Review Filem Sumpahan Jerunei

Filem:
Sumpahan Jerunei

Penilaian:
7/10


Pengarah:
Jason Chong

Genre:
Seram, Misteri & Thriller 

Pelakon:
 Bront Palarae, Uqasha Senrose, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Amerul Affendi, Tony Eusoff & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
27 Julai 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang Dr. Sani dan pasukannya yang pergi mencari isterinya yang hilang semasa ekspedisi untuk mengkaji Jerunei. Seiring mereka menyusuri hutan untuk mencari jawapan, setiap ahli mengalami halusinasi dan kekacauan. Ada juga yang mendapati diri mereka terjaga di tempat yang asing dan menyeramkan. Apakah sebenarnya yang berlaku? Saksikan filem seram yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 27 Julai 2023 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram yang menarik berjudul Sumpahan Jerunei pada 27 Julai 2023 yang lepas di GSC MidvalleyFilem yang diilhamkan oleh adat kaum Melanau ini telah membuka pintu kepada penonton untuk merasai kegelapan, kejutan, dan ketakutan yang menghantui jiwa dengan menawarkan elemen misteri, seram dan pengorbanan yang menarik. 


Terlebih dahulu, suka untuk kami nyatakan bahawa filem Sumpahan Jerunei ini berjaya tampil dengan sebuah kisah penceritaan baru yang unik dan ianya sedikit lari daripada kisah seram filem tempatan yang lain. Amalan berkaitan Jerunei yang berkemungkinan besar agak asing buat penonton filem tempatan terutama buat mereka yang berasal dari Semenanjung secara automatik telah berjaya membuka mata kami bahawa Malaysia sebenarnya kaya dengan adat-adatnya rakyatnya yang berbilang kaum. Apabila hal berkaitan Jerunei ini diangkat ke dalam sebuah filem seram sebegini secara tidak langsung mendekatkan lagi penonton dengan budaya dan adat lama masyarakat di negeri Borneo yang pernah wujud suatu ketika dahulu. 


Filem Sumpahan Jerunei ini berjaya menawarkan sebuah penceritaan yang cukup menarik dimana ianya bukan sekadar menawarkan kisah seram semata tetapi ianya diindahkan dengan sinematografi kehidupan masyarakat disana yang hidup di pinggiran sungai. Menarik melihat susun atur bentuk rumah, cara kehidupan serta raut wajah penduduk yang berjaya mencerminkan keunikan masyarakat Borneo di situ. Walaupun banyak filem-filem seram yang berpaksikan kepada penceritaan berbentuk ekspedisi namun kali ini ia memperlihat sedikit kelainan apabila menyatukan ahli-ahli kumpulan yang mempunyai misi yang berbeza antara satu sama lain. Ada yang menjejaki isteri yang hilang. Ada yang ingin mendapat nama sebagai mereka yang terawal membuat penemuan. Ada yang mengejar populariti melalui rakaman video seram. Setiap satu daripada tujuan ini berjaya menyatu dengan cukup baik untuk ditonton tanpa sebarang rasa janggal. 


Selain itu, filem Sumpahan Jerunei juga dilihat hebat kerana kehebatan barisan pelakonnya di dalam menjiwai watak serta kebijaksanaan mereka dalam mengekspresi emosi serta lontaran suara yang jelas dan hidup. Sukar untuk menonton filem seram tempatan apabila adegannya melibatkan jeritan suara wanita kerana selalunya ia kedengaran seolah-olah dibuat-buat dan tiada jiwa. Namun, berlainan di dalam filem ini apabila dua pelakon wanitanya iaitu Daiyan Trisha dan Uqasha Senrose berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan cukup berkesan. Lontaran suara mereka untuk aksi jeritan juga tidak terasa mengjengkelkan sebaliknya emosi ketakutan tersebut dapat dirasai oleh kami. Ditambah pula oleh keberanian mereka yang sangat berani membakul sampah kecantikan wajah yang dimiliki dengan mengotorkannya di dalam air yang berlendir membuatkan kami bertambah kagum dengan aksi yang diberikan mereka demi filem seram ini. 


Namun, masalah utama yang memberi kesan besar terhadap filem seram Sumpahan Jerunei ini adalah imej janaan komputer atau CGI dan VFX yang betul-betul buruk. Boleh dikatakan hampir keseluruhan babak yang melibatkan penggunaan teknologi tersebut dilihat membantutkan rasa seram penonton. Ada dua babak sahaja yang pada kami walaupun adegan menggunakan CGI tersebut masih kurang menarik tetapi berjaya memberikan rasa seram kepada menonton iaitu serangan hantu terhadap watak lakonab Daiyan Trisha dan juga watak Syafie Naswip sewaktu mengasah pensil lukisan dengan pisau. Selain itu, tiada yang betul-betul memukau walau secara hakikatnya adegan-adegan tersebut sepatutnya mampu memberikan rasa seram yang sepatutnya kepada penonton kerana teknik jumpscare yang digunakan adalah tepat pada masanya dan lakonan pelakon juga sangat mantap. Tetapi, apakan daya masalah CGI ini memberi kesan yang agak besar terhadap suasana seram filem ini yang sepatutnya mampu menjadi sempurna. Sayang sangat! 


Secara keseluruhannya, kami boleh katakan filem Sumpahan Jerunei ini menawarkan sebuah kisah yang agak menarik dan sepatutnya diberi sokongan oleh para penonton filem tempatan. Jadi, jangan lupa untuk menonton filem Sumpahan Jerunei bermula pada 27 Julai 2023 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

Catat Ulasan

0 Ulasan