Review Filem Eva

Filem:
Eva

Penilaian:
8/10

Tiktok Review:

Pengarah:
Suhaiza Aziz

Genre:
Ngeri

Pelakon:
Nadia Aqilah, Nadia Brian, Shamsul Danish,
Hasnul Rahmat, Jay Iswazir, Mustaqim Bahadon & Etc. 

Anugerah & Pencapaian:
Cannes Film World Festival - Best Thriller/Suspense
Hong Kong World Film Festival - Best Supporting Actress
Hong Kong World Film Festival - Best Actress
United States Film Festival – Best Cinematography
Amsterdam International Film Festival - Nominated
Featured di dalam majalah FILMMAKER LIFE edisi November 2022

Pengedar:
D’Alpha Legacy (M) Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
26 Januari 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang 3 individu berbeza iaitu Eva, Amy dan Mike yang terperangkap di dalam satu badan yang sama. Eva sebagai pemilik tubuh terpaksa berdepan dengan pelbagai perubahan. Setiap watak yang berada di dalam badannya mempunyai personaliti yang berbeza akibat daripada kejadian trauma yang dialaminya sejak dia masih kanak-kanak. Eva merupakan mangsa gangguan seksual sejak kecil lagi sehingga dia mengalami trauma menyebabkan dia mengalami masalah kesihatan mental yang dipanggil sebagai DID atau Dissociative Identity Disorder. Dalam erti kata lain boleh dikategorikan sebagai Split Personality. Miqal, anak kepada Eva dilahirkan selepas kejadian trauma Eva berlaku dengan bantuan Elly, kakak kepada Eva. Mereka cuba memahami dan membantu Eva sehingga Eva berjaya bergelar sebagai seorang peguam dan pakar psikiatri yang dihormati. Bagaimanapun, perasaan dendam yang menyelubungi di dalam diri Eva membuak-buak dan banyak mengubah dirinya dari semasa ke semasa. Akhirnya keadaan semakin tidak terkawal sehingga Miqal menolak untuk menerima keadaan tersebut. Saksikan filem ngeri yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 26 Januari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem ngeri tempatan yang cukup menarik berjudul Eva pada 18 Januari 2023 yang lepas bertempat di Dadi Cinema Pavilion Kuala Lumpur. Secara jujurnya, kami tidak meletakkan sebarang harapan langsung terhadap filem ini kerana secara tiba-tiba sahaja filem ini muncul di pawagam seluruh Malaysia. Tetapi, jangkaan kami meleset sama sekali kerana filem Eva sememangnya sebuah filem ngeri tempatan yang cukup luar biasa dan sangat bagus. Serius! Filem ini sebenarnya merupakan sebuah filem underdog yang sepatutnya menjadi antara filem tempatan yang wajib ditonton dan disokong oleh seluruh rakyat Malaysia.

Diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun dan ke atas, filem Eva berjaya ditayangkan di pawagam tanpa sebarang pemotongan. Hal ini sangat menarik pada kami sebagai penonton kerana kami dapat menonton keseluruhan cerita dengan kepuasan yang tersendiri. Hal ini kerana jalan ceritanya tidak terjejas dan intipati yang ingin disampaikan berjaya difahami dengan sempurna.

Perkara pertama yang membuatkan kami rasa kagum dengan filem Eva ini ialah plot ceritanya yang kreatif dan tidak dibikin secara semborono. Setiap babak yang dihasilkan dilihat berjaya mengekalkan kontinya dengan baik dan mengikut kronologi tanpa sebarang kecacatan yang besar. Lebih mengagumkan penceritaan filem ini yang berkisar tentang tiga perkara utama iaitu masalah mental, tatacara mahkamah dan juga istilah-istilah berkaitan penyakit dan perubatan juga dihasilkan mengikut cara sebenar dan dibantu melalui rujukan daripada pihak yang arif terhadap perkara tersebut. Jadi, apabila kami menyaksikan babak-babak yang melibatkan perbicaraan kes di mahkamah atau pun penerangan berkaitan masalah mental daripada watak doktor yang terlibat maka ianya bukan sahaja infomatif tetapi cukup meyakinkan. Masalah berkaitan mental ini berjaya disampaikan di dalam filem ini dengan cara penyampaian yang cukup jelas dan begitu mudah difahami. Hal ini sukar dilihat pada filem mahu pun drama tempatan yang selalunya lebih kepada pemikiran 'asal ada jer' tetapi filem Eva membuktikan sebaliknya.

