Review Filem Enai Noki Paayum Thota


Filem:
Enai Noki Paayum Thota 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Gautham Menon

Genre:
Romantik & Ngeri

Pelakon:
Dhanush, Megha Akash, Rana Daggubati & Etc.

Pengedar:
Lotus Five Star

Tarikh Tayangan:
29 November 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki yang jatuh hati kepada seorang pelakon baru yang sedang menjalani penggambaran filem di kolej pengajiannya. Tanpa disangka, cintanya mendapat ancaman daripada bapa angkat pelakon tersebut yang ternyata merupakan seorang lelaki yang kejam. Dia perlu menyelamatkan diri serta gadis yang dicintainya daripada bahaya yang menanti namun sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Apakah sebenarnya yang terjadi? Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda pada 29 November 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem  Tamil berjudul Enai Noki Paayum Thota bertempat di Amerin Cineplex pada 29 November 2019 yang lepas. Walaupun tidak dinafikan filem ini cukup menghiburkan dengan persembahan lakonan yang hebat oleh para pelakon utamanya seperti Dhanush dan Megha Akash serta dipenuhi dengan pelbagai elemen aksi yang memukau namun ada beberapa perkara yang mengganggu serta merencatkan filem ini untuk memberi kepuasan tontonan yang maksimum kepada kami.


Masalah utama filem filem Enai Noki Paayum Thota ini ini ialah kaedah yang diguna pakai untuk menyampaikan cerita yang gemar menggunakan gabungan babak imbas kembali serta babak masa hadapan menggunakan suara pelakon utamanya sendiri. Kesinambungan antara setiap babak ini adakalanya dilihat terlampau lemah sehingga merosakkan realisasi logik filem itu sendiri. Tolak ketepi tentang hal berkaitan tembakan serta pembunuhan yang masih boleh dimaafkan memandangkan ia adalah sebuah filem dari Kollywood. Namun, dari sudut filem ini memaparkan tentang hubungan silaturahim adik-beradik dilihat seperti terlalu janggal. Ia cuba untuk meraih simpati penonton namun ianya tidak sampai kerana dilihat tidak ada keserasian kimia yang kuat antara watak abang dan adik yang terpisah sejak sekian lama. Dicemari pula oleh suara latar yang cuba bercerita tentang apa yang bakal terjadi dan apa yang telah terjadi menjadikan ianya lebih lemah daripada kebiasaan.


Terdapat juga beberapa mesej menarik yang cuba diketengahkan di dalam karya ini terutama berkaitan eksploitasi terhadap wanita serta kuasa pasukan beruniform namun ianya disampaikan secara asas sahaja. Namun, filem Enai Noki Paayum Thota ini berjaya diselamatkan melalui adegan romantik yang diselangi dengan humor yang berjaya memberi kesan kepada hilai tawa penonton untuk menyelami sendiri hubungan cinta pandang pertama antara dua watak utama filem ini iaitu Raghu dan Lekha. Sayangnya walaupun persembahan pelakon utama seperti Dhanush yang telah memberikan satu kualiti persembahan yang terbaik sama ada dari sudut emosi mahu pun aksi serta Megha Akash yang berjaya membuatkan penonton merasai kesakitan yang dirasainya namun dek kerana kesinambungan setiap babak yang lemah membuatkan perkara ini tidak berjaya memberikan impak yang lebih hebat kepada penonton.


Namun, kami melihat filem Enai Noki Paayum Thota ini mempunyai kekuatan tersendiri dari sudut urutan lagunya yang menarik. Dibantu pula oleh sinematografi yang memukau membuatkan kami cukup terhibur menonton adegan-adegan aksi yang terdapat di dalam filem ini. Secara keseluruhannya, filem Enai Noki Paayum Thota masih menghiburkan untuk anda tonton terutama jika anda sukakan gabungan aksi dan cinta di dalam sesuatu karya.


Jadi, selamat menonton filem Enai Noki Paayum Thota di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 29 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Dari Indonesia Berjudul The Sacred Riana: BeginningNantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan