Review Filem Gully Boy


Filem:
Gully Boy

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Zoya Akhtar

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon:
Ranveer Singh, Alia Bhatt, Siddhant Chaturvedi, Kalki Koechlin, Vijay Raaz,
Amruta Subhash, Vijay Varma, Sheeba Chaddha, Nakul Sahdev, Tina Bhatia & Etc.

Tarikh Tayangan:
14 Februari 2019

Pengedar:
Suraya Filem

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pemuda Muslim yang tinggal di Bombay bernama Murad yang berusia 22 tahun. Murad sangat berminat dengan muzik hiphop dan bercita-cita ingin menjadi seorang penyanyi rapper. Namun, impiannya ini dihalang oleh bapanya yang sangat membenci minat Murad ini. Tetapi, Murad tetap ingin meneruskan menggapai impian tersebut namun kali ini ia perlu menempuh banyak cabaran bukan sahaja daripada keluarga juga kekasih hati, kewangan dan kesukaran hidupnya tinggal di komuniti miskin di Dharavi. Mampukah Murad menghadapi cabaran tersebut atau impian hanya tinggal angan-angan? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda pada 14 Februari 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Sebelum ini kami di portal filem Rollo De Pelicula memang ada terpandang dan terbaca serba sedikit berkaitan info filem Bollywood berjudul Gully Boy yang akan ditayangkan pada tanggal 14 Februari 2019 ini. Kemudian pihak kami telah menerima maklum balas daripada salah seorang rakan yang mengesyorkan untuk menonton filem Gully Boy ini kerana filem ini telah menerima respon serta pujian yang sangat menggunung daripada pengkritik serta media di sana. Lebih menarik filem ini turut mendapat perhatian serta pujian positif daripada artis luar negara. Memandangkan rakan kami yang mencadangkan filem ini merupakan orang yang sama yang mencadangkan kami menonton filem hebat bertajuk Andhadhun pada tahun lepas maka akhirnya pihak kami mengambil keputusan untuk menonton filem Gully Boy ini pada 16 Februari 2019 bertempat di TGV Jaya Centre.



Gully Boy bermaksud Budak Jalanan dan filem ini sebenarnya merupakan sebuah kisah yang diambil inspirasinya berdasarkan sebuah kisah realiti gelap gerakan rappers bawah tanah iaitu Divine dan Naezy yang berasal dari Mumbai, India. Walaupun filem arahan Zoya Akhtar ini masih setia mengekalkan elemen wajib berkaitan kisah percintaan di dalam penceritaannya namun ia lain daripada kebiasaan. Filem ini tidak memaparkan kisah cinta fantasi yang palsu tetapi menyampaikan penceritaanya melalui visual yang matang. Menariknya juga filem Gully Boy turut tidak memaparkan sebarang adegan pertempuran atau pergaduhan yang bersifat hiperbola mahu pun heroisme. Sebarang perkara yang selama ini dibenci atau menjadi halangan buat mereka yang tidak gemar untuk menonton filem Bollywood nampaknya telah disucikan oleh Zoya Akhtar di dalam filem Gully Boy ini.



Filem Gully Boy memaparkan dan memperjuangkan suara manusia-manusia berkasta pertengahan dan bawahan yang hidup di India dengan bijak memilih kawasan Dharavi sebagai lokasi terbaik dan menarik untuk ditonjolkan kepada khalayak penonton. Ia satu perkara yang sangat kreatif dan bijak di dalam menyampaikan falsafah fikiran pelbagai individu yang bukan sahaja berbeza latar belakang dan generasi tetapi juga mempunyai kepercayaan serta falsafah yang dipercayai dan digunakan sendiri untuk pegangan hidup masing.-masing. Penceritaan dimulakan dengan seorang lelaki muslim yang masih muda bernama Murad (Ranveer Singh). Murad sebenarnya mempunyai pelbagai perkara yang ingin diluahkan namun budaya kekeluargaan yang kuat diikat oleh nilai-nilai masyarakat, agama serta kuasa dominan bapa menyebabkan Murad mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan mengikut apa sahaja yang telah tercorak di hadapan mata. Namun, segala-galanya berubah selepas Murad melihat, berhadapan dan berada di dalam kehidupan semua golongan yang wujud di India iaitu golongan minoriti, golongan bawah tanah, golongan sederhana, golongan yang terpencil serta golongan masyarakat India yang kaya raya. Seronok melihat bagaimana filem Gully Boy ini menyentuh pelbagai perkara melalui visual yang sangat cemerlang. Pertama boleh dilihat kepada saiz rumah kotak tempat tinggal Murad bersama seorang adik lelaki, ibu kandungnya, nenek, ayah serta isteri baru ayahnya yang lebih kurang sahaja usia mereka. Perkara ini menjadi sangat menarik apabila satu babak memaparkan sebuah rombongan pelancong berkulit putih yang datang melawat rumah Murad sambil sakan bergambar dimana pandangan mereka terhadap ruang kecil tersebut seakan-akan sebuah seni muzium yang sangat mengagumkan. Disini sahaja filem ini sudah berjaya mendapatkan empat pandangan berbeza iaitu daripada sudut pandang Murad, pelancong luar negara, golongan kaya India serta kita sendiri sebagai penonton untuk menilai sendiri tentang kekuatan penyampaian visual di dalam babak ini yang sangat bermakna.



