Review Filem The New King Of Comedy


Filem:
The New King Of Comedy

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Stephen Chow

Genre:
Komedi

Pelakon:
Wang Bao Qiang, E Jing Wen, Tin Kai-Man, Zhang Quan Dan, Ji Ru Yang, Zhang Qi, Yuan Xingze & Etc.

Tarikh Tayangan:
5 Februari 2019

Pengedar:
Empire Film Solution Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Dreamy yang bercita-cita untuk menjadi seorang bintang filem. Dia telah bekerja keras selama bertahun-tahun untuk mencapai impiannya untuk memegang peranan utama di dalam filem namun gagal. Ayahnya pula memberi tekanan yang besar kepadanya manakala ahli keluarganya yang lain turut cuba memujuknya untuk berhenti. Namun, teman lelakinya iaitu Charlie tetap menyokong impiannya itu. Disebuah set filem, Dreamy telah bertemu dengan sebuah pelakon terkenal bernama Marco. Marco pula sedang berhadapan dengan kegagalan sebagai seorang artis yang merasakan harga dirinya semakin rendah. Ini menyebabkan Marco menghadapi kemurungan dan cuba melepaskannya dengan menyeksa Dreamy agar dia berhenti. Walau bagaimanapun, Dreamy tetap teruskan berlakon dengan semangat yang tinggi namun akhirnya dia berputus asa dan mengambil keputusan untuk berhenti bagi mencari kerja tetap yang lain. Bagaimanapun semuanya berubah apabila dia mendapat panggilan yang memaklumkan bahawa dia mendapat watak utama untuk sebuah filem arahan pengarah terkenal. Saksikan filem komedi yang sangat menghiburkan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 5 Februari 2019 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Portal filem Rollo De Pelicula telah menerima kiriman email daripada syarikat pengedar filem The New King Of Comedy berkenaan info dan tarikh tayangan filem ini yang jatuh pada sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Melihat nama pengarah yang tertera pada filem ini ialah pelakon komedi kesukaan ramai iaitu Stephen Chow membuatkan pihak kami tidak sabar-sabar untuk menontonnya pada tayangan awal pagi yang pertama di TGV Cinemas The Mines pada 5 Februari 2019 yang lepas. Walaupun Stephen Chow hanya bertindak sebagai pengarah dan bukannya berlakon sebagai pemain utama filem ini, namun dapat dilihat filem yang dibuat semula daripada karya asal King Of Comedy yang ditayangkan pada tahun 1999 dan dibintangi sendiri oleh Stephen Chow ini sememangnya telah diisi dengan roh bintang tersebut. Ini disebabkan elemen humor yang dipaparkan sememangnya sama seperti asal dan begitu menghiburkan.


Filem ini mengisahkan perjalanan seorang gadis bernama Dreamy yang terlalu naif dan lurus yang terlalu bercita-cita dan berusaha keras untuk menjadi pelakon terkenal dan seterusnya sebagai bintang pujaan ramai. Namun, kerjaya Dreamy hanya berada di landasan sebagai pelakon tambahan selama berbelas tahun sahaja walaupun hasil lakonan yang diberikan betul-betul menjiwai watak yang diberikan kepadanya. Hal ini menarik kerana penceritaan watak Dreamy sebenarnya diambil daripada inspirasi kisah sebenar yang dilalui sendiri oleh Stephen Chow yang sememangnya bermula sebagai seorang pelakon tambahan sebelum bakat seninya diiktiraf seluruh dunia sehingga ke hari ini. Pelbagai konflik tambahan mula tercetus apabila kerjaya Dreamy ini tidak disukai oleh bapanya sendiri sehingga di halau oleh ayahnya daripada rumah. Kemudian bagaimana elemen persahabatan dipaparkan melalui dua watak yang dekat dengan Dreamy iaitu rakan perempuannya yang cantik yang tiba-tiba ditawarkan sebagai pelakon utama dan terus melupakan Dreamy serta rakan lelaki Dreamy yang dikenalinya di set lakonan yang merupakan pelakon pembantu sepertinya tetapi rupa-rupanya merupakan anak orang berada. Elemen percintaan turut bermain di dalam filem ini namun menariknya ialah kisah cinta betul-betul berpaksa di dalam dunia nyata apabila Dreamy dikhianati oleh lelaki yang sangat-sangat dipercayai dan disayanginya kerana sentiasa memberikan harapan dan sokongan kepada minat dan cita-citanya untuk bergelar sebagai pelakon utama.


