Review Filem Talk To Me


Filem:
Talk To Me 

Penilaian:
9/10


Pengarah:
Danny Philippou & Michael Philippou

Genre:
Seram & Thriller 

Pelakon:
 Sophie Wilde, Alexandra Jensen, Joe Bird, Otis Dhanji & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
27 Julai 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang sekumpulan remaja yang melakukan ritual untuk memanggil hantu sebagai satu permainan suka-suka demi mencabar keberanian serta untuk kepuasan diri sendiri. Mereka menyeru roh menggunakan potongan tangan yang diawet dimana ia dikatakan merupakan tangan daripada seseorang yang mampu melihat hantu. Disebabkan kejayaan awal mereka menyeru roh, mereka dilihat obses bermain permainan ini sehinggalah salah seorang daripada mereka iaitu Mia secara tidak sengaja dapat melihat dan bertemu dengan roh ibunya yang telah meninggal dunia. Selepas kejadian tersebut, nyawa mereka yang bermain pula mula terancam. Adakah mereka akan selamat? Saksikan filem seram yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 27 Julai 2023 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram yang cukup menarik berjudul Talk To Me pada 26 Julai 2023 yang lepas bersamaan hari lahir kami di GSC Midvalley.  


Terlebih dahulu, suka untuk kami nyatakan bahawa fileTalk To Me ini benar-benar memberikan satu kejutan hebat terhadap pengalaman kami menonton filem seram pada tahun 2023 ini. Walaupun sudah banyak filem seram yang mengangkat kisah berkaitan dengan seruan roh menggunakan pelbagai jenis cara terutama yang popular seperti Spirit The Coin, namun Talk To Me tampil dengan satu cara yang cukup unik dan berbeza iaitu dengan menggunakan tangan yang telah diawet. Lebih menarik apabila melihat cara menyeru roh serta jangka masa yang ditetapkan untuk setiap kali panggilan yang konsisten juga menyebabkan kisah seram ini tampak lebih realistik dan kelihatan cukup bijak berbanding filem seram lain yang ditayangkan pada tahun ini.


Kami boleh katakan filem Talk To Me ini merupakan antara calon filem seram terbaik untuk tahun 2023 ini disebabkan penceritaannya yang cukup kemas walaupun plot penceritaannya melibatkan banyak watak serta pelbagai kisah setiap satu daripada mereka. Kami cukup suka melihat bagaimana watak Mia ini dikembangkan dengan cukup cantik di dalam filem ini untuk membuatkan kita dapat memahami kisah silam Mia yang cukup tragis tanpa perlu mengharapkan babak imbas kembali yang klise di dalam filem-filem bergenre seram. Kami juga cukup tertarik dengan kisah adik beradik Jade dan Riley dimana setiap dialog yang diungkapkan berjaya membuatkan penonton memahami karakter serta apa yang berlaku di dalam kehidupan adik beradik ini pada masa lampau. Begitu juga dengan watak-watak lain yang berjaya dikembangkan kisah mereka dengan menarik dan tidak kelihatan sarat atau panjang berjela-jela. 


Selain itu, filem Talk To Me juga dilihat sarat dengan pelbagai perkara menarik terutama berkaitan dengan persahabatan dan nilai kekeluargaan. Memandangkan filem ini mendapat klasifikasi tontonan 18 tahun dan ke atas, babak-babak melibatkan anak dan ibu bapa di dalam filem ini dilihat sangat terbuka untuk menyampai frasa dialog yang cukup tajam dan berbau seksual yang agak kuat. Walaupun ada unsur humor diterapkan di dalam adegan-adegan sebegini, namun setiap babak ini berjaya dihasilkan dengan cukup baik dan mempunyai makna yang bijak. Sukar untuk menonton filem seram Inggeris dari luar negara yang menampilkan jalan cerita yang berisi sebegini. Lebih menarik perhatian kami apabila filem ini cukup hebat mengelirukan penonton dengan keseluruhan jalan ceritanya yang mempunyai banyak plot twist pintar yang cukup menghiburkan.


Bersesuaian dengan statusnya sebagai sebuah filem seram thriller, Talk To Me bukan sebuah filem seram yang lesu walaupun ia kurang menggunakan teknik jumpscare. Elemen seram yang terhasil di dalam filem ini lebih dirasai melalui permainan emosi yang mantap oleh barisan pelakonnya sendiri serta dibantu oleh penggunaan cahaya yang berjaya menyatu dengan baik mengikut suasana yang dikehendaki. Dibantu pula oleh teknik solekan ngeri yang meyakinkan serta imej teknik janaan komputer yang menakutkan sudah cukup untuk menjadikan filem ini sebagai salah sebuah filem seram kegemaran kami untuk tahun 2023. Mantap! 


Secara keseluruhannya, kami boleh katakan filem Talk To Me ini sangat menarik dan boleh diangkat sebagai antara filem paling seram untuk tahun 2023. Jadi, jangan lupa untuk menonton filem Talk To Me bermula pada 27 Julai 2023 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. anak MA heboh nak gi tgk cita ni but memang x dpt lah..sb 18SX yer.. dia suka tgk cita seram x mcm Mummy dia...penakut

    BalasPadam