Review Filem One Two Jaga


Filem:
One Two Jaga

Penilaian:
10 / 10

Pengarah:
Namron 

Genre:
Aksi, Drama & Jenayah

Pelakon:
Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Ario Bayu, Asmara Abigail, Timothy Castillo,
Amerul Affendi, Chew Kim Wah, Iedil Putra, Along Eyzendy, Azman Hassan,
Namron, Izuan Fitri, Vanida Imran, Anne James, Sabri Yunus, Bront Palarae & Etc

Tarikh Tayangan:
6 September 2018

Terbitan:
Pixel Play

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang kisah di sebalik tabir pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia yang mana buat pertama kalinya dalam sejarah filem Malaysia memaparkan sisi gelap segelintir anggota yang sanggup mengkhianati amanah dengan mengambil rasuah dan terjebak dalam kegiatan jenayah. Dua orang anggota polis iaitu Hassan dan Hussein merupakan rakan setugas dan masing-masing mempunyai prinsip yang tersendiri ketika melaksanakan tugas. Kesabaran Hussein mula diuji apabila dasar amanah yang dipertahankan di dalam prinsip tugasnya bertentangan dengan seniornya, Hassan yang menghalang usahanya menegakkan keadilan sewaktu mereka berdua menguruskan isu pendatang asing dan pekerja haram. Saksikan filem yang sarat dengan mesej tersurat dan menarik ini di pawagam berdekatan anda.

Ulasan:

Menonton filem One Two Jaga yang membawakan konsep rasuah versi realistik melalui hubungan antara pendatang tanpa izin dan anggota polis sememangnya merupakan sebuah idea yang cukup menarik untuk industri filem Malaysia. Filem yang menelan belanja RM2 juta ini memulakan penggambaran pada 15 Julai 2016 selepas hasil kejayaan One Two Jaga mengalahkan 140 buah filem daripada 23 buah negara di dalam Southeast Asian Film Financing (SAFF) di Singapura pada Disember 2015. Jika diikutkan, penggambaran filem ini tertangguh sejak tahun 2014 atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan berkaitan skrip, baget serta urusan dengan pihak penguatkuasa. Alhamdulillah, hasil penantian aku yang penuh kesabaran ini maka akhirnya aku berpeluang menonton sendiri filem ini pada 6 September 2018 bertempat di TGV The Mines dengan harga tiket RM8 sahaja.


Filem ini pada awalnya bercerita tentang gejala rasuah melalui sisi salah laku dalam kalangan anggota polis bawahan yang mengambil kesempatan di atas kelebihan kuasa memegang undang-undang yang mereka miliki. Permulaan filem ini yang bijak menggunakan lirik lagu permainan popular di kalangan kanak-kanak zaman dahulu iaitu 'Polis Entry One Two Jaga, Polis Mati Pencuri Jaga' memberi makna kiasan yang cukup besar terhadap keseluruhan perjalanan filem ini. Ia membuatkan penonton terfikir tentang konsep yang secara zahirnya tampak mudah tetapi sebenarnya menjadi begitu kompleks apabila melihat kepada sudut 'siapa sebenarnya penjenayah dan siapa sebenarnya polis' di dalam kehidupan sebenar. Ini kerana polis memilih untuk menjadi 'penjenayah' manakala penjenayah pula memilih untuk menjadi 'polis' melalui sudut pandang yang cukup kreatif. Lebih meyakinkan lagi apabila sudut tersebut berjaya divisualkan dengan cukup baik melalui kisah watak-watak di dalam filem ini yang saling berkaitan antara sedar atau tidak.



Filem ini juga bercerita tentang pergaduhan dan peras ugut yang sering kita dengar berlaku terhadap pendatang asing yang bersepah wujud di bumi Malaysia ini sama ada datang dengan sah atau tanpa izin oleh pihak penguatkuasa. Filem ini berjaya menyuarakan budaya penindasan yang cukup hina yang sering berlaku kepada golongan pendatang asing ini melalui perlambangan visual yang bagi aku sangat berjaya menggambarkan mesej serta kritikan sosial terhadap isu tersebut. Jadi, aku secara peribadi cukup bangga dengan pengarah filem ini iaitu Namron yang berjaya menonjolkan sisi gelap ini dengan mengguna pakai sistem rasuah versi Melayu melalui pelbagai bentuk penceritaan watak di dalam filem ini sehinggakan aku rasa tidak puas menonton naskhah yang berdurasi 80 minit ini.


