Review Filem Jumanji: The Next Level


Filem:
Jumanji: The Next Level 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Jake Kasdan

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Dwayne Johnson, Jack Black, Kevin Hart, Karen Gillan, Nick Jonas,
Awkwafina, Danny Glover, Danny DeVito & Etc.

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan:
5 Disember 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Bethany, Fridge dan Martha kembali ke dunia "Jumanji" untuk menyelamatkan Spencer yang disedut ke dalam permainan video itu. Apabila rakannya, Milo, dan datuk Spencer, Eddie, mengetahui perkara itu, mereka tidak sengaja turut disedut masuk ke dalamnya. Kumpulan itu menyedari bahawa permainan video tersebut telah berubah, termasuk avatar mereka yang sudah bertukar. Situasi itu tidak seperti yang mereka jangkakan dan kini mereka perlu mengembara menerusi gurun pasir hingga ke pergunungan salji demi meloloskan diri dari permainan video berbahaya itu. Saksikan filem yang sangat melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 5 Disember 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Sony Pictures Entertainment untuk menghadiri tayangan media filem Jumanji: The Next Level bertempat di MBO Starling pada 4 Disember 2019 yang lepas. Jika sebelum ini, kami terasa kurang nikmatnya menikmati filem Jumanji: Welcome To The Jungle kerana merasakan ianya kurang memberi impak berbanding filem asalnya iaitu Jumanji disebabkan daya penarik serta kejutan yang lemah telah dipaparkan melalui permainan video moden yang sepatutnya mampu memberikan sesuatu yang lebih kreatif. Namun, filem Jumanji: The Next Level memberikan satu kejutan yang kami tidak sangka dimana ia adalah antara sekuel filem yang sangat melucukan yang pernah ditayangkan sepanjang tahun 2019 ini berbanding banyak sekuel filem lain yang kecundang di pertengahan jalan akibat jalan cerita yang lemah atau tidak menarik seperti mana filem pertamanya.



Filem Jumanji: The Next Level ini dimulakan dengan kelibat sekumpulan empat orang rakan yang berjanji untuk bercuti dan berjumpa sesama mereka iaitu Spencer, Martha, Fridge dan Bethany sebelum Spencer dilihat mula mengalami konflik dalaman sebelum menghilang kembali ke dalam dunia permainan Jumanji yang dipasang dan dibaikinya semula. Tetapi, apa yang membuatkan sekuel filem ini menarik perhatian apabila avatar yang pada asalnya menjadi milik mereka kini bertukar milik kepada dua orang tua . Turut menjadi perhatian apabila terdapat beberapa watak baru seperti Ming dan Kuda Hitam yang turut menambah warna kepada jalan cerita filem ini. Selain itu, kami juga terhibur apabila filem ini bijak menimbulkan konflik apabila mereka boleh menukar avatar masing-masing yang membuatkan kami serta penonton yang lain ketawa besar melihat gelagat watak-watak ini.


Tidak dinafikan 10 minit pertama filem Jumanji: The Next Level ini bergerak dengan momentum yang cukup perlahan dan sedikit membosankan. Ianya mengambil masa untuk berkembang dan menarik perhatian para penonton. Tetapi, percayalah saat anda kembali kepada dunia permainan video Jumanji maka ianya akan menjanjikan satu kelainan menarik yang membuatkan anda terpaku dengan keindahan latar dunianya yang baru serta terhibur melihat gelagat setiap watak-watak ini yang dibawakan oleh para pelakonnya dengan gaya yang tersendiri. Idea yang dicetuskan untuk mengubah kekuatan dan kelemahan watak pada sekuel ini juga pada kami merupakan satu langkah yang sangat menarik dan semestinya berjaya mencetuskan elemen komikal yang berjaya menggeletek hati penonton.


Kali ini, pelakon-pelakon yang membawakan watak Avatar masing-masing boleh diberikan pujian kerana mereka berjaya mempamerkan karakter serta jiwa watak-watak yang menggunakan avatar tersebut dengan jayanya. Inilah antara kekuatan utama filem Jumanji: The Next Level pada kali ini dimana kami dapat melihat sisi lain pelakon-pelakon seperti Dwayne Johnson, Kevin Hart, Jack Black dan Awkwafina menghidupkan karakter watak avatar mereka yang pelbagai dengan cara yang berbeza tetapi ianya boleh diterima dan dipercayai oleh kami sebagai penonton. Setiap pelakon dilihat mampu bersinar dengan baik dan masing-masing saling menyokong untuk memastikan filem sekuel ini mengekalkan kecemerlangannya dari sudut humor dengan jayanya sejak awal dunia jumanji ini dipaparkan sehingga kepada akhir cerita.


Filem Jumanji: The Next Level ini juga dilihat mempunyai kekuatan dari sudut imej janaan komputer atau CGI bagi watak haiwan seperti burung unta dan juga mandrills. Pada kami, ianya sangat kemas dan berjaya membuatkan kami sebagai penonton turut berasa cemas melihat adegan-adegan kejar-mengejar yang cukup tegang ini. Semestinya filem ini juga dilihat kuat dari sudut perubahan plotnya yang sentiasa memberikan kejutan melalui pelbagai perkara baru yang menarik dan tidak disangka-sangka. Ditambah pula dengan pelbagai mesej yang berkaitan dengan kekeluargaan, persahabatan serta hubungan percintaan yang dilihat berjaya menyatu dengan baik bersama jalan ceritanya yang penuh fantasi maka tidak syak lagi filem ini sangat berbaloi untuk anda tonton di pawagam pada minggu ini. Jangan lupa untuk menonton filem ini sehingga ke penghujungnya kerana anda pasti akan berasa lebih teruja untuk menanti apa pula yang bakal dihidangkan pada masa yang akan datang.


Jadi, selamat menonton filem Jumanji: The Next Level di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 5 Disember 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini? Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Hans... bila agak² nya kita bole dpt baca ulasan Star Wars: Rise of Skywalker? Menggigil dan dah tak sabo tunggu filem dia minggu ni. Mesti dpt jemputan dr Disney dlm masa terdekat, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hans bukan fan Star Wars. Jadi, tengok macam tu jer lah.
      Dah tengok tetapi tunggu siapkan ulasan filem lain dulu.
      hahahaa

      Padam