Kemudian, lihat pula kepada keadaan sosial budaya keluarga yang dipaparkan di dalam filem ini. Bukan sahaja dapat dilihat kepelbagaiannya yang begitu mengujakan tetapi nilai realisme yang dipaparkan begitu mengagumkan dan dekat di hati masyarakat yang menonton. Pertama kita lihat kepada kehidupan keluarga Murad dimana ayah Murad iaitu Shakir (Vijay Raaz) sentiasa percaya bahawa sebagai suami, bapa dan ketua keluarga maka dirinya adalah dominan daripada sebarang teguran. Walaupun sentiasa menyatakan tentang kesusahan hidup yang perlu dilalui untuk menyara dan membesarkan mereka sekeluarga namun Shakir masih boleh beristeri dua dan membawa isteri tersebut tinggal di rumahnya bersama-sama dengan isteri pertamanya. Pada satu babak dipaparkan bagaimana isteri kedua Shakir meletakkan pinggan makanannya di atas meja untuk dicuci oleh madunya atau ibu mertuanya. Kemudian, kita dapat melihat bagaimana mereka berdua sebagai wanita terpaksa untuk redha atas dasar hormat kepada lelaki dan kepercayaan kepada sistem bahawa lelaki adalah ketua dan segala-galanya.



Selepas itu, filem ini mengambil langkah berani untuk memaparkan pula keadaan sosial budaya keluarga kekasih Murad iaitu Safeena (Alia Bhatt) dimana watak wanita di dalam keluarga ini pula dipaparkan sebagai 'lebih berkuasa' walaupun hakikatnya pihak lelaki masih dominan di dalam keluarga tersebut. Perkara ini bukan sahaja berjaya dikembangkan di dalam keadaan yang 'janggal' untuk sebuah karya filem Bollywood tetapi ia turut berjaya melontarkan suara para wanita yang menuntut hak kehidupan sebenar mereka melalui jasad bernama Safeena ini. Pemilihan Alia Bhatt dilihat sebagai sebuah keputusan yang sangat tepat dimana wataknya bukan sahaja tampak sangat menyegarkan tetapi kekuatan skrip yang dilontarkannya melalui penipuan senyuman manisnya yang menggoda itu kelihatan sangat sempurna untuk memberikan satu dimensi baru kepada dunia perfileman India melalui kisah penceritaan filem Gully Boy ini. Lihat sahaja bagaimana watak Safeena ini begitu berkeinginan untuk menjadi 'Lelaki' atau 'Ketua' tetapi bukannya melalui cara menonong  semberono tanpa hala tuju. Safeena percaya bahawa ilmu pendidikan mampu membantunya untuk mencapai cita-cita sebagai pakar bedah dan secara tidak langsung mengangkat martabat wanitanya ke satu tahap yang lebih tinggi untuk lebih dihormati agar pandangannya dipandang tinggi dan diterima ramai. Kepercayaan yang dipegang oleh Safeena ini pula sangat bertentangan dengan nilai hidup yang dianuti oleh ibunya yang percaya keinginan wanita tidak boleh melebihi batas di dalam kehidupan masyarakat di India dan usaha untuk lebih ke arah tersebut adalah sia-sia. 