Mari kita lihat kepada watak utama iaitu Hussein (Zahiril Adzim) melalui pengenalan awalnya di dalam filem ini. Wajahnya yang kebingungan dan dipenuhi luka serta kesan jahitan di mukanya. Kemudian, Hussein disoal siat pula oleh rakan-rakan polisnya sendiri berkenaan dakwaan jenayah yang dikenakan terhadapnya. Kemudian persoalan demi persoalan timbul berkaitan catatan dia di dalam buku kecilnya sebelum filem ini membawa penonton mengimbas kembali apa sebenarnya yang berlaku kepada Hussein dalam ruang masa beberapa jam sebelum itu. Menariknya disini ialah segala kejadian yang berlaku terhadap semua watak di dalam filem ini berlangsung di dalam sehari sahaja tetapi disampaikan dengan menarik dan penuh ideologi.



Filem ini kemudian menunjukkan hubungan Hussein serta Hassan sebagai rakan sekerja dimana mereka berdua mempunyai sudut pandangan yang berbeza dari segi ideologi amanah dan kehidupan. Sambil disusuli dengan pandangan Hussein terhadap papan kenyataan berkenaan jumlah kes jenayah bulanan yang dilaporkan, aku cukup suka bagaimana filem ini menyentuh watak Hassan (Rosdeen Suboh) yang merasionalkan budaya rasuahnya ini atas tuntutan menyara kehidupan keluarganya berdasarkan realiti sebenar yang sering terjadi di dalam kehidupan di bandaraya-bandaraya besar. Watak Hassan ini berjaya menembak profesionalisme yang dibawakan oleh ahli-ahli politik, majikan, pemilik kedai runcit hatta anggota polis yang berpangkat besar sekali pun. Kritikan pedas terhadap jawatan dan pangkat yang semestinya mempunyai hasil pendapatan yang mewah namun tetap melakukan perbuatan rasuah pada skala yang jauh lebih besar atas sebab ketamakan kuasa dan wang. Ini adalah satu sentuhan kritikan yang aku rasakan cukup padu.



Berlainan pula dengan watak Hussein dimana watak ini terperangkap di dalam dilema dalam melaksanakan amanah tugasnya disebabkan halangan daripada anggota polis yang lain. Disini dapat dilihat keunikan filem ini kerana berjaya menunjukkan permasalahan sistem dalam organisasi keselamatan negara yang wajar diperhalusi dan diperbaiki dari masa ke semasa agar tidak terjadi seperti apa yang dipaparkan di dalam filem ini. Apa yang menjadikan isu ini lebih tragis apabila orang-orang seperti Hussein ini terpaksa berjuang seorang diri untuk cuba memecahkan kitaran rasuah yang membiak dengan cukup dasyat. Tetapi, persoalan menarik berjaya ditimbulkan disini apabila dipaparkan rasuah yang berlaku bukan sekadar sehala tetapi wujud di setiap peringkat dan organisasinya yang akhirnya merosakkan negara. Gara-gara rasuah durjana, manusia yang terlibat ini digambarkan melalui watak-watak filem ini yang seolah-olah terbenam di dalam lumpur kemunduran sivik dan ada juga yang kelihatan tertimbus di dalam neraka kemiskinan dunia.


Lihat sahaja kepada babak pertemuan awal Hussein dan Adi(Amerul Affendi) di dalam filem ini. Ia sebenarnya memberikan kritikan yang cukup pedas dan sangat menarik terhadap isu hak asasi, pembelaan, maruah serta penghormatan terhadap anggota polis. Dan bagaimana campur tangan Pak Sarip (Azman Hassan) memberi definisi baru kepada pemahaman Hussein terhadap penglibatan anggota polis di dalam hierarki pertengahan jawatan yang semestinya lebih tinggi dan berkuasa daripada Hussein. Lebih menarik apabila tibanya babak mahal Hussein bertemu dengan James (Chew Kim Wah) dan Zul (Along Eyzendy) di Restoran Cina. Perlambangan masakan ketam serta dialog halal itu sendiri sebenarnya merupakan frasa yang cukup hebat di dalam menggambarkan maksud rasuah serta cabaran yang perlu dihadapi oleh Hussein yang sekadar anggota polis berpangkat rendah sewakktu berhadapan dengan anggota yang lebih senior dan berkuasa. Emosi kecelaruan, kerisauan dan kecewaan yang diberi oleh Zahiril kepada watak Hussein sememangnya sangat menarik untuk dilihat apabila dia mulai menyedari korupsi bukan sekadar berlaku di peringkat bawahan tetapi juga telah menjajah peringkat pertengahan. 


