Review Filem Wiro Sableng: Pendekar Kapak Maut Naga Geni 212


Filem:
Wiro Sableng

Pengarah:
Angga Dwimas Sasongko

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Vino Bastian, Sherina Munaf, Marsha Timothy, Fariz Alfarizi,
Happy Salma, Yayan Ruhian, Cecep Arif Rahman, Aghniny Haque & etc.

Penilaian:
6 /10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Wiro Sableng yang hanya berusia empat tahun apabila ibu bapanya dibunuh dalam serangan penjahat. Dia kemudian dibesarkan oleh seorang pahlawan wanita tua, Sinto Gendeng. Bekas pengikutnya iaitu Mahesa Birawa merupakan dalang serangan yang menyebabkan kematian ibu bapa Wiro itu. Untuk menghentikan Mahesa daripada menjadi lebih bahaya, Sinto telah mengajar Wiro seni mempertahankan diri lagenda iaitu silat, untuk menjadikannya sebagai Pahlawan Naga Kapak 212. Wiro akhirnya berjaya mewarisi Kapak 212 selepas berlatih selama 17 tahun. Dia kemudian meninggalkan pergunungan dan memulakan  pengembaraannya untuk menghentikan rancangan jahat Mahesa.

Ulasan Hans:

Alhamdulillah rezeki aku terpilih untuk memenangi dua keping tiket daripada The Vocket untuk menonton filem yang sangat panjang judulnya iaitu Wiro Sableng: Pendekar Kapak Maut Naga Geni 212. Secara jujurnya aku memang tidak pernah mendengar langsung tentang perihal filem ini serta kisah Wiro Sableng itu sendiri. Mengikut kajian ringkas aku, kisah pendekar Wiro Sableng ini pernah dijadikan filem pada era 1980-an dan juga sinetron pada 1990-an. Filem ini diadaptasi daripada siri novel Wiro Sableng yang merupakan karya Bastian Tito dan Wiro Sableng ini juga amat dikenali oleh masyarakat Indonesia sebagai seorang pendekar yang mempunyai karakter jenaka serta gila-gila. Permulaan filem berjaya membuatkan aku sedikit teruja apabila melihat logo syarikat produksi antarabangsa iaitu 20th Century Fox dipaparkan di layar sinema dimana syarikat ini turut bekerjasama dengan pihak produksi tempatan Indonesia iaitu Lifelike Pictures yang menghasilkan filem Wiro Sableng ini.


Filem ini dimulakan dengan kisah sepasang suami isteri, Ranawaleng dan Suci serta anak lelaki mereka yang masih kecil iaitu Wiro yang hidup bahagia sebelum kebahagiaan itu musnah apabila perkampungan mereka diserang oleh Mahesa Birawa. Menariknya disini pasangan ini sebenarnya mengenali Mahesa Birawa dan apa aku boleh simpulkan mengikut kefahaman aku ialah Mahesa sebelum ini menaruh hati kepada Suci namun cintanya ditolak seperti mana ditunjukkan pada dialog awal Mahesa pada permulaan filem ini. Cinta sejati Ranawaleng dan Suci tidak dapat dirosakkan oleh Mahesa dan akhirnya mereka berdua telah dibunuh dengan kejam. Mujur si Wiro yang masih kecil itu berjaya diselamatkan dan dipelihara oleh Sinto Gendeng yang sebenarnya merupakan bekas guru silat kepada Mahesa Birawa. Salah satu konflik yang bagus pada aku kerana mengapa Sinto sendiri tidak mengambil langkah awal menumpaskan Mahesa sedangkan sebenarnya dia mampu melakukannya lebih awal untuk mengelakkan Mahesa terus melakukan kejahatan.



Disebabkan itulah aku cukup sukakan babak yang melibatkan Sinto Gendeng dan Wiro kerana dialog yang digunakan sangat klasik dan mempunyai subteks yang menarik. Kesunyian, kekesalan, kasih dan kesedihan! Empat perkataan ini menggambarkan apa yang yang dialami oleh jiwa Sinto Gendeng apabila memikirkan tentang Mahesa. Jadi, apabila tangannya digenggam erat oleh Wiro maka Sinto mengambil keputusan untuk mendidik Wiro dan mengelakkan Wiro daripada kecundang memilih haluan kiri seperti mana Mahesa. Jadi, apabila Wiro berjaya menjadi pewaris kepada kapak maut tersebut dapat dilihat Sinto sering kali menasihatinya agar menghilangkan sifat dendam kerana dia risau Wiro akan menjadi sama seperti Mahesa.



