Review Filem Ejen Ali The Movie


Filem:
Ejen Ali The Movie

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Usamah Zaid Yasin

Lakon Layar:
Usamah Zaid Yasin

Genre:
3D Animasi

Pelakon Suara:
Ida Rahayu Yusoff : Ejen Ali & Comot
 Mohd Shafiq Mohd Isa : Ejen Bakar
Noorhayati Maslini Omar : Ejen Alicia
Abu Shafian Abg Hamid : Dato' Othman
Nabilah Rais : Niki
Altimet : Andik
Amir Mustaqim : Surya
Azman Zulkiply : General Rama & Viktor 

Pengedar:
Primeworks Studios

Penerbit:
Primeworks Studios & Wau Animation

Tarikh Tayangan:
28 November 2019

Durasi:
97 Minit

Sinopsis:
Filem animasi ini mengisahkan Ejen Ali yang berusia 12 tahun tampil dengan peranannya sebagai seorang perisik selepas diambil bekerja oleh agensi rahsia MATA secara tidak sengaja. MATA telah membaikpulih alat ciptaannya Atlas untuk menaik taraf IRIS menjadi IRIS NEO di luar pengetahuannya. Apabila alat ciptaan baru itu mula diuji sebagai peranti asas bagi semua ejen MATA, Ali mula mempersoalkan kedudukannya dalam agensi tersebut. Walau bagaimanapun, dia mempertaruhkan kesetiaannya kepada MATA apabila terlibat dengan misi untuk merungkai beberapa rantaian misteri, selepas dia didatangi oleh seorang individu yang mendakwa mengetahui tentang masa silamnya. Saksikan filem animasi terbaik Malaysia ini untuk mengetahui kisah seterusnya bermula pada 28 November ini.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak Primeworks Studios untuk menghadiri malam gala tayangan filem animasi Ejen Ali The Movie bertempat di GSC Mid Valley pada 19 November 2019 yang lepas. Berpeluang menjadi sebagai salah seorang penonton yang menonton seminggu lebih awal filem ini membuatkan kami berasa sangat bertuah dimana peluang keemasan sebegini sememangnya dihargai dengan sebaik mungkin untuk menjamu mata menonton filem animasi terakhir Malaysia yang ditayangkan pada tahun 2019 ini selepas filem Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal dan Boboiboy Movie 2. Tidak keterlaluan untuk kami nyatakan bahawa filem Ejen Ali The Movie adalah sebuah filem animasi Malaysia pada tahun 2019 yang paling sempurna dimana ianya bukan sahaja mencapai piawaian yang kami letakkan tetapi juga setiap sudutnya mempunyai kekuatan yang sukar untuk dicari kelemahan yang ketara.


Perkara pertama yang kami paling suka dan kagum dengan filem animasi Ejen Ali The Movie ini ialah kualiti animasi 3D yang dipersembahkan kepada kami sebagai penonton. Pergerakan animasinya sangat jelas, teliti, bagus dan sempurna. Ilustri gambarnya pada setiap adegannya boleh dikatakan hampir nyata dalam kebanyakkan babak. Model animasi 3D yang dihasilkan juga sangat mengagumkan dimana antara perkara yang kami sangat suka lihat ialah penghasilan rambut setiap watak yang betul-betul kemas dan usaha yang dilakukan oleh barisan animator filem ini wajar dipuji kerana kerajinan mereka sungguh mengagumkan. Nampak sangat filem ini dibuat dengan bersungguh-sungguh dan bukan asal boleh sahaja. Serius, kami sebagai anak tempatan Malaysia berasa sangat bangga dengan apa yang kami tonton sebentar tadi. Tahniah buat semua yang terlibat di dalam penghasilan filem ini yang sungguh menakjubkan. 


Perkara kedua yang kami cukup suka dan bangga dengan filem animasi Ejen Ali The Movie ini ialah penghasilan kostum setiap watak adiwiranya sama ada protagonis atau antagonis yang bukan sahaja pelbagai tetapi sangat menarik perhatian. Kostum-kostum yang berlainan ini boleh dilihat pada watak utama filem animasi ini sendiri iaitu Ali, Alicia, Ejen Bakar dan ianya membawa kepada kostum ejen-ejen lain, watak antagonis serta watak tambahan iaitu pengganas dan robot polis yang pada kami merupakan satu hasil yang sangat boleh dibanggakan. Nilai komersialnya ada dan lebih menarik ia masih mempunyai suntikan tempatan pada beberapa wataknya. Pada kami, ini adalah satu lagi usaha yang bagus daripada keseluruhan pihak produksi filem animasi ini yang boleh diberikan pujian dan penghargaan. 


Perkara ketiga yang membuatkan kami teruja menonton filem animasi Ejen Ali The Movie ini ialah plot ceritanya dimana kronologi yang disusun, diperkembangkan serta bijak bermain dengan permainan plot atau plot twist berjaya membuatkan kami sebagai penonton bukan sahaja terhibur tetapi juga dapat memberi fokus sejak daripada permulaan sehingga pengakhiran filem ini. Sebagai seorang penonton dewasa, kami melihat isi kandungan filem animasi ini sangat menepati kehendak penonton yang matang dimana kami melihat ia membawakan mesej-mesej menarik dan sedikit berat yang bukan sahaja melibatkan tentang amanah dan tanggungjawab kepada pemimpin tetapi sebenarnya juga menyentuh dan mengupas secara sederhana berkaitan dengan politik serta kegelapan dunia politik tersebut di dalam kisah filem ini. Selain itu, hal berkaitan pegangan prinsip tentang perjuangan mencapai kehidupan yang sempurna juga melalui pertentangan dua kehidupan yang berbeza juga dilihat berjaya dipaparkan dengan baik di dalam filem ini. Pada kami, ia mungkin sangat berat buat penonton cilik seperti kanak-kanak di bawah umur 12 tahun namun kanak-kanak semestinya masih akan terhibur dengan elemen aksi serta humor filem ini yang sememangnya padat sepanjang filem ini berlangsung. 