Punca gejala rasuah disini juga dipaparkan dengan gaya kiasan yang santai. Salah satunya memberi fokus kepada tangga gaji yang menyebabkan berlakunya gejala rasuah di kalangan anggota bawahan. Ini dapat dilihat melalui watak Hassan yang meminta wang perlindungan kepada individu-individu biasa seperti pemilik kedai runcit, pendatang asing tanpa izin serta pemandu-pemandu lori semata-mata untuk memenuhi permintaan isteri dan dua orang anaknya. Dalam masa yang juga sebagai salah satu usaha untuk dia bertahan di dalam kehidupan berkeluarga di bandaraya Kuala Lumpur yang sering kali dicetuskannya saban kali berbicara dengan Hussein berkenaan keluarga. Dari satu sudut, filem ini cuba menyampaikan pandangannya berkenaan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan erti kebahagiaan sebuah keluarga. Adakah memenuhi permintaan ahli keluarga akan membuatkan keluarga tersebut bahagia? Adakah bahagia jika dilakukan dengan menggunakan duit haram hasil rasuah? Lebih menarik apabila satu babak menunjukkan anak Hassan yang bengkak matanya selepas ditumbuk rakan di sekolah memberi sebab pergaduhan itu tercetus kerana bapanya digelar anjing sewaktu babak di dalam kereta. Dan bagaimana reaksi wajah serta emosi Hussein pada ketika itu juga seolah-olah mengiyakan bahawa penerima rasuah dan anjing seolah-olah tiada beza. Menarik sebenarnya untuk dilihat bagaimana filem ini menyampaikan ideologinya yang tersendiri.


Memandangkan filem ini memberi tumpuan kepada pendatang asing, aku cukup suka melihatkan kisah watak Sugiman (Ario Bayu), seorang buruh dari Indonesia yang cuba membantu adiknya, Sumiyati (Asmara Abigail) yang menghadapi masalah untuk pulang ke Indonesia kerana melarikan diri daripada majikannya yang turut sama menyimpan passportnya. Kisah ini disampaikan dengan plot cerita yang ringan tetapi bergerak dengan penuh karisma. Dibantu pula dengan watak anak Sugiman iaitu Joko (Izuan Fitri) juga berjaya membawa satu sisi lain yang bagi aku cukup segar dimana babak ini secara tidak langsung memberi pencerahan dan cuba membawa sisi keadilan terhadap nasib anak-anak warga asing yang lahir di Malaysia ini daripada sudut hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan demi masa depannya. Ini kerana hakikatnya kanak-kanak ini yang tidak mendapat pendidikan atau dinafikan peluang pendidikan oleh ibu bapa mereka sendiri atau kerana undang-undang yang menghalang mereka bersekolah sememangnya mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk menyebabkan mereka terlibat di dalam gejala jenayah pada waktu dewasanya. Hal ini jelas berjaya dipaparkan apabila watak Joko ini tampak terlalu matang berbanding usia gara-gara sering bersama Adi menjadikan Adi yang sering menunjukkan budaya-budaya kerosakan jiwa sebagai simbol idolanya.