Kewujudan Wiro di dalam hidup Sinto Gendeng sememangnya amat dihargai dan Sinto bukan sekadar menjadikan Wiro sebagai anak angkat tetapi juga sebagai muridnya kerana terpaut dengan sifat lemah lembut serta jiwa Wiro yang suci. Berbeza dengan muridnya yang terdahulu iaitu Mahesa Birawa yang mengkhianati beliau kerana terlalu mengikut nafsu iblis. Mahesa sentiasa inginkan segala-galanya lebih daripada orang lain. Jadi, dia memilih untuk mengikut nafsunya menuju jalan hitam supaya dia berkuasa dan memberinya kebebasan untuk membunuh, merampas harta dan menjadikan wanita sebagai pemuas nafsunya. Bermulalah perjalanan cerita filem ini dimana Wiro perlu membawa Mahesa pulang kembali bertemu dengan Sinto Gendeng. Bagi aku, jalan cerita filem ini mudah dan senang difahami daripada awal sehingga akhir ceritanya. Tidak ada masalah bagi sesiapa yang tidak membaca novel atau pun menonton sinetronnya untuk memahami filem Wiro Sableng ini.



Filem aksi ini menampilkan elemen silat tetapi boleh dilihat beberapa babak pertarungan di dalam filem ini seperti telah berasimilasi dengan seni pertahanan diri Kungfu disebabkan pengarah aksi yang terlibat di dalam filem ini ialah Chan Man Ching yang sering terlibat di dalam babak-babak aksi filem Jackie Chan. Ditambah pula dengan bantuan kesan khas CGI yang agak menarik seperti adegan melompat terbang dari kuda, turun dari lembah yang sangat curam, kedatangan bidadari disertakan angin dan pelbagai jenis aura jurus-jurus silat sememangnya membuktikan elemen aksi kungfu agak menebal di dalam filem ini seolah-olah seperti anda membaca dan melihat sendiri hal ini di dalam dalam komik-komik aksi dari Hong Kong. Namun, elemen silat dan tradisional masih wujud dan menjadikan filem ini masih menarik untuk ditonton. Tambahan pula kesan khas CGI yang digunakan juga tidak terlampau berlebihan dan menjadikan filem ini kelihatan masih asli.



Satu perkara menarik ialah walaupun banyak karakter yang wujud dan ditampilkan di dalam filem ini, namun hampir kebanyakan karakter berjaya diperkenalkan dengan baik dan kemas. Pelakon utamanya iaitu Vino G. Bastian berjaya membawakan watak Wiro Sableng dengan yang tersendiri yang sedikit gila-gila dan lucu dan berjaya menggeletek hati penonton. Namun, adakala perwatakan karakternya sedikit mengjengkelkan dalam sesetengah babak dimana aku merasakan seolah-olah ia satu keterpaksaan dan kelihatan seperti dibuat-buat.



Tetapi, kewujudan dan kekuatan watak Bujang Gila Tapak Sakti yang dilakonkan oleh Fariz Alfarazi benar-benar menghiburkan dan menjadi 'sidekick' yang cukup baik buat Vino untuk membantu memperkembangkan lagi karakter Wiro Sableng dengan lebih berkesan. Sableng itu bererti gila dan filem ini berjaya menunjukkan sisi gila tersebut dengan berjaya menggeletek hati penonton untuk ketawa besar apabila menonton babak yang melibatkan dua watak ini iaitu Wiro Sableng dan Bujang Gila Tapak Sakti. Anda pasti akan ketawa tanpa henti apabila disajikan dengan dialog-dialog mereka yang lucu dan secara kebetulan menjadikan plot cerita filem ini yang adakalanya bergerak perlahan atau dipenuhi dengan dialog yang panjang berjela menjadi sedikit ringan dan santai. 


Walaupun filem ini mampu membuatkan anda ketawa dengan elemen humor yang berjiwa klasik tetapi filem Wiro Sableng ini masih kukuh berpasak pada genrenya sebagai sebuah filem aksi. Babak-babak pertarungannya masih mampu membuatkan anda berasa tegang saat menyaksikan percikan darah atau pertembungan senjata yang memukau. Paling menarik semestinya visual yang dipaparkan di dalam filem ini berjaya menggambarkan dunia semula jadi yang mengelilingi perjalanan Wiro Sableng dan rakan-rakannya yang sangat cantik dan memukau. Anda pasti akan tertarik dan menyukai penggredan warna filem ini yang sangat membantu membawa anda merasai dan menikmati alam kehidupan Wiro Sableng dan membuatkan filem ini kelihatan mahal dan ada aura kualitinya. 