Perkara keempat yang menjadikan filem animasi Ejen Ali The Movie ini sebuah filem animasi tempatan yang wajib anda tonton di pawagam ialah elemen-elemen yang disuntik ke dalam jalan cerita filem ini. Anda inginkan aksi? Filem ini menawarkan anda elemen aksi yang sangat padu dengan gerakan animasi yang jelas dan kemas. Anda inginkan komedi? Percayalah ada banyak adegan yang tidak disangka bakal membuatkan anda ketawa besar di dalam panggung nanti. Kalau nak tahu maka anda kena lah tonton tetapi apa yang kami boleh jamin ianya sangat menceriakan masa-masa anda saat menonton filem animasi ini nanti. Anda inginkan mesej-mesej atau nilai murni yang boleh dijadikan pengajaran untuk si kecil mahu pun anda sebagai seorang dewasa? Jangan risau kerana filem animasi ini penuh dengan nilai-nilai kekeluargaan, jati diri, prinsip kehidupan serta amanah dalam tugas yang membuatkan ia bukan sekadar bergantung harap kepada elemen aksi mahu pun kecantikan rekaan animasinya semata-mata. Senang cakap filem animasi ini mempunyai 'isi yang positif' pada luar serta dalam naskahnya.


Perkara kelima yang membuatkan kami melabelkan filem animasi Ejen Ali The Movie sebagai filem animasi terbaik Malaysia pada tahun ini lagu-lagu latar yang mengisi adegan-adegan di dalam filem ini. Ada latar lagunya yang berunsur komedi yang bakal membuatkan anda geli hati. Ada lagu latar yang memberikan anda satu rasa yang menarik untuk menikmati elemen kejutan. Ada lagu latar yang lirik lagunya sangat puitis dan membawa maksud yang mendalam. Serta ada lagu latar yang bakal menjentik hati anda untuk merasai emosi melankolik yang ada pada sesetengah adegan. Secara keseluruhan, filem animasi Ejen Ali The Movie telah meletakkan satu tahap yang sangat tinggi bukan sahaja buat para pencabarnya tetapi juga kepada produksi luar negara dimana Malaysia bukan sekadar mampu menghasilkan sebuah filem animasi semata tetapi ia dihasilkan dengan kualiti yang sangat hebat, jalan cerita yang menarik serta dipenuhi dengan pelbagai mesej positif yang mampu melengkapi keinginan serta keperluan penonton tidak kira dewasa mahu pun kanak-kanak. Sekali lagi, kami mengucapkan syabar buat semua yang terlibat di dalam menjayakan filem animasi ini. Tabik hormat daripada kami untuk anda semua yang hebat-hebat ini.


Jadi, selamat menonton filem Ejen Ali The Movie di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 28 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Yang Cukup Menarik Iaitu Better DaysNantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

20 Ulasan

  1. Aku dah cakap, Mau Animation ni memang terbaik dari segi perkembangan plot.

    BalasPadam
  2. ni kalau kat Malaysia, mau kena heret dah ngan anak2 gi layan ni

    BalasPadam
  3. Hi hans hanis. Nama pengarah tu salah eja. Sila cek semula dan perbetulkan. Penat En Usamah buat movie ni. Tup tup nama salah eje.

    BalasPadam
    Balasan
    1. biasalah tu
      typo menaip pepagi masa orang lain tidur
      hehehe

      Padam
  4. Siri Ejen Ali-remaja/dewasa+kanak2.. lebih dark dan tumpu golongan yang dah boleh berfikir.. aku memang tak suka karekter Ali dari siri TV lagi tak kira musim 1@2.. aku suka karekter lain dan jalan cerita.. bagi aku je kot.. bosan la Ali ni.. ye dia dlm perjalanan menjadi sesuatu yang WOW.. tapi pusing2 mcm tu jugak.. kalu dia buat Ali umur 16/17.. mungkin aku boleh terima... hahaha just 2cent rant.. menunggu nak tengok filem ni.. apa yang cuba diberikan.. dari trailer nampak kritikan sosial golongan atas dan bawah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. aku suka sebab nampak kanak-kanak yang matang
      lagi pun kalau dekat negara luar memang kanak-kanak cepat matang dan zaman sekarang budak-budak memang cepat tua dari usia sebab pengaruh telefon

      Padam
  5. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  6. Memang terbaik cerita ni..best..kelakar semua ada..10 bintang

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehee
      memang seronok gila kan
      dah kualiti animasi dia cantik

      Padam
  7. Baru tengok semalam, memang best sangat dan saya setuju dengan penulis....rasa nak repeat tengok lak...

    BalasPadam
    Balasan
    1. repeat jangan tak repeat
      sokong filem animasi tempatan yang hebat macam nih

      Padam
  8. Aq bgi 10/10... best giler (menangis meleleh-leleh dlm panggung).. n aq bangga dgn pencapaian diorg y menghasilkan animasi ni.. syabas1000x

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups...
      ramai yang tersentuh dengan adegan melibatkan Mak Ejen Ali

      Padam
  9. Review penuh saya (mintak maaf, dalam bahasa Inggeris)

    https://grouchydays.blogspot.com/2019/12/ejen-ali-2019.html

    BalasPadam