Satu perkara menarik juga yang aku suka untuk ulas disini berkenaan watak Pak Sarip dan Adi yang gemar mengangkat diri mereka sebagai hero yang membela nasib-nasib warga asing ini tetapi sebenarnya merupakan manusia yang pendusta dan munafik kerana mengambil kesempatan diatas setiap pendatang asing yang bekerja dengan mereka. Sebenarnya, semua dilakukan atas dasar keuntungan semata-mata seperti babak Pak Sarip yang konon-kononnya memberi diskaun bayaran kepada Sugiman jika mahu menghantar adiknya pulang ke Indonesia menggunakan jalan laut. Sama halnya dengan Adi yang membakar mayat-mayat pekerja ini tanpa ada rasa simpati atas dasar keuntungan kerana tidak perlu membazir menguruskan mayat-mayat ini. Disini dapat dilihat orang kaya menjadi bertambah kaya manakala mereka yang sudah sedia miskin ini seperti watak pendatang asing ini akan tetap miskin kerana tiada pengaruh dan kehidupan mereka lebih tertindas serta menjadi bertambah teruk. Ini dapat dilihat pada babak sewaktu Sumiyati memberi cadangan kepada Sugiman agar membawa pulang Joko ke Indonesia untuk masa depan yang lebih cerah.


Satu lagi kisah menarik di dalam filem ini ialah kisah ketiga berkenaan watak Rico (Timothy Castillo) yang merupakan pendatang tanpa izin dari Filipina serta sahabatnya Marzuki (Iedil Putra) telah disyaki mencuri oleh majikan mereka yang merupakan seorang orang kenamaan berpangkat Dato' lakonan Namron. Kisah ini juga menarik kerana ia memberi sindiran padu kepada orang-orang kenamaan. Aku tidak mahu ulas panjang berkenaan kisah ini kerana aku mahu kalian menonton di pawagam. Cuma apa aku boleh kongsikan, kisah Rico dan Marzuki ini sebenarnya agak menyedihkan bagi aku.


Salah satu daya tarikan utama filem ini sebenarnya untuk aku sewaktu aku menonton trailer pada tahun 2017 iailah penggunaan bahasa kesat dan kasarnya yang memang cukup padu dan memberi kesan kepada emosi dan perjalanan cerita filem ini. Namun, aku faham tentang perkara berkaitan ini terpaksa ditapis demi tayangan di pawagam cuma adakalanya ia seperti mengganggu tontonan aku. Sayangnya aku tidak dapat mendengar lontaran carutan bertenaga daripada watak Adi (Amerul Affendi) serta Hussein (Zahiril Adzim) yang aku sangat yakin mesti begitu padu dan penuh penghayatan. Aku teringin mahu lihat filem One Two Jaga yang bebas daripada sebarang bentuk penapisan tetapi dimana boleh ditonton versi tersebut? Hahaha!


Menyentuh berkaitan lakonan, Zahiril Adzim sebagai Hussein dan Rosdeen Suboh sebagai Hassan  berjaya memberikan persembahan yang sangat meyakinkan dan menyerlahkan keserasian mereka. Ario Bayu sebagai Sugiman pula berjaya mewarna-warnikan karakter tersebut di dalam pelbagai situasi yang cukup mustahil untuk dibayangkan. Amerul Affendi sebagai Adi pula sudah tidak perlu dinafikan berjaya membawakan watak 'pejuang nasionalisme keadilan' dengan sangat bergaya. Watak-watak lain juga tidak kurang hebatnya dan bagi aku semuanya berjaya memberikan lakonan yang cukup sempunya dan meyakinkan.


Menonton filem One Two Jaga memberikan ketenangan telinga buat aku kerana skor bunyinya yang cukup bagus dan langsung tidak membingitkan seperti filem Munafik 2. Bagi aku, memang latar bunyi yang terdapat di dalam filem ini sangat-sangat membantu menaikkan emosi aku yang sedang menonton terutama ketika babak-babak cemas dan menarik muncul di layar pawagam. Sinematografi filem One Two Jaga juga sangat baik di dalam memaparkan Kuala Lumpur dari sudut pandang jenayahnya melalui kawasan sesak dan kawasan semak samun pembakaran mayat dan membantu menonjolkan realiti kisah wataknya yang menghadapi kesukaran dengan cukup baik.