Selepas itu beralih pula kepada sosio budaya keluarga kaya di India saat Murad menjadi pemandu menggantikan bapanya yang sakit dan berhadapan dengan konflik anak perempuan majikannya yang memberontak inginkan sesuatu tetapi dihalang oleh kuasa dominan bapanya. Disini  kita dapat lihat watak Murad ini melihat sesuatu daripada peristiwa ini sehingga timbulnya satu babak menarik antara Murad dan bapanya Shakir dimana satu frasa ayat yang sangat bijak dan memacu momentum filem ini ke sebuah tahap yang sangat membanggakan apabila Murad menyebut,"Saya tidak akan mengubah impian saya hanya kerana untuk menyamakannya dengan realiti kehidupan saya tetapi saya akan mengubah realiti kehidupan saya untuk memadankannya dengan impian saya. Saya tidak akan membuang peluang yang sudah diberi kepada saya!"



Filem Gully Boy juga membawakan satu elemen yang sangat menarik apabila ia berjaya menyampaikan kritikal sosial yang sangat mengagumkan dengan memaparkan pelbagai isu kehidupan serta kemampuan daya hidup manusia-manusia di dalam persekitaran filem ini. Filem ini berjaya mengetengahkan isu berkaitan poligami, agama dan kasta dalam keadaan yang cukup cantik tanpa menyentuh, menghina atau menjentik sensitiviti agama. Kemudian, filem ini juga memaparkan tentang masalah-masalah jenayah yang bermula apabila berlakunya keganasan rumah tangga yang berlaku di hadapan anak-anak tanpa berselindung sebelum ia merebak pula kepada permasalahan remaja seluruh dunia seterusnya iaitu berkaitan dadah. Hal ini diikuti pula oleh gejala jenayah vandalisme serta berubah menjadi berat apabila ia mula menyasarkan kepada aktiviti mencuri kereta demi kelangsungan hidup. Filem ini sebenarnya menjentik semua golongan kasta di India yang sebenarnya saling berkait rapat di dalam permasalahan yang berlaku di sana. Namun, satu perkara menarik disini apabila ia memaparkan tentang kehebatan agama Islam daripada dua sudut iaitu arak dan menghormati penganut agama lain. Dapat dilihat watak Murad dan Safeena sentiasa menolak dengan baik pelawaan rakan mereka untuk meminum arak tetapi pada masa yang sama tetap menunjukkan rasa hormat kepada rakan-rakan. Ini menyebabkan secara automatik rakan-rakan mereka yang bukan Islam ini tahu batas-batas yang tidak boleh dilangkaui mereka di dalam agama dan membuatkan mereka lebih kagum dan menghormati kedua-dua watak ini dengan baik.



Kekuatan paling menakjubkan di dalam filem ini semestinya ialah teras utama yang dibawa di dalam penceritaannya iaitu muzik hip hop dan keistimewaan elemen rap di dalamnya. Filem ini menjadikan perkara tersebut sebagai medium yang bertindak sebagai sebuah seni yang mampu menyalurkan pelbagai rasa, emosi, kesakitan dan kesunyian dengan memanfaatkan kehebatan dan kekuatan bunyi, tulisan, kata-kata serta pergerakan sebagai perlambangan kepada kekuatan watak yang bernama Murad ini. Murad yang tersepit dengan kehidupan bersama keluarga yang tidak berfungsi dengan baik di sebuah ruang rumah yang tidak menggembirakan menjadikan rap sebagai satu kaedah untuk dia melepaskan dirinya daripada berperang dengan kesengsaraan kehidupan yang dialaminya dan Murad mengakui rap menjadikanya dirinya betul-betul merdeka daripada hukuman dunia tersebut.



Walaupun filem Gully Boy ini sememangnya adalah kejayaan besar dan menjadi hak milik utama pelakon Ranveer Singh namun barisan pelakon yang lain sememangnya diakui adalah penyebab kepada kesempurnaan terhadap perjalanan cerita berkaitan budak jalanan ini. Alia Bhatt bukan sekadar dilihat mempunyai keserasian yang sangat bagus dengan Ranveer tetapi berjaya memberikan satu tamparan hebat buat lelaki-lelaki dominan di India melalui watak wanita Muslim yang dilakonkannya ini yang sangat versatil. Jangan dilupakan juga tentang kemunculan pendatang baru bernama Siddhant Chaturvedi yang memegang watak sebagai MC Sher yang sangat hebat lakonan serta penjiwaannya dan perlu diberikan perhatian selepas ini. Ditambah pula dengan kehebatan pelakon-pelakon lain seperti Vijay Verma, Kalki Koechlin, Vijay Raaz, Amruta Subhash, Sheeba Chaddha dan ramai lagi di dalam menjayakan karya hebat ini menjadikan filem Gully Boy sememangnya sebuah karya yang bukan sahaja membawakan sebuah penceritaan yang menakjubkan tetapi turut berjaya mengangkat bakat-bakat mereka ini di layar perak untuk dihargai oleh para penonton. 