Apa yang aku sangat suka tentang filem The New King Of Comedy ini ialah ia bukan sekadar menampilkan lawak-lawak slapstik komikal yang menjadi ideologi filem-filem lakonan Stephen Chow semata-mata namun filem ini bijak menyuntik nilai-nilai murni di dalam plot cerita filem ini. Lebih menarik ialah mesej-mesej ini berjaya disampaikan di dalam keadaan santai dimana sebagai penonton aku boleh berasa terhibur dengan elemen lucunya tetapi dalam masa yang sama boleh merasai kesedihan itu melalui emosi jujur yang disampaikan oleh watak Dreamy ini. Kekuatan sebenar filem ini ialah struktur jalan ceritanya yang benar-benar menyampaikan isi hati serta cabaran manusia yang berbakat di dalam sesuatu perkara tetapi tidak berpeluang untuk mencapainya disebabkan faktor fizikal, rupa dan kekangan kewangan. Mari kita lihat kepada watak Dreamy ini dimana kisah hidupnya yang betul-betul sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran dan pandangan skeptikal pihak produksi serta orang awam. Satu dialog menarik yang diungkapkan kepada Dreamy ialah ,"Buat apa kau bersungguh-sungguh. Kau bukannya pelakon utama!" itu sebenarnya merupakan sindiran pedas buat sesiapa yang tidak memahami seni dan lebih melihat kepada kecantikan fizikal dan luaran berbanding bakat. Filem ini juga turut menyindir secara terus kepada pihak-pihak produksi yang terlalu obses untuk mengambil wanita cantik sebagai teraju utama melalui babak yang memaparkan rakan Dreamy yang hanya diuji bakat dengan beberapa dialog sahaja dan terus diterima sebagai pelakon utama tanpa sebarang pengalaman berlakon. Ini jelas menunjukkan pelakon-pelakon kayu ini hanya berbekalkan rupa paras yang menarik sahaja tanpa bakat sebenar tetapi diberi peluang untuk menyinar manakala orang-orang seperti Dreamy yang mempunyai kecintaan sebenar kepada bidang seni dan punya bakat luar biasa pula ditolak ketepi atas faktor tiada nilai komersial. Bagi aku ini ialah satu sindiran dalam bentuk santai tetapi membawa makna yang besar kepada sesiapa yang berkenaan. Ibarat pepatah orang tua yang berbunyi 'Siapa Makan Cili, Dialah Yang Terasa Pedasnya!' 


Pengisian seterusnya berkaitan nilai kekeluargaan merupakan kekuatan seterusnya buat filem komedi The New King Of Comedy ini. Filem ini memberi fokus terhadap kasih sayang seorang bapa kepada anaknya. Seperti yang diketahui umum, majoriti kaum lelaki yang bergelar bapa sangat sukar untuk menunjukkan kasih sayang mereka kepada si anak. Hal ini berjaya dipaparkan dengan sangat baik di dalam filem ini melalui babak-babak santai komedi tetapi adakalanya berjaya menggugat tahap emosi anda untuk menitiskan air mata. Lihat sahaja babak ayah Dreamy menghalau anaknya pada permulaan kisah tetapi pada hari seterusnya, dia datang mencuri-curi melihat anaknya di set lakonan dari jauh dan melindungi anaknya sebaik mungkin daripada dibuli oleh pekerja produksi. Kemudian lihat lagi pada satu babak yang lain dimana Dreamy sudah mula tawar hati dan berhenti daripada bercita-cita menjadi pelakon utama. Namun, tawaran daripada pengarah terkenal telah membuatkan Dreamy menerimanya dan selepas itu dipaparkan ayahnya kembali marah-marah tetapi pada masa yang sama meminta ibu Dreamy untuk menempah tiket kapal terbang kelas pertama untuk Dreamy. Walaupun, hal ini disampaikan secara humor namun elemen kekeluargaan jelas berjaya disampaikan dengan cukup baik untuk mengusik hati penonton. Babak klimaks yang paling mengharukan dan bagi aku berjaya membuat para penonton sama-sama merasai jiwa seorang ayah yang bangga dan beremosi apabila saat Dreamy diumumkan sebagai penerima anugerah pelakon wanita terbaik. Dapat dilihat pada babak ini, Stephen Chow cuba menggunakan kuasa air mata seorang bapa yang bergenang di sekitar mata sebagai kemuncak untuk menjadikan filem ini beroleh kejayaan di dalam menyampaikan emosi dan kasih sayang seorang bapa kepada anak yang pada hakikatnya sentiasa sukar untuk dipaparkan secara terang-terangan di dalam dunia nyata.



