Filem:
Projek High Council
Penilaian:
9/10
Tiktok Review:
Pengarah:
Anwari Ashraf & Zulaikha ZakariaGenre:
Aksi & Fiksyen Remaja
Jumlah Episod:
10
Pelakon:
Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Naim Daniel, Yusof Hashim,
Daiyan Trisha, Sazzy Falak, Ben Tan, Sathisvaran M Magesvaran, Kahoe Hon,
Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Ameer Asyraf, Muzayyin Mahyuddin, Hazeeq Dean,
Aida Aris, Azhar Sulaiman dan Edika Yusof & Etc.
Tarikh Tayangan:
Bermula 14 Januari 2023
Sinopsis:
Projek High Council ini berkisarkan tentang dua beradik, Fakri dan Naim yang telah terpisah sejak mereka masih kanak-kanak dan bertemu semula di KUDRAT, sebuah sekolah asrama berprestij tinggi. Mereka berdua memasuki gelanggang “Pilihanraya”, sebuah pertandingan tradisi yang dilangsungkan secara sulit dan diseliakan oleh “High Council”. Pemenang “Pilihanraya” akan dianggap sebagai pelajar paling berkuasa di KUDRAT. Saksikan High Council secara strim di Astro On Demand atau Astro GO bermula 14 Januari ini atau di saluran linear, Astro Ria saluran 104 bermula 23 Januari, setiap Isnin, jam 9.00 malam. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, TikTok, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.
Berita:
Selepas kejayaan drama ‘One Cent Thief’ dan ‘Kudeta', Astro Originals terus mengorak langkah bagi tahun 2023 menerusi sebuah drama siri premium terbaru iaitu High Council bermula 14 Januari melalui platform strim Astro On Demand atau Astro Go dan di saluran linear, Astro Ria saluran 104 bermula 23 Januari, setiap Isnin, jam 9.00 malam.
Menariknya, drama premium High Council mempersembahkah sebuah kisah fiksyen yang diinspirasikan daripada kisah benar yang pernah terjadi di Malaysia. Negara pernah digemparkan dengan isu kumpulan gengsterism ‘High Council’ di sebuah sekolah berasrama penuh dan isu tersebut menjadi fenomena apabila melibatkan satu kumpulan pelajar yang berkuasa menjalankan aktiviti salah laku termasuk dalam aktiviti membuli pelajar. Berdasarkan maklumat, budaya High Council ini telah wujud sejak tahun 1992 dan kegiatan seperti ini tidak berlaku dalam satu sekolah sahaja.
High Council merupakan francais "Projek" selepas drama premium popular, Projek Anchor SPM (2020). Jika terdahulu, francais Projek: Anchor SPM mempersembahkan sisi-sisi ideal kehidupan di sekolah berasrama; High Council pula tidak segan membongkarkan aspek-aspek gelap yang sehingga kini, menjadi realiti sebahagian besar pelajar-pelajar sekolah berasrama.
Meskipun bergenre aksi fiksyen remaja serta membawa isu tentang buli dan diskriminasi, banyak mesej positif yang ingin disampaikan kepada penonton. High Council menggabungkan isu-isu gangsterism yang dihadapi pelbagai jenis sekolah. Diharapkan kehadiran naskhah ini dapat membantu pihak tertentu mengkaji punca, kitaran dan langkah yang boleh diambil untuk menamatkan budaya tersebut.
Bagi memastikan jalan cerita dan lakon layar yang dihidangkan dapat memenuhi selera penonton, proses penyelidikan dan story development mengambil masa selama 11 bulan bermula Ogos 2021, sebelum memulakan penggambaran pada bulan Julai 2022 selama 55 hari.
Idea asal drama premium ini dicetuskan oleh Show Runner (pencipta) yang juga pengarah Projek Anchor SPM iaitu Anwari Ashraf bersama pengarah baru berbakat besar, Zulaikha Zakaria. Menerusi 10 episod, penonton dapat menyaksikan jalan cerita dan konflik berbeza, aksi pertarungan penuh debaran serta permainan emosi sehingga membuatkan penonton tidak senang duduk pada setiap episod.
Terdapat dua lagu runut bunyi yang akan memeriahkan High Council, iaitu lagu utamanya adalah ‘Kudrat’ nyanyian Sekumpulan Orang Gila featuring Naim Daniel dan ‘Test drive’ nyanyian Firdaus Rahmat.
Mungkin ada yang mempertikaikan siri ini bakal memberi gambaran yang tidak baik seperti satu ‘galakan’ kepada golongan remaja, tetapi Astro Originals bukanlah menghidangkan hiburan semata-mata tetapi sebagai naskah yang memberi pengajaran dan lebih kefahaman tentang apa yang berlaku. Ini seterusnya akan menjadikan kita lebih peka dan mampu mengawalnya dari terus terjadi. Setiap nilai positif boleh dijadikan tauladan dan yang buruk itu boleh dijadikan iktibar.
0 Ulasan