Ada beberapa perkara juga yang menarik perhatian untuk disentuh pada filem kali ini. Antaranya :

1) Hubungan dan kisah percintaan antara Murad dan Safreena ini dipapar dan digambarkan di dalam keadaan yang sangat menarik dan sempoi. Kisah cinta mereka ini tidak ditelanjangkan seperti mana di dalam filem-filem Bollywood lain tetapi kita sendiri akan sedar bahawa mereka ini sebenarnya mempunyai hubungan yang lebih daripada sahabat dan sebenarnya sedang menyembunyikan hubungan tersebut daripada pengetahuan keluarga.

2) Lirik-lirik rap yang wujud di dalam filem ini bukan sahaja cemerlang tetapi sangat memukau. Selain puitis, ia bukan sekadar satu teks lirik tetapi membawa subteks yang sangat menghiburkan sehingga anda bukan sahaja akan terpukau melihat maksud lagu yang tertera pada sari kata tetapi turut sama akan bergoyang menikmati lagu-lagu rap tersebut.

3) Satu babak menarik sewaktu Murad berada di bilik mandi rumah mewah rakannya dimana Murad mengukur luas ruang kawasan tersebut dengan kakinya. Pada masa yang sama, anda akan teringat tentang saiz rumah Murad yang mungkin sebesar bilik mandi tersebut sambil ditemani dengan laluan sungai yang menjadi tempat pembuangan sampah serta menjadi kawasan kumuh penduduk berdekatan.

4) Keseluruhan filem ini memaparkan tentang impian. Bukan sekadar impian Murad tetapi impian semua wataknya yang berhadapan dan bersaing dengan pelbagai cara dan langkah tersendiri untuk mencapai impiannya asing-masing. Itu yang membuatkan filem ini bukan sahaja mengagungkan watak Murad tetapi turut memberi peluang yang sama kepada watak Safeena, Sher, Sky, Shakir, Moeen dan banyak lagi untuk menyinar bersama.


Cuma satu masalah yang sangat mengganggu dan mengecewakan sepanjang menonton filem Gully Boy ini ialah masalah pemotongan dan penapisan filem yang terlampau banyak. Sewaktu menonton mungkin ramai yang akan perasan antara lima atau enam babak yang dipotong sepanjang tontonan. Tetapi, melalui maklumat yang diperoleh sebenarnya terdapat 17 babak filem ini yang telah dipotong. Apa yang mengecewakan ialah  kebanyakan babak yang dipotong tersebut sedang berada di dalam fasa klimaks yang penuh dengan debaran tetapi sayangnya ia dipotong mungkin disebabkan ada unsur-unsur yang tidak sesuai untuk tontonan awam yang menyentuh sensitivi agama atau kekeluarga. Jadi, nampak gayanya perlulah menanti agak lama untuk dapat menonton versi yang bebas daripada sebarang pemotongan.


Pihak portal filem Rollo De Pelicula menyeru agar semua kaki wayang menonton filem Gully Boy ini di pawagam terpilih kerana kami sangat pasti anda semua bukan sekadar terhibur semata-mata tetapi banyak perkara dan sudut menarik yang boleh dilihat, dikupas dan diterokai berkaitan filem ini. Tetapi, satu perkara yang kami pasti ialah anda semua pasti berpuas hati dengan nilai tiket yang dibayar untuk menonton sebuah karya hebat ini. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini.

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Mandarin Yang Diadaptasi Daripada Sebuah Komik Jepun Iaitu Filem Fall in Love At First Kiss. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. wah kene tgk ni..meanriknya baca ulasan die ni..mentarbatkan wanita..cabaran yang sememangnya diaorg hadapi

    BalasPadam