Review Filem The Body


Filem:
The Body

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Jeethu Joseph

Genre:
Misteri & Ngeri

Pelakon:
Emraan Hashmi, Rishi Kapoor, Vedhika Kumar, Sobhita Dhulipala & Etc.

Pengedar:
Antenna Entertainments

Tarikh Tayangan:
13 Disember 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah penyiasatan yang membabitkan satu mayat seorang wanita yang berpengaruh dalam perniagaan yang secara tiba-tiba hilang tanpa meninggalkan jejak. Suami wanita tersebut mula disyaki oleh polis terlibat di dalam misteri kehilangan mayat wanita itu. Namun, ternyata ada satu lagi misteri yang berada berdekatan dengan mereka semua. Saksikan filem yang penuh dengan tanda tanya ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 13 Disember 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang agak menarik iaitu The Body bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 13 November 2019 yang lepas. Filem The Body merupakan sebuah filem yang dihasilkan semula berdasarkan karya asal El Cuerpo yang merupakan naskah dari Sepanyol. Namun, usai menonton filem ini dan kami boleh katakan ia merupakan sebuah karya separuh masak yang mempunyai peluang untuk menonjol dengan baik tetapi ditamatkan secara tergesa-gesa sehingga menjadikan filem ini tidak berjaya memberikan kesan seperti yang diharapkan.


Filem The Body dimulakan dengan kisah yang menarik berkaitan kehilangan mayat yang berlaku secara tiba-tiba di bilik penyimpanan mayat. Ajay Puri yang merupakan suami kepada Maya Verma disyaki merupakan dalang kepada kehilangan mayat isterinya itu dipanggil oleh pihak polis untuk disiasat. Jadi, babak-babak seterusnya mula memberi pelbagai jenis pembayang untuk cuba mengelirukan penonton dan adakalanya menagih simpati penonton untuk memahami lebih dekat siapa Ajay Puri dan bagaimana dia terseksa dengan layanan yang diberikan oleh bekas mendiang isterinya. Satu perkara yang menarik ialah elemen-elemen kejutan serta misteri yang kerap kali muncul dari setiap adegan ke adegan untuk membuatkan penonton mula terfikir-fikir siapa sebenarnya yang terlibat di dalam kejadian misteri ini.


Namun, pengakhiran filem The Body yang terlampau tergesa-gesa sehingga mengambil jalan mudah menyuap sahaja penonton dengan hal-hal berkaitan cinta, pengkhianatan, kematian dan keluarga menjadikan filem ini sebuah lagi karya dari India yang sepatutnya boleh berakhir dengan baik tetapi dirosakkan dengan pengakhiran yang begitu mengecewakan. Segala-galanya kelihatan canggung dimana kami secara peribadi tidak menyukai gaya penceritaan filem sebegini yang dengan mudahnya merendah-rendahkan pemikiran penonton dengan memberi segala-gala jawapan di dalam satu babak dan mengharapkan penonton gembira mengetahui jawapan kepada misteri yang sudah cantik disusun pada bahagian awal penceritaan. Sayang seribu kali sayang kerana filem ini ditamatkan dengan cara yang sedemikian rupa.


Menyentuh tentang para pelakon, watak utama iaitu Ajay Puri yang dilakonkan oleh Emraan Hashmi memberikan satu lakonan yang cukup meyakinkan dan adakala berjaya membuat penonton berpihak kepadanya dalam beberapa adegan. Rishi Kapoor pula sebagai seorang inspektor polis dilihat berjaya memberikan kejutan pada beberapa bahagian. Vedhika Kumar yang kelihatan naif berjaya bersinar di dalam cerita ini tetapi peranannya dilemahkan oleh jalan cerita yang kurang menarik. Manakala Sobhita Dhulipala yang memainkan watak sebagai Maya Verma pula dilihat kurang meyakinkan dimana tingkah lakunya yang dingin dan tiba-tiba menjadi normal dilihat sangat mengelirukan. Namun, kelemahan sebenar filem ini ialah berkaitan dengan jalan ceritanya yang dilihat lemah pada babak kedua sehingga kepada penamat cerita. Filem ini boleh ditonton dan masih menghiburkan tetapi jika anda penggemar filem-filem Bollywood yang bergenre thriller dan jenayah, filem The Body ini tidak mampu memberikan anda kepuasan seperti yang dikehendaki.


Jadi, selamat menonton filem The Body di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 13 Disember 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Ialah Sebuah Filem Seram Indonesia Berjudul Ratu Ilmu Hitam. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan