Review Filem Malbatt: Misi Bakara

Filem:
Malbatt: Misi Bakara

Penilaian:
7/10


Pengarah:
Adrian Teh

Genre:
Aksi & Patriotik 

Pelakon:
 Shaheizy Sam, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Fauzi Nawawi, Dafi Ismail Sabri, Tony Eusoff, Adlin Aman Ramlie, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Nafiez Zaidi, Taufiq Hanafi, Ikhram Juhari, Safwan Nazri, Dini Schatzmann, Gambit Saifullah, Arwan, Theebaan G & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
24 Ogos 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan berlatar belakang tahun 1993 semasa perang antara saudara Somalia, kebuluran dan kematian melanda negara itu. Operasi pengaman PBB telah ditubuhkan di Mogadishu untuk membantu dan melindungi aktiviti kemanusiaan daripada diserang dan disembelih oleh Panglima Perang Somalia Jeneral Mohamed Farrah Aidid dan militannya. Pada 13 Oktober 1993, selepas berjaya menyelamatkan wartawan asing daripada cengkaman militan, Batalion Malaysia (MALBATT) menerima perintah kecemasan baharu daripada UNOSOM (Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Somalia). Semasa cubaan menangkap Menteri Luar Aidid dan penasihat politik tertingginya, dua helikopter Black Hawk tentera Amerika Syarikat terperangkap, dikelilingi oleh militan tanpa jalan keluar. Misi MALBATT adalah untuk membantu tentera Amerika Syarikat menyelamatkan semua tentera mereka sama ada hidup atau mati. Saksikan filem tempatan yang berjiwa patriotik dan menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 24 Ogos 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh GSC Movies untuk menonton sebuah filem aksi patriotik yang menarik berjudul Malbatt: Misi Bakara pada 8 Ogos 2023 yang lepas di GSC IOI Mall PutrajayaFilem yang mengambil inspirasi daripada kisah benar tahun 1993 ini memaparkan keberanian 19 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (MALBATT) yang menyelamatkan askar-askar Amerika yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia dalam kejadian Black Hawk Down. Selain itu, filem ini juga merupakan filem Malaysia pertama yang ditayangkan di layar IMAX dan juga tersedia dalam format 4DX dan Dolby Atmos. 


Terlebih dahulu, suka untuk kami nyatakan bahawa fileMalbatt: Misi Bakara ini berjaya tampil dengan sebuah kisah patriotik menarik berkaitan dengan jasa dan kejayaan tentera Malaysia di persada dunia yang sebelum ini disembunyikan dan di pandang sepi oleh sebahagian pihak terutamanya negara kuasa dunia seperti Amerika. Menghasilkan filem Black Hawk Dawn dan menidakkan jasa-jasa askar kita adalah satu perbuatan yang biadap dan tidak boleh dipandang enteng. Jadi, penghasilan filem ini adalah satu usaha yang wajar diberi pujian dan perlu di sokong oleh seluruh rakyat Malaysia agar kita tidak merasa rendah diri atau percaya tentang mitos kekuatan tentera Barat yang sentiasa diagung-agungkan. 


Filem Malbatt: Misi Bakara ini berjaya memberikan kami satu kepuasan yang tersendiri apabila menonton adegan-adegan yang memaparkan bagaimana anggota tentera Malaysia yang terlibat berjaya membuatkan tentera Amerika Syarikat yang bodoh sombong kelihatan kerdil dan tidak berguna di dalam filem ini. Walaupun majoriti adegan-adegan sebegini di sampaikan di dalam bentuk humor namun ianya masih dapar dinikmati dan menambah baik semangat patriotik di dalam diri penonton. Cuma mungkin atas dasar diplomasi atau menjaga hubungan baik maka adegan-adegan sebegini tidak terlalu ditekankan atau dilebihkan yang sedikit sebanyak membuatkan kami rasa sedikit kecewa kerana berimpian untuk melihat lebih daripada apa yang ditawarkan di dalam filem ini. 


Memandangkan filem Malbatt: Misi Bakara ini diinspirasikan daripada kisah 19 anggota tentera Malaysia maka dapat dilihat terlalu banyak watak-watak yang wujud dan menghiasa filem berkos mega ini. Namun, masalah terbesar di dalam filem ini ialah kekangan untuk mengembangkan setiap watak-watak tersebut untuk lebih diingati atau memberi kesan mendalam kepada jiwa penonton. Walaupun penyampaian kisah watak-watak ini lebih baik berbanding filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa namun ianya masih terasa kosong walaupun filem ini berdurasi panjang sehingga 2 jam 10 minit. Tumpuan yang diberi terhadap babak-babak aksi terlali berlebihan sehingga menenggelamkan hampir sebahagian besar watak walaupun lakonan yang diberikan mereka sangat baik. Kami merasakan satu kerugian yang besar daripada sudut ini. 


Menyentuh pula tentang imej janaan komputer atau CGI dan VFX yang terdapat di dalam filem Malbatt: Misi Bakara ini, kami merasakan ianya berada di tahap sederhana namun masih berbaloi untuk ditonton. Dengan kos penghasilan yang terhad, hasil yang anda tonton di dalam filem ini masih boleh diberikan penghargaan. Walaupun tidak dinafikan kami agak terhibur dengan babak-babak aksi di dalam filem ini, namun dapat diperhatikan banyak adegan-adegan tembakan atau serangan roket yang kelihatan berulang. Jika ianya diimbangi dengan pengembangan kisah watak-watak yang ramai di dalam filem ini, kami merasakan filem ini pasti akan menjadi lebih baik atau setidak-tidaknya menyamai tahap filem Paskal. Namun, filem ini masih sebuah filem yang boleh diberikan pujian dan dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Tahniah kepada para pelakon dan semua krew produksi yang terlibat di dalam penghasilan filem patriotik yang hebat ini. 


Secara keseluruhannya, kami boleh katakan filem Malbatt: Misi Bakara ini menawarkan sebuah pengalaman tontonan yang agak menarik dan mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan yang jitu kepada karya patriotik ini. Jadi, jangan lupa untuk menonton filem Malbatt: Misi Bakara bermula pada 24 Ogos 2023 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

Catat Ulasan

0 Ulasan