4/12/19

Review Filem The Sacred Riana: Beginning


Filem:
The Sacred Riana: Beginning 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Billy Christian

Genre:
Seram

Pelakon:
The Sacred Riana, Aura Kasih, Agatha Chelsea, Prabu Revolusi & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures & Horizon Film Entertainment

Tarikh Tayangan:
12 Disember 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Riana yang sejak kecil tinggal bersama kedua ibu bapanya yang menjalankan perniagaan sebuah rumah pengebumian di sebuah bandar kecil. Mereka kemudiannya terpaksa berpindah ke rumah pakcik Johan di Jakarta selepas keluarga mereka dilanda malapetaka. Di sana, Riana menemui sebuah patung bernama Riani. Riana mula berhenti berkomunikasi dengan orang lain dan hanya berkawan dengan patung itu. Ketidakhadiran Riana ke sekolah menyebabkan guru kaunselingnya iaitu Cikgu Klara pergi melawatnya di rumah dan menasihati supaya Riana menjalani pemulihan. Sejak itu, ibu bapa Riana kerap menerima gangguan aneh. Cikgu Klara kembali bersama Hendro, Lusi dan Anggi untuk membantu Riana bersosial. Namun, kedatangan mereka menimbulkan masalah yang lebih besar dimana satu makhluk jahat dari masa lampau bangkit dan mengganggu mereka semua. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 12 Disember 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada TGV Pictures  dan Horizon Film Entertainment untuk menghadiri malam gala filem The Sacred Riana: Beginning bertempat di TGV One Utama pada 2 Disember 2019 yang lepas. Untuk pengetahuan semua, kami sebetulnya telah menonton filem ini lebih awal sewaktu berada di Jakarta pada bulan Mac 2019 yang lepas. Jadi, tontonan kali kedua ini memberikan kami gambaran yang lebih jelas terutama apabila ianya disertakan dengan sarikata bahasa Inggeris untuk membuatkan kami lebih faham tentang filem ini.


Filem The Sacred Riana: Beginning bukanlah sebuah filem biografi tentang Riana seperti yang disangka ramai. Tetapi, ia adalah sebuah karya fiksyen yang turut mengguna pakai serta mencampur adukkan kisah sebenar untuk membuatkan penonton lebih dekat serta memahami sosok tubuh seorang gadis bernama Riana ini saat dia muncul di kaca televisyen sebelum ini. Kami menyukai bahagian awal filem ini dimana plot ceritanya bergerak sama baik dengan perkembangan watak setiap karakter-karakter yang berada di sekeliling Riana. Penonton akan lebih memudah untuk memahami kenapa perwatakan Riana ini berbeza berbanding orang lain yang seusia dengannya dan punca dirinya berkelakuan sedemikian. 


Namun, bahagian pertengahan filem The Sacred Riana: Beginning ini mulai dilihat kacau apabila kami mula merasakan bahawa filem ini bukannya bercerita tentang Riana tetapi tentang watak-watak lain yang berada di sekitarnya. Secara mudahnya boleh disimpulkan bahawa ketiadaan Riana di dalam filem ini tidak menjadi masalah kerana ianya boleh diteruskan oleh watak-watak utama lain yang ada di dalam filem ini. Jadi, kami merasakan ini adalah satu kerugian yang sedikit mencacatkan filem ini dimana fokus utamanya yang sepatutnya diberikan kepada Riana telah beralih arah kepada watak lain. Namun, kembalinya fungsi Riana pada babak-babak akhir dilihat sedikit membantu untuk mengelakkan filem ini daripada digelar sekadar menggunakan namanya sahaja sebagai pelaris.


Walaupun sudah dua kali filem The Sacred Riana: Beginning ini kami tonton namun kami tetap tidak dapat lari untuk mengakui bahawa kami sangat menyukai susuk tubuh watak antagonis di dalam filem ini iaitu Bava Gogh. Watak hantu yang berasal daripada masa lampau iaitu pada era kolonial Belanda ini sememangnya berjaya menghadirkan rasa seram kepada kami melalui penampilan serta solekannya ngerinya yang dipaparkan melalui barisan gigi-giginya yang tajam serta bagaimana gaya reaksi wajahnya saat dia melontarkan dialog yang cukup untuk membuatkan penonton resah menantikan tindakannya selepas itu. Jadi, tidak hairan lah jika kami ditanya watak manakah yang paling kami suka di dalam filem ini dimana jawapan kami semestinya watak Bava Gogh yang mempunyai aura tersendiri.


Filem The Sacred Riana: Beginning juga dilihat berjaya mengekalkan identiti The Sacred Riana di dalam filem ini dimana gadis ini juga tidak banyak berkomunikasi melainkan lebih suka menggunakan bahasa tubuh. Pada kami, ia adalah satu langkah yang menarik kerana ini merupakan salah satu faktor penarik yang membuatkan orang mengenali dan menyukai Riana sebelum dirinya terlibat di dalam filem ini. Selain itu, filem ini juga diserikan lagi dengan kehadiran pelakon cilik yang comel yang memegang watak Anggi dimana kemunculannya sering kali akan mencuri tumpuan ramai. Filem ini juga tidak dinafikan kuat dari sudut konsep serta nilai artistik yang cuba dibawakan melalui banyak adegan-adegan yang melingkari filem ini.

Kami juga sangat menyukai konsep jump scare yang digunakan di dalam filem ini dimana ianya sedikit berbeza berbanding filem-filem seram Indonesia yang lain. Filem ini lebih gemar menggunakan elemen suara untuk memberikan satu kesan maksimum untuk teknik jump scare dan kami melihat ia sebagai satu kelainan daripada kebiasaan ideologi yang diguna pakai di dalam filem-filem seram Indonesia yang ditayangkan sepanjang tahun ini. Secara keseluruhan, filem ini bukan lah sebuah filem yang terlalu baik kerana pada pertengahan jalan ia seakan-akan cuba melenyapkan fungsi Riana itu sendiri namun kelainan yang cuba dibawakan di dalam filem ini serta kemunculan watak antagonis Bava Gogh yang memukau berjaya membuatkan filem ini untuk memikat hati kami sehingga ke akhir.


Jadi, selamat menonton filem The Sacred Riana: Beginning di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 12 Disember 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini? Nantikan Ulasannya!

6 ulasan:

  1. menarik, tak sangka sampai jadi filem the sacred riana nih

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      itulah
      boleh tahan lah cerita dia cuma slow sikit

      Padam
  2. Balasan
    1. filem nih sederhana
      sedikit perlahan
      ada yang bakal suka dan sebaliknya

      Padam
  3. wow..Riana dah jadi pelakon...dulu mmg tertunggu2 dia keluar dalam realiti program asia got talent, tak sangka dia dari Indonesia erk...

    BalasPadam