikan kepada krew-krew yang terlibat untuk bahagian kamera, visual dan suntingan filem Rahsia ini kerana banyak shot kamera yang dipersembahkan adalah pada tahap yang cukup cantik dan sangat kreatif. Kami secara jujurnya sangat kagum dengan kreativiti shot kamera yang di ambil dan berjaya disatukan dan diterjemahkan dengan cukup menarik melalui bantuan suntingan yang mantap oleh editor. Secara tidak langsung, faktor ini membuatkan filem Rahsia bukan sekadar menjual elemen seram semata-mata tetapi juga mempertaruhkan hasil visual yang sedap mata memandang. 


Kualiti lakonan para pelakon filem Rahsia pula rasanya sukar untuk dipertikaikan. Lihat sahaja nama-nama besar barisan pelakonnya yang sentiasa memberikan hasil terbaik di dalam lakonan mereka seperti Nabila Huda dan Eman Manan. Penjiwaan watak yang jitu ditambah dengan luahan emosi jujur berjaya membuatkan kami mempercayai dan merasai ketakutan, kepedihan dan kesedihan watak-watak yang dibawakan mereka ini dengan cukup baik. Walaupun hanya bermain dengan lokasi yang terhad, namun kami terasa 'besar' dan 'luas' kawasan penceritaan filem ini. Dibantu dengan pengcahayaan yang cemerlang serta teknik solekan ngeri yang menakutkan berjaya meningkatkan lagi tahap seram filem ini untuk menakutkan para penonton di dalam panggung. 


Cuma kami sedikit kecewa dengan kekerapan penggunaan teknik murahan Jumpscare di dalam filem Rahsia ini yang dilihat terlalu mencuba untuk menakutkan penonton. Kami tidak pasti tentang bunyi audio yang sedikit bingit sama ada disebabkan audio pawagam atau audio asal filem ini tetapi ianya masih terkawal. Apa-apapun, filem ini sangat berbaloi untuk anda tonton di panggung wayang sebagai tanda sokongan kepada filem-filem tempatan berkualiti yang ditayangkan pada tahun 2023 ini. Tahniah kepada para pelakon dan semua krew produksi yang terlibat di dalam penghasilan Reboot filem seram yang menjadi fenomena hebat pada tahun 1987 ini. 


Secara keseluruhannya, kami boleh katakan filem Rahsia ini menawarkan sebuah pengalaman tontonan yang agak menarik dan mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan yang jitu kepada karya seram hebat tempatan ini. Jadi, jangan lupa untuk menonton filem Rahsia bermula pada 10 Ogos 2023 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Yes Hans, film ni memang audio dia set paling maksimum. Saya keluar cinema berdengung gegendang telinga. Bagos tu, baru la feel layan film seram. Cuma pada saya yg tak bagos adalah ending dia terutama semasa scene di pagar, saya rase tak perlu begitu, boleh diselesaikan dgn cara lebih creative atau dgn plot twist. Ending film Rahsia 1987 sebenarnya adalah jauh lebih baik. Overall pujian harus diberi terutama dari sudut teknikal, tuan direktor dan barisan pelakon especially Nabila Huda...

    BalasPadam