Sebagai salah seorang yang turut bekerja dan terlibat di dalam belakang tabir, aku melihat Stephen Chow bijak menyampaikan realiti industri seni melalui nilai-nilai lawak versi beliau. Satu lagi sindiran pedas yang menarik dan sememangnya berlaku di dalam realiti dunia hiburan ialah tentang kisah-kisah selebriti yang suatu ketika pernah berada di kemuncak sebelum jatuh merudum ke atas tanah tetapi masih berlagak diva seperti yang dipaparkan di dalam watak Marco lakonan Baoqiang Wang. Aku sangat sukakan transisi watak ini yang pada mulanya dipotretkan sebagai satu watak yang sangat mengjengkelkan sebelum secara perlahan-lahan watak ini dibogelkan sifat sebenarnya yang membuatkan penonton dapat menyelami, memahami dan jatuh simpati kepadanya. Hal ini sebenarnya memang pernah berlaku di dalam industri seni negara kita sendiri dan melihatkan filem ini berjaya memasukkan kisah ini di dalam penceritaannya menjadikan aku sangat kagum dan menghormati kejujuran filem The New King Of Comedy ini.



Mesej seterusnya yang menarik untuk dilihat ialah tentang kisah percintaan antara Dreamy dan Charlie dimana ini adalah sebuah kisah cinta yang betul-betul kelihatan 'hidup' di dalam layar perak. Aku melihat filem ini berjaya menampilkan sebuah kisah cinta palsu dimana aku merasakan jiwa gadis bernama Dreamy yang setia ini betul-betul luluh setelah mengetahui kebenaran sebenar tentang perihalnya kekasihnya itu. Namun tidak dapat dinafikan penyiksaan tersebut yang membantu watak Dreamy ini berjaya untuk mengejar cita-citanya sebagai seorang pelakon utama. Ia merupakan satu permainan plot cerita yang begitu menarik buat aku untuk melihat perkembangan watak Charlie ini yang pada awalnya memberi sokongan kepada Dreamy untuk mengejar cita-cita asalnya sebelum akhirnya terbongkar kebenaran sebenar bahawa Charlie ini hanya sekadar inginkan wang sahaja daripada seorang gadis yang sepi dengan cinta dan perlukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang lelaki. Babak pertemuan Dreamy dan Charlie di dalam hujan sebagai pengakhiran hubungan mereka dan permainan babak ini yang bertukar wajah kepada Dreamy sewaktu sesi ujibakatnya bagi aku adalah satu pengulangan yang kreatif dan sangat cemerlang kerana babak tersebut betul-betul berjaya membuatkan aku sebagai penonton memahami dan merasai perasaan sebenar yang dirasakan oleh gadis lurus bendul bernama Dreamy ini.