Kemunculan Marsha Timothy yang memegang watak sebagai Bidadari Angin Timur kembali mengingatkan aku kepada wataknya di dalam filem Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak. Seolah-olah jiwa Marlina seperti meresap ke dalam watak Bidadari Angin Timur ini walaupun watak ini ditampilkan penuh berseri dan ayu terutamanya apabila kemunculan babaknya menentang penjahat-penjahat yang terdiri daripada golongan lelaki. Menyentuh tentang props, senjata serta pakaian setiap pelakon di dalam filem ini, anda pasti akan mengakui kesemua ini dirancang dan dibuat dengan cukup kemas dan rapi. Melihat pakaian pelakonnya sahaja sudah dapat dijangkakan bahawa mereka memang cukup terperinci dalam memberi yang terbaik dan disesuaikan pula dengan latar belakang cerita berkenaan kisah raja-raja zaman dahulu. Betapa indah dan mewahnya pakaian Raja Kamandaka dan permaisurinya digayakan. Begitu juga pakaian Wiro Sableng dan rakan-rakannya yang juga bersesuaian dengan status mereka sebagai orang biasa yang tinggal di pedalaman.


Sinematografi filem ini sememangnya cukup memukau daripada awal sehingga akhir filem. Anda pasti akan jatuh cinta dan terpesona dengan keindahan dunia Wiro Sableng yang digambarkan dengan cukup baik di dalam filem ini. Kejadian hutannya yang cantik menghijau. Babak pertarungan juga ditunjukkan dengan cukup baik dan kemas sehingga mata selesa menyaksikan setiap aksi-aksi yang dipertontonkan. Salah satu babak menarik ialah babak yang melibatkan pertarungan Wiro menenang Kala Hijau yang bagi aku sangat menarik dan bersifat universal. Dibantu pula dengan latar lagu yang digunakan berjaya meningkatkan emosi untuk penonton untuk sama-sama menyelami babak-babak menarik yang terdapat di dalam filem ini. Rasa kemarahan, sedih, senang dan bahagia berjaya dirasai dengan lebih mudah hasil bantuan lagu latar yang digunakan bersesuaian mengikut babak.


Disini juga disenaraikan beberapa kelemahan filem ini mengikut pandangan aku yang telah menonton :

1) Ada sedikit kekurangan pada sesetengah babak yang menggunakan kesan khas yang menjadikan visualnya kurang rapi terutama apabila melibatkan aksi-aksi mempamerkan jurus silat.

2) Walaupun filem ini menawarkan aksi yang menarik serta elemen lucu yang sememangnya menghiburkan tetapi ada sebahagian babak yang bergerak perlahan dan mempertaruhkan dialog yang agak panjang dan membuatkan penonton terasa bosan. 

3) Ada beberapa karakter antagonis yang kurang jelas huraiannya daripada segi kisah dan peranan yang berkemungkinan disebabkan begitu banyak watak yang wujud di dalam filem ini.


Jadi, disini juga disenaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem Wiro Sableng: Pendekar Kapak Maut Naga Geni 212 ini:

1) Peminat filem aksi komedi wajar menonton kerana filem ini pasti bakal menjadi filem kegemaran anda kerana dipenuhi babak aksi yang menarik serta dialog lucu yang mampu membuat anda ketawa berdekah-dekah. 

2) Watak antagonis Mahesa Birawa yang berjaya dipotret dengan begitu gagah dan kejam sekali sehingga ke saat akhir. Tidak seperti filem-filem lain dimana watak antagonis mudah ditewaskan oleh watak utama. Watak Mahesa ini betul-betul watak antagonis yang hebat dan sangat logik watak ini diangkat menjadi ketua puak penjahat kerana kehebatannya memang diakui.

3) Untuk melihat sendiri apakah keistimewaan filem Indonesia ini sehingga menarik perhatian syarikat produksi antarabangsa 20th Century Fox untuk bekerjasama dengan mereka.

4) Masih mempunyai mesej-mesej yang baik dan menarik seperti hubungan kekeluargan, persahabatan dan adik-beradik yang boleh diambil tauladan daripada filem ini.


Apa-apapun, filem ini masih menarik dan menghiburkan buat anda yang menggemari filem bercorak aksi dan diselangi dengan unsur komedi. Jadi, selamat menonton filem Wiro Sableng: Pendekar Kapak Maut Naga Geni 212 ini dan menikmati keseronokan serta keindahan yang terdapat di dalam kisah Wiro Sableng yang sableng ini. Sekian!

P/S : Jika Anda Menonton Filem Ini, Pastikan Jangan Keluar Dari Panggung Setelah Filem Tamat Kerana Ada Babak Kejutan Menarik Selepas Itu! 

Catat Ulasan

0 Ulasan