Review Filem Oppenheimer

Filem:
Oppenheimer 

Penilaian:
10/10


Pengarah:
Christopher Nolan 

Genre:
Biografi, Drama & Sejarah 

Pelakon:
 Cillian Murphy, Emily Blunt, Robert Downey Jr., Matt Damon, Rami Malek, Florence Pugh, Benny Safdie, Michael Angarano, Josh Hartnett, Kenneth Branagh & Etc.

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
20 Julai 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang seorang saintis Amerika bernama J. Robert Oppenheimer serta peranannya di dalam mencipta dan membangunkan bom atom yang digunakan untuk mengebom bandar Hiroshima dan Nagasaki pada perang dunia kedua. Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Julai 2023 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem biografi yang cukup menarik berjudul Oppenheimer pada 20 Julai 2023 yang lepas di TGV IMAX One Utama. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak UIP Malaysia atas jemputan ini. 


Terlebih dahulu, suka untuk kami nyatakan filem Oppenheimer ini walaupun menarik di mata kami namun belum tentu sesuai atau bertepatan dengan selera majoriti penonton tempatan yang lebih suka memilih filem bergenre aksi dan kelakar. Ini disebabkan filem yang berdurasi 3 jam ini mampat dan sarat dengan dialog-dialog setiap watak yang adakalanya bakal menguji ketahanan mata anda sewaktu menyaksikannya di layar. Namun, buat para penggemar filem biografi atau sejarah, kami berani jamin anda pasti akan berasa puas menonton filem ini yang berjaya menampilkan dialog-dialog yang cukup bermakna dan ianya saling berkait rapat dari satu babak ke babak yang lain. 


Kami boleh mengatakan filem Oppenheimer ini merupakan antara calon filem terbaik untuk tahun 2023 ini disebabkan penceritaannya yang cukup kemas dan dibantu oleh susunan kronologi plot yang teratur untuk membuatkan para penonton memahami watak dan perwatakan Oppenheimer dengan cukup mendalam. Filem ini berjaya membuatkan kami berasa dekat dengan insan bernama Oppenheimer sama ada dari segi cara berfikir, karakter serta sifatnya yang kadang-kadang dilihat mempunyai percampuran antara antagonis dan protagonis. Sesekali dilihat seperti wira manusia namun adakalanya dilihat sebagai perosak dunia masa depan. Faktor ini sudah cukup membuatkan filem ini mempunyai identitinya yang tersendiri untuk dilihat sebagai sebuah naskah di tahun 2023 yang berdiri megah dan berada jauh dari filem-filem lain yang sedia ada. 


Selain itu, filem Oppenheimer juga sarat dengan pelbagai perkara menarik meliputi nilai kemanusiaan, dunia politik antarabangsa, integriti diri, cara kelangsungan hidup dan prinsip kehidupan. Gabungan faktor-faktor tersebut berjaya membuatkan filem yang sarat dengan limpahan dialog para pelakon ini dilihat hidup dan memberikan makna yang cukup hebat terhadap frasa dialog yang digunakan sama ada secara tersurat mahu pun tersirat. 


Bayangkan sebuah filem yang pada hakikatnya mempunyai isi yang berat, bermain dengan formula matematik yang sangat kompleks serta gambaran atom-atom yang berserabut mampu diringankan dan dihadam dengan mudah oleh penonton. Itulah keistimewaan Oppenheimer yang berjaya membuktikannya pada tahun 2023 ini. Bukan sekadar isi cerita, filem ini juga tampil gah dengan kekuatan visual, imej janaan komputer serta kesan bunyinya yang mampu membuatkan anda rasa merinding walaupun secara faktanya filem ini bukannya sebuah filem seram. Ada beberapa babak yang menampilkan perasaan dan bayangan Oppenheimer yang bakal membuatkan anda rasa gerun tanpa sebab yang jelas. Ini adalah antara keistimewaan filem ini yang berjaya membuatkan kami berasa sangat teruja. Dibantu pula oleh lakonan yang mantap daripada barisan pelakon hebat yang membintangi filem ini sudah cukup untuk kami menyatakan filem ini berjaya memberikan kepuasan di tahap maksimum pada pengalaman menonton sebentar tadi. Mantap! 


Secara keseluruhannya filem Oppenheimer ini sangat menarik dan menghiburkan untuk anda tonton di pawagam terutamanya buat mereka yang meminati filem bergenre seperti ini. Jadi, jangan lupa untuk menonton filem Oppenheimer bermula pada 20 Julai 2023 dan pastikan anda menonton di pawagam IMAX untuk kepuasan paling maksimum. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Ade macam schindler list ke?. 3jam lebih tapi best dan engaging

    BalasPadam