Suka untuk aku kongsikan disini ialah babak akhir pergelutan di dalam hujan sebenarnya adalah jawapan yang cukup kritis terhadap konflik, penghormatan, kebencian serta dilema yang melatari watak-watak di dalam filem ini. Aku harap rakyat Malaysia ramai-ramai memberi sokongan terhadap filem hebat ini agar lebih banyak isu-isu masyarakat Malaysia dapat dipaparkan dan difilemkan pada masa-masa akan datang. Tak akan kita perlu menunggu lama sehingga sepuluh tahun lagi untuk menonton filem-filem seperti One Two Jaga ini di masa akan datang? Sayang kerana filem hebat ini mendidik masyarakat kita untuk lebih memahami sendiri senario yang berlaku di sekeliling kita yang kebanyakkan ambil mudah atau tidak kisahkan sedangkan ia memberi impak terhadap kehidupan masyarakat kita secara keseluruhannya.



Jadi, aku senaraikan lima sebab disini kenapa anda wajib menonton filem One Two Jaga :

1) Filem pertama Malaysia yang berani mengangkat kisah kepincangan yang berlaku di dalam organisasi Polis Diraja Malaysia dalam keseluruhan ceritanya.

2) Plot ceritanya sangat menarik dan mudah dihadam oleh penonton daripada pelbagai latar belakang. 

3) Barisan pelakonnya yang memberikan penghayatan kepada karakter serta mempersembahkan lakonan yang cukup mantap dan meyakinkan.

4) Bukan sebuah filem kosong tetapi mempunyai mesej yang sangat menarik kerana ini adalah realiti yang berlaku di dalam pelbagai sektor pekerjaan di Malaysia.


5) Pengakhiran ceritanya yang sangat menarik dan memberi kepuasan kepada anda sebagai penonton sejak awal tontonan filem ini.

Filem One Two Jaga merupakan filem yang cukup baik bagi aku. Filem yang berjaya memperkenalkan watak-watak yang sangat menarik. Filem yang berjaya memperjuangkan isu sosial yang cukup taboo sebelum ini dengan menterjemahkannya ke layar perak. Jadi,  sokonglah filem yang penuh dengan isi yang enak dan lazat ini di pawagam berhampiran anda sekarang. Selamat menonton!

P/S : Walaupun Aku Tidur Cuma Tiga Jam Sahaja Sebelum Menonton Filem One Two Jaga Tetapi Filem Ini Langsung Tidak Membuatkan Aku Terlelap! Tahniah Kepada Semua Tenaga Produksi Dan Pelakon Yang Terlibat Di Dalam Menjayakan Filem One Two Jaga :)

Catat Ulasan

18 Ulasan

  1. Cerita tampak menarik untuk ditonton. Penuh adegan aksi dan nilai murni dalam kita melaksanakan amanah tugas yang diberi. Nak tengok jugak lah nanti..

    BalasPadam
    Balasan
    1. tonton sementara masih ditayangkan di panggung wayang

      Padam
  2. Banyak iktibar yg boleh kita dpt melalui filem ni jugak ...yg baik jadikan tauladan, yg buruk jdkan sempadan

    BalasPadam
    Balasan
    1. betul tu
      filem yang bagus kerana ada isi yang mendidik

      Padam
  3. akak selalu msti tgk kt bahagian penilaian dik, klu sampai 10/10 compom mmg betul2 best nih....

    akak baca review dr hans pun dh rasa tertarik sgt nk tgk cite nih... hrpnya astro adalah tayang kt astro first ke apa... nk tgk wayang ngn aiyan mmg payahla

    sbb nya jarang2 di angkat cite2 psl nih, psl gangster tu banyak dh

    BalasPadam
    Balasan
    1. sebab bagi saya filem ini memang menarik
      itu letak 10/10 sebab mahu semua rakyat malaysia tonton filem nih :)

      Padam
  4. mcm filem yg bgus utk ditonton..hm
    akan dpertimbangkan

    BalasPadam
  5. perghhh details nya reviewww! kagum. tapi banyak le kan spoiler nya hahaha. menarik juga one two jaga ni. hope nanti boleh tengok :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak ada lah banyak spoiler pun sebab review saya memang mengelak untuk letakkan spoiler :)

      Padam
  6. Rating paling tinggi sy bagi 20/10 hehe...cerita yg menarik....

    BalasPadam
  7. Review yang bijak. Aku sendiri tak perasan reaksi Hussien bila anak Hassan cakap kawan dia panggil ayah dia anjing. Keep it up bro.

    BalasPadam
  8. Versi carutan boleh tengok kat Netflix. Crossroads: One Two Jaga.

    BalasPadam