Perkara kedua yang membuatkan kami kagum dengan filem Eva ini ialah babak-babak ngerinya yang memang berjaya membuatkan kami berasa geli dan cemas sewaktu menyaksikannya di layar lebar. Mungkin babak-babak ini tidak sehebat filem-filem Hollywood yang berbaget besar tetapi ianya masih kelihatan realistik dan sangat ganas. Jadi, disebabkan perkara inilah filem ini diklasifikasi untuk tontonan 18 tahun dan ke atas. Kami seolah-olah tidak percaya pada awalnya yang kami sedang menonton sebuah filem yang dibikin oleh anak Malaysia sendiri tetapi hakikatnya ini adalah hasil daripada anak-anak seni tempatan kita. Memang ada kualiti tersendiri! Kami akui filem Eva sebenarnya telah meletakkan satu aras yang agak tinggi untuk filem-filem bergenre tempatan yang lain untuk bersaing dengan filem ini kerana tahap ngeri yang terhasil memang berada di kelas tersendiri.

Perkara ketiga yang membuatkan filem Eva nih cukup menarik untuk ditonton adalah persembahan lakonan yang cukup hebat daripada para pelakonnya. Pemilihan Nadia Aqilah sebagai pemain watak utama iaitu Eva sememangnya adalah satu keputusan yang sangat tepat. Nadia berjaya membawa dan menghidupkan watak yang mempunyai tiga nama dan karakter berbeza dengan cukup meyakinkan dan bergaya sekali. Bayangkan dalam satu adegan, Nadia perlu mengubah personalitinya kepada tiga karakter ini dalam satu masa! Ini memang kerja gila tetapi Nadia berjaya melakukannya. Jadi, tidak hairanlah beliau diiktiraf melalui anugerah Pelakon Wanita Terbaik yang diterimanya pada Festival Filem Dunia Hong Kong baru-baru ini. Beliau memang layak! Disini juga kami dengan sejujurnya ingin menyatakan bahawa ini adalah satu-satu filem yang membuatkan kami rasa gembira melihat lakonan pelakon seterusnya iaitu Nadia Brian kerana kali ini Nadia betul-betul berjaya memberi persembahan yang cukup baik. Lebih menarik perhatian kami ialah kemunculan cameo-cameo yang berjaya memberi kesan yang cukup mendalam dan dialog-dialog dasyat yang boleh menjadi igauan terutamanya daripada pelakon Hasnul Rahmat dan Jay Iswazir. Memang lakonan masing-masing sangat mantap dan memberi kesan kepada keseluruhan filem ini.

Secara keseluruhan, kami dengan sukacitanya ingin menyatakan bahawa Eva merupakan sebuah filem tempatan yang memberikan satu pengalaman menarik sepanjang kami menonton filem ini daripada awal sehingga akhir. Tidak malu untuk kami nyatakan sekali lagi bahawa kami sangat kagum dengan hasil keseluruhan filem ini. Dengan sukacitanya kami mengharapkan agar semua peminat filem tempatan mahu pun kaki wayang untuk turun ke pawagam dan menonton filem ini kerana filem Eva merupakan salah satu filem tempatan untuk tahun 2023 yang anda semua wajib tonton! Sokonglah filem tempatan yang berkualiti seperti ini.

Jadi, selamat menonton filem ngeri Eva yang ditayangkan bermula pada 26 Januari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


Catat Ulasan

0 Ulasan