Review Filem Siapa Tutup Lampu

 

Filem:
Siapa Tutup Lampu

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Aliff Ihsan Rahman

Genre:
Persahabatan, Thriller & Komedi

Penulis Skrip:
Azhar Jalil

Pelakon:
Azizul Ammar, Uyaina Arshad, Naim Daniel, Ismi Melinda, Azhar Jalil, Afieq Shazwan,
Mark O'Dea, Melissa Campbell, Geoff Andre Feyaerts, Mustafa Kamal, Fatimah Abu Bakar & Etc.

Terbitan:
Horizon Film Entertainment Sdn Bhd & Articulate Fusion Productions Sdn Bhd

Rakan Platform:
Astro First

Tarikh Tayangan:
25 November 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan 5 orang sahabat iaitu Akmal, Arif, Aryana, Azie dan Amir yang bercuti di Genting Highlands. Dalam perjalanan pulang, mereka terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan Amir terkorban. Keempat-empat mereka yang lain perlu hadir ke bilik mayat untuk membuat pengecaman mayat Amir. Semasa menunggu doktor di bilik mayat, mereka terkunci dari dalam bilik mayat tersebut. Sepanjang mereka terkunci di dalam bilik mayat, mereka sering diganggu dengan pelbagai gangguan misteri. Antara yang paling ketara ialah lampu yang padam dengan tiba-tiba dan terus menjadi gelap. Apa sebenarnya punca kepada gangguan ini? Saksikan filem SiapaTutup Lampu di pawagam rumah anda iaitu Astro First bermula pada 25 November 2021 untuk mengetahui jawapannya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Horizon Film Entertainment untuk menonton sebuah filem tempatan terbitan mereka berjudul iaitu Siapa Tutup Lampu sempena tayangan media yang berlangsung dengan cukup meriah di TGV 1 Utama pada 22 November 2021 yang lepas. Untuk makluman semua, filem ini merupakan adaptasi dari sebuah pementasan teater yang telah memenangi banyak anugerah dalam satu pertandingan teater.

Menonton filem Siapa Tutup Lampu ini ibarat seperti anda sedang melihat sebuah permainan puzzle yang sedang berkecamuk dan anda memerlukan masa yang berkualiti untuk menyusun kembali serpihan puzzle yang bertaburan tersebut untuk mendapat jawapan yang anda inginkan. Itulah yang kami rasai sendiri usai menonton filem ini yang pada kami mempunyai keunikannya yang tersendiri. Sekurang-kurangnya untuk industri filem Malaysia, karya ini wajar diberi pujian kerana memberikan satu lagi penyampaian baharu yang jarang-jarang dapat dilihat di dalam filem-filem tempatan khususnya filem Melayu.


Banyak yang ingin kami puji tentang filem Siapa Tutup Lampu ini sebenarnya. Satu perkara yang paling jelas tentang kekuatan utama filem ini ialah lakonan para pelakonnya. Daripada barisan pelakon utama, pelakon pembantu sehingga cameo, rata-ratanya memberikan lakonan yang sangat cemerlang. Tidak dinafikan ada seorang dua pelakon yang mungkin tidak tampil dengan lakonan yang hebat namun lakonan mereka tidak kayu dan masih mempunyai roh. Kami paling gembira melihat pelakon kanak-kanak yang mampu berlakon dengan baik dan sangat bersahaja. Pada pandangan ikhlas kami, inilah sebenarnya yang harus dilakukan oleh syarikat-syarikat penerbitan filem tempatan yang lain dimana harus memilih para pelakon yang selayaknya melakonkan watak yang dicipta di dalam filem anda agar ianya memberi impak paling maksimum kepada tontonan para penonton filem anda.

Perkara kedua yang menarik tentang filem Siapa Tutup Lampu ini ialah tentang mesej utama yang ingin dibawa mereka iaitu kejujuran. Menarik bagaimana mereka menggunakan subjek lampu sebagai metafora kepada erti kejujuran yang merangkumi banyak aspek iaitu kejujuran terhadap manusia, Tuhan serta diri sendiri. Jujurnya kami sangat menikmati usaha-usaha hebat yang cukup kreatif dalam menyampaikan hal ini kepada para penonton kerana ianya cukup mudah untuk dihadam.  

Selain itu, melihat kepada naratif filem Siapa Tutup Lampu ini sebenarnya memberi persepsi berbeza bergantung kepada pemahaman masing-masing yang menonton. Jika anda bukannya penggemar filem-filem yang bermain dengan garis masa yang bercelaru dan tidak tersusun maka anda pasti mengatakan ianya tidak kemas. Namun, jika anda dapat menyelesaikan teka-teki tersebut maka anda akan menyatakan bahawa filem ini mempunyai naratif yang menarik untuk diperbincangkan. Walaupun filem Siapa Tutup Lampu masih jauh untuk bersaing dengan filem yang bermain dengan gaya yang lebih kurang ada persamaannya iaitu Memento namun kami masih memberi kredit kepada usaha keras ini. Menarik untuk melihat penghabisan frasa dialog disambung dengan sebutan dialog yang sama pada adegan seterusnya.   



Namun, ada beberapa kelemahan yang kami lihat wujud di dalam filem Siapa Tutup Lampu ini yang sedikit sebanyak memberi impak kepada keterujaan kami menyelesaikan misteri lima sekawan ini. Kelemahan pertama yang jelas pada kami ialah filem ini menampilkan terlalu banyak dialog daripada para pelakonnya sehingga menyebabkan ada beberapa babak yang terasa sangat lama dan meleret-leret. Nasib lakonan pelakonnya yang meyakinkan berjaya mengurangkan sedikit masalah utama yang dihadapi filem ini. 

Kelemahan kedua pula ialah apabila filem ini seakan-akan melupakan penggunaan visual yang boleh dijadikan subteks dan secara tidak langsung menenggelamkan permainan emosi watak-watak penting di dalam filem ini. Sebagai contoh di dalam satu adegan yang memaparkan almari yang mengalir keluar darah merah dari bahagian dalamnya, kami merasakan cukup sekadar emosi dan riak wajah watak-watak pelakon dimanfaatkan. Tidak perlu diulang-ulang tentang kewujudan dan kehilangan darah melalui dialog yang sama kerana ini adalah filem yang bervisual. Ianya bukan sebuah drama radio yang penonton tidak dapat melihat gambarannya.

Selain itu, kami melihat elemen komedi yang turut wujud di sepanjang filem ini juga memberi kesan bercampur baur terhadap turun naik filem ini. Ada beberapa adegan komedi yang seakan-akan parodi boleh diberikan pujian kerana kesan humor yang diterima penonton adalah sangat tinggi. Sebagai contoh satu babak melibatkan Mustafa Kamal dan syarikat Megah Holding yang berjaya diolah dengan baik pada pandangan kami. Tidak dinafikan adegan-adegan lucu lain juga menjadi cuma masalah berlaku apabila kekerapan menggunakan elemen ini di dalam banyak babak adakalanya seakan-akan terlalu memaksa penonton untuk ketawa. Tetapi, secara keseluruhan kami boleh nyatakan bahawa kami sangat gembira menjadi antara penonton terawal menyaksikan filem Siapa Tutup Lampu ini yang kami yakin mampu menjadi fenomena buat peminat-peminat filem serta penonton tempatan nanti.

Jadi, selamat menonton filem Siapa Tutup Lampu yang cukup mendebarkan ini di pawagam rumah anda iaitu Astro First bermula pada 25 November 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Berjudul Rumah Madu Ku Berhantu! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan