Filem:
Pathaan
Penilaian:
9/10
Tiktok Review:
Pengarah:
Siddharth AnandGenre:
Aksi, Drama & Ngeri
Pelakon:
Shah Rukh Khan, Deepika Padukone, John Abraham & Etc.
Pengedar:
Suraya Filem
Tarikh Tayangan:
26 Januari 2023
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang agen RAW bernama Pathaan yang hilang selama tiga tahun. Dalam misi terakhirnya, Pathaan ditangkap oleh pihak berkuasa Rusia yang berusaha untuk mendapatkan informasi penting daripada dia melalui seksaan di penjara. Namun, Pathaan berhasil melarikan diri dan kembali untuk menjalankan misi barunya. Sementara itu, Rubina Mohsin yang merupakan seorang doktor menjadi ejen rahsia yang bekerjasama dengan seorang lelaki bernama Jim yang diupah untuk membuatkan negara India kacau bilau menggunakan senjata biologi iaitu menyebarkan virus cacar terbaharu. Pathaan cuba untuk menghalang Jim namun tiba-tiba terperangkap dengan cinta yang diberikan oleh Rubina. Akhirnya salah seorang daripada mereka bertiga menjadi mangsa khianat. Siapakah orangnya? Adakah mereka berjaya menyelesaikan misi masing-masing? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 26 Januari 2023 untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem aksi dari Bollywood yang cukup menarik iaitu Pathaan pada 25 Januari 2023 yang lepas di TGV One Utama. Memang filem terbaru lakonan Shah Rukh Khan kali ini menjadi sebutan ramai gara-gara aura yang datang daripada diri beliau serta pelakon lain yang memang bukan calang-calang seperti Deepika Padukone dan John Abraham.
Perkara pertama yang menarik tentang filem Pathaan ini ialah jalan ceritanya yang penuh dengan plot twist yang cukup kreatif dan berjaya membuatkan kami berasa cukup teruja saat menyaksikan babak-babak menarik tersebut. Plot penceritaanya jelas, tersusun dan mudah difahami. Jadi, apabila kami menyaksikan plot twist yang disajikan, kami memang cukup berpuas hati kerana kebanyakkannya berjaya menipu kami daripada awal filem dan ianya sesuatu yang kami cukup nantikan selama ini. Ditambah pula dengan penampilan cameo Salman Khan sebagai Tiger, ini adalah satu lagi penambah rasa yang membuatkan kami cukup terhibur. Susah sebenarnya untuk melihat penampilan cameo yang berjaya mencuri tumpuan dan memberi kesan dalam tempoh yang sangat lama namun filem Pathaan membuktikan sebaliknya. Syabas!
Perkara kedua yang membuatkan kami melihat filem Pathaan bukan sekadar sebuah filem aksi kosong semata ialah mesej-mesej tentang kehidupan dan kemanusiaan yang disuntik di dalam setiap watak-wataknya yang pada zahirnya wujud di dalam dunia nyata. Bagaimana watak Jim yang pada awalnya merupakan seorang yang cinta kepada tanah airnya bertukar menjadi kebencian akibat kebodohan pemimpin atasannya yang terlalu mementingkan diri sebenarnya cukup menarik untuk diperhalusi. Melihat perkara ini mengingatkan kami kepada kisah Hang Tuah dan Hang Jebat. Bukannya persamaan dari sudut cerita tetapi bagaimana manusia yang taat boleh berubah menjadi sebaliknya akibat sebab yang sama. Walaupun filem ini cuba menidakkan kesalahan yang dilakukan pemimpin tersebut melalui watak Pathaan yang menyatakan tentang apa yang seorang askar perlu buat kepada negara dan bukannya menanyakan apa yang negara patut buat kepada askar tetapi secara realistiknya situasi Pathaan langsung tidak sama dengan apa yang dilalui oleh Jim. Pathaan bekerja di bawah seorang pemimpin yang bijak dan melindungi anak buahnya. Tetapi, berlainan pula dengan Jim yang berada di bawah pemimpin yang mempunyai pemikiran yang lemah dan terlalu memandang rendah orang bawahan. Jadi, perkara ini sebenarnya yang membuatkan kami rasa cukup tertarik apabila menonton filem aksi dari India ini. Banyak lagi mesej-mesej lain yang ada di dalam filem ini cuma kebanyakannya memang diulang tayang seperti mana yang boleh dilihat di dalam filem-filem aksi India yang lain apabila berpaksikan kepada ketaatan kepada negara mereka.
Perkara ketiga yang membuatkan kami berasa filem Pathaan antara filem aksi yang berjaya mencuri tumpuan kami ialah elemen aksinya yang cukup padu dan menghiburkan. Tidak dinafikan aksi-aksi yang dipaparkan walaupun sebahagian daripadanya tidak realistik kerana melanggar hukum sains mahu pun alam namun faktor inilah sebenarnya yang memberi rencah tambahan untuk filem ini diterima ramai penonton yang gilakan aksi-aksi luar biasa seperti ini. Secara keseluruhan, kami memang cukup berpuas hati dan berasa sangat berbaloi dapat menjadi antara penonton terawal menonton filem Pathaan ini.
Jadi, selamat menonton filem aksi Pathaan yang ditayangkan bermula pada 26 Januari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
0 Ulasan