Review Filem Pet Sematary


Filem:
Pet Sematary

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Kevin Kolsch & Dennis Widmyer

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
Jason Clarke, Amy Seimetz, John Lithgow, Jeté Laurence, Obssa Ahmed & Etc.

Tarikh Tayangan:
4 April 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang doktor bernama Louis yang telah membawa keluarganya pindah dari Boston ke sebuah pekan kecil di Maine. Louis kemudian mendapat tahu bahawa berdekatan dengan tempat mereka tinggal terdapat sebuah tanah perkuburan haiwan yang kelihatan sangat misteri. Tiba-tiba ada satu kejadian buruk berlaku yang membuatkan Louis meminta bantuan daripada jirannya Jud Crandall. Namun, ia menjadikan masalah lebih besar dan bakal memusnahkan kehidupan keluarga Louis yang sebelum ini bahagia. Mampukan Louis membaiki semula segala kesilapan yang berlaku? Saksikan filem seram ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 4 April 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Pet Sematary di MBO Starling Mall, Petaling Jaya pada 4 April 2019 yang lepas. Filem Pet Sematary ini merupakan sebuah filem pembikinan semula daripada karya asal dengan judul yang sama. Filem asal yang diadaptasi daripada novel seram Stephen King ini diterbitkan pada tahun 1989 dan dikatakan lebih menarik berbanding filem Pet Sematary arahan Kevin Kolsch & Dennis Widmyer ini. Benarkah komen-komen netizen yang sudah menonton ini?


Filem Pet Sematary versi 2019 ini pada asasnya boleh dikatakan hampir sama dengan kebanyakkan filem-filem seram yang lain kerana memaparkan permulaan cerita yang sangat klise. Ia boleh dilihat melalui penceritaan awalnya berkaitan sebuah keluarga dari bandar besar yang berpindah ke kawasan pedalaman atas alasan untuk lari dari kesibukan kota dan memilih untuk tinggal di sebuah rumah agam atau banglo bersaiz besar yang jauh dari orang lain. Namun, perbezaan yang boleh dilihat di dalam filem ini ialah melalui perkembangan watak yang berubah daripada protagonis kepada antagonis dengan olahan penceritaan yang agak menarik untuk dibincangkan.


Walaupun momentum penceritaan filem Pet Sematary versi 2019 ini bergerak sangat perlahan disebabkan plot penceritaannya yang amat mendatar namun ia secara perlahan-lahan berubah sewaktu pertengahan apabila beberapa konflik yang dicetuskan berjaya menaikkan adrenalin penonton yang menyaksikan filem ini. Kami menyukai mesej-mesej yang disampaikan di dalam filem filem berkaitan dengan keluarga dan kematian. Satu perkara menarik untuk melihat penerimaan Louis dan Rachel terhadap anak mereka Ellie sewaktu anak mereka masih hidup dan sewaktu anak mereka 'kembali' semula di dalam kehidupan mereka. Kami sangat menyukai emosi yang disampaikan kerana ia benar-benar menampakkan tindakan spontan seorang bapa dan seorang ibu terhadap anak kesayangan mereka. Ia satu konflik menarik untuk melihat penerimaan dua watak ini terhadap derita kehilangan insan yang mereka sayangi telah kembali tetapi sikap rasional serta imaginasi mula bertembung di dalam menentukan kewajaran tindakan tersebut dibuat. Memang menarik babak pertembungan semula Rachel dengan Ellie yang disaksikan oleh Louis pada pertengahan cerita.


Menyentuh tentang elemen seram di dalam filem ini, kami melihat penggunaan jump scare agak berkesan dan bertepatan dengan kehendak adegan tersebut untuk menakut-nakutkan penonton. Elemen seram di dalam filem ini juga turut banyak dibantu oleh kesan sinematografi yang mantap serta kesan bunyi yang bersesuaian dan menyokong kebanyakkan babak seram di dalam filem ini. Namun, secara keseluruhan keseraman filem Pet Sematary ini kelihatan masih di tahap biasa bagi kami namun masih ada beberapa adegan seram yang mampu memberikan impak kejutan yang menarik buat anda. Jadi, jika anda ingin merasa terkejut atau kejutan maka filem ini masih tidak mengecewakan.


Pelakon Jeté Laurence yang memainkan watak Ellie berjaya mencuri tumpuan kami dengan lakonan mantapnya di dalam menterjemahkan perwatakan watak ini sewaktu menjadi protagonis dan juga semasa menjadi antagonis. Ia adalah satu pertukaran perwatakan yang boleh dianggap sangat cemerlang kerana ia kelihatan sangat semula jadi dan meyakinkan. Walaupun impaknya tidak sehebat lakonan pelakon kanak-kanak Jackson Robert Scott di dalam filem Prodigy namun Jeté Laurence sememangnya tidak mengecewakan di dalam filem ini. Satu lagi watak yang mencuri tumpuan ialah watak seekor kucing bernama Church yang pasti akan membuatkan anda terasa gerun saat kemunculannya pada pertengahan dan akhir filem.


Namun, kami kurang menggemari jalan cerita filem Pet Sematary ini kerana terdapat banyak kelompongan atau plot hole pada jalan ceritanya yang membuatkan kami berasa canggung dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi. Perkara ini mudah dilihat terutama apabila ia melibatkan perkembangan salah satu watak pembantu yang penting di dalam penceritaan filem ini iaitu watak Jud lakonan John Lithgow. Wataknya gagal berkembang dengan baik dan kelihatan sangat kosong kerana penceritaan untuk watak ini tidak diperkemaskan dengan sewajarnya. Kemunculannya di dalam filem ini gagal dimanfaatkan disebabkan kehidupan lampaunya bersama isteri yang penuh misteri tidak didedahkan dan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin di dalam filem seram ini. Selain itu, watak Victor Pascow lakonan Obssa Ahmed juga turut berjaya menambahkan lagi kelompongan cerita filem ini di tahap yang maksimum. Kami merasakan hal-hal ini membuatkan penceritaan filem ini kelihatan sangat lemah namun nasib filem ini baik kerana elemen-elemen lain seperti lakonan, sinematografi serta skor bunyi berjaya menyelamatkan filem ini daripada terus menjunam ke bawah. 


Jadi, selamat menonton filem Pet Sematary di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 4 April 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Berjudul Tiada Tajuk. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Anda patut menonton filem Pet Sematary versi 1989 sebelum menonton versi 2019. Banyak perubahan ketara yang ditonjolkan berbanding versi asal. Apapun watak Jud lakonan John Lithgow mmg menonjol di samping watak Ellie dan Church. Saya bagi 7/10 untuk filem ini

    BalasPadam
  2. Setuju dgn review Tanda Nama. Versi 1989 memang byk kali saya tonton dlm format VHS dan antara film S.King yg saya suka oleh kerana idea, plot dan twisted ending nya. Versi 2019 ni cuba bawa idea yg sama tetapi perubahan yg di buat utk peminat versi 1989 amat saya puji. Overall, saya suka the creepiness dan cinematography versi 2019 ni tetapi saya prefer lagi ending 1989. TQ

    BalasPadam