Review Filem : Aku Tak Bodoh


Filem:
Aku Tak Bodoh

Pengarah:
Boris Boo

Genre:
Komedi & Keluarga

Pelakon:
Amy Mastura, Riezman Kuzaimi, Namron, Wan Noor Aizzat, Suhaiiri Sunari,
Rohaizat Hassan, Jalaluddin Hasan & Adibah Noor

Sinopsis:


Filem ini mengisahkan tentang keluarga seorang kanak - kanak lelaki bernama Jefri yang berusia 8 tahun dan mempunyai seorang abang bernama Roy yang berusia 16 tahun. Mereka hidup dalam kemewahan tetapi merasakan tidak mendapat kasih sayang dan perhatian yang cukup daripada kedua ibu bapa mereka. Bapa mereka bekerja sebagai seorang pengaturcara computer manakala ibu mereka pula ialah seorang editor majalah yang sentiasa sibuk dan sering kali tidak mempunyai masa untuk bersama anak-anak mereka.

Ibu bapa mereka sentiasa mengkritik dan tidak pernah memuji walaupun perkara yang mereka buat itu adalah baik dan mengagumkan. Semua yang dibuat mereka pasti dikatakan tidak betul. Roy mula memberontak dan beliau juga mempunyai seorang kawan, Sudin yang juga senasib dengan beliau. Cuma bezanya ialah Sudin berasal daripada keluarga yang miskin. Oleh kerana tidak tahan dengan desakan dan kerenah ibu bapa mereka akhir mereka terjebak dengan pergaulan kurang sihat bersama budak - budak samseng jalanan.

Masalah menjadi semakin besar apabila Roy dan Sudin sudah berani menjadi pencuri dan ditangkap oleh 'polis'. Jefri juga sudah melakukan satu kesalahan yang membangkitkan kemarahan besar ibu dan ayahnya. Apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah keluarga Roy akan bersatu kembali? Adakah Sudin akan berbaik semula dengan ayahnya? Adakah mereka semua akan bahagia?

Saksikan filem Aku Tak Bodoh di pawagam berhampiran anda.

Ulasan Hans

Filem ini adalah adaptasi daripada filem I'm Not Stupid namun diolah berdasarkan budaya tempatan masyarakat Malaysia. Aku tidak penah menonton filem I'm Not Stupid jadi aku tidak boleh membuat perbandingan yang mana satu lebih menarik. Jadi, aku menontonnya tadi dengan berfikiran neutral tanpa mahu membandingkan atau mencari kelemahan dan kekuatan. Hehehe!

Pada awal permulaan filem hati aku sudah digeletek dengan dialog yang lucu. Bagi aku kekuatan filem ini adalah jalan ceritanya serta mesej yang cuba disampaikan kepada penonton dan untuk menyokong kekuatan ini maka setiap pemegang watak haruslah memainkan peranan yang penting dalam menghidupkan setiap karakter mereka dan terbukti mereka berjaya. Tahniah!

Filem yang langsung tidak membosankan bagi aku! Mampu membuat aku ketawa dan sedih serta dalam masa yang sama mesej - mesej yang mahu disampaikan itu sampai kepada aku. Mungkin dialog serta perlakuan di dalam filem ini bagi sesetengah babak agak kasar dan tidak baik untuk tontonan kanak - kanak seperti melawan cakap orang tua atau guru tetapi filem ini tidak membiarkan babak seperti itu habis begitu sahaja. Pasti akan diselitkan kenapa terjadi begitu dan cara untuk mengelakkannya atau menyelesaikannya jika diamati betul - betul.

Elemen kekeluargaan sangat kuat di dalam filem ini dan mungkin kerana aku juga rapat dengan keluarga maka apabila tibanya adegan yang menyentuh emosi dan babak itu berjaya menyentuh hati aku. Jika aku wanita mungkin air mata sudah jatuh menyembah bumi agaknya. Apa - apapun, tahniah untuk filem Aku Tak Bodoh kerana filem ini memang tak bodoh dan langsung tidak membodohkan aku sebagai penonton!

Walaupun mungkin ada sedikit kelemahan atau babak lucu yang tidak lucu namun biasalah kerana setiap filem tidak akan sempurna. Filem ini sebenarnya ringkas. Sebelum menonton pun orang pasti tahu apa filem ini cuba sampaikan tetapi hakikatnya ramai yang tak pernah mengambil berat tentang hubungan kekeluargaan. Itulah kebenarannya.

Jadi, daripada 5 bintang aku memberi filem ini 5 bintang kerana aku sangat suka filem ini. Tahniah sekali lagi kepada pelakon dan semua krew produksi filem ini! Memang tak rugi aku menonton dan selamat menonton kepada semua! Kalau aku ada duit lebih nak jer aku tengok lagi sekali filem nih! Layan!

Antara Babak - Babak Di Dalam Filem ATB:

Mengingatkan Zaman Aku Sekolah

Babak Nih Paling Lucu Bagi Aku

Kadang - Kadang Kita Tak Tahu Nak Tunjukkan Kasih Sayang Kita

Babak Ganas Nih

Babak Nih Sangat Menyedihkan. Tahniah Adibah Noor!

Aeril Zafrel Nih Dalam Babak Lawan - Lawan.
Macam Ong Bak Pun Ada. Hohoho!

F.A.M.I.L.Y = Father And Mother..I Love You!

Catat Ulasan

0 Ulasan