Seperti biasa pemilihan para pelakon untuk filem ini bagi aku sangat tepat dan kena dengan karakter watak masing-masing. Aku melihat pelakon utama E Jingwen yang memegang peranan sebagai Dreamy merupakan pilihan yang sangat tepat untuk filem The New King Of Comedy ini kerana pelakon ini berjaya menyampaikan pelbagai emosi tanpa gagal. Begitu juga dengan pelakon Baoqiang Wang yang melakonkan watak Marco dimana aku melihat karakter watak ini berjaya dikembangkan dengan cukup baik dan berjaya mengusik hati penonton untuk ketawa dan sedih bersama-sama. Watak Charlie yang dibawakan oleh Zhang Quan Dan juga mempunyai kekuatan tersendiri dan ia bijak dilakonkan dengan gaya lurus dan naif walaupun hakikatnya watak ini adalah antagonis sebenar. Selain itu, watak bapa Dreamy juga bagi aku merupakan satu lagi watak yang betul-betul memberi pengaruh positif kepada filem ini untuk berkembang dengan baik dan mengekalkan momentum humor serta emosi yang menjadi kunci utama kepada kekuatan filem ini.


Kesimpulannya, walaupun filem ini menampilkan lawak-lawak slapstik yang merupakan identiti kepada manusia yang bernama Stephen Chow, namun filem ini bukannya sebuah filem lawak kosong tetapi sebaliknya mempunyai mesej yang sangat kuat dan berjaya disampaikan melalui gaya yang santai dan lucu dengan cukup baik sekali buat penonton. Secara tidak langsung, ia mendidik kita sebagai penonton untuk melihat dan mengaplikasikan pelbagai perkara positif yang telah dipaparkan secara visual serta teks dan subteks yang menarik terutamanya berhubung dengan kepercayaan terhadap diri sendiri di dalam mengejar impian serta hubungan kekeluargaan sebenar yang wajar diambil iktibar. Selain itu juga, permasalahan tentang kehidupan seperti persoalan tentang cinta sebenar serta hubungan persahabatan yang dipaparkan secara realistik sebaik mungkin menjadikan filem ini sangat bermaksa. Jadi, selamat menonton filem The New King Of Comedy sempena Tahun Baru Cina ini dan aku pasti anda semua pasti akan terhibur dengan filem terbaru arahan pelakon komedi hebat Stephen Chow ini nanti. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini.

P/S : Selamat Tahun Baru Cina Buat Semua Pembaca Dan Pengikut Portal Filem Ini!

Catat Ulasan

16 Ulasan

  1. What!! Film Stephen Chow yg baru, kalo Hans tak review, saya sendiri pon tak perasan. 9/10, ciiisss mlm ni nak tengok, confirm best. TQ Hans

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups...
      filem terbaru arahan dia...
      tapi dia tak berlakon cuma bab kelakar tu ibarat macam dia ada...
      hahaha

      Padam
  2. Baru lepas layan, betoi Hans, soul kelakar S.Chow tetap ada. Walaupon tak sekelakar Shaolin Soccer & KungFu Hustle, tapi bijak film ni bermain dgn emosi dan penuh dgn moral. TQ Hans kerana awal2 dah review film ni, bravo...

    BalasPadam
    Balasan
    1. filem nih kelakar tetapi ada mesej yang bermakna
      moral dia pun tinggi
      alhamdulillah tahniah sebab menonton :)

      Padam
  3. Dah review dah ni dalam blog Propa Rangers hari tu..hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. owh awal review...tengok awal ker?

      Padam
    2. Ingatkan Hans yg awal, rupanya ada yg lagi awal. Tapi dua2 review yg positif, TQ

      Padam
    3. Saya tengok tayangan pagi pertama...
      Ulasan tulis hari kedua :)

      Padam
  4. Saya tonton pon disebabkan Hans yg rekemen dan beri review tinggi, heheh. TQ

    BalasPadam
  5. Amat puas ati Hans. Recommended pd semua, heheh

    BalasPadam
  6. lama x tengok Stephen Chow hihihi... ingat dia yang berlakon rupanya dia pengarah hahaha nanti nak tengok filem dia tq hans review kalau memang x taw langsung

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      filem yang menarik harus diwar-warkan
      selamat menonton

      Padam
  7. Wang Bao Qiang yang memegang peranan sebagai Dreamy

    Begitu juga dengan pelakon Baoqiang Wang yang melakonkan watak Marco

    Takkan la dua2 pelakon kongsi nama yg sama..E Jingwen sungguh2 berlakon jadi extra tu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. termamai masa menaip waktu pagi
      hahahaha
      terima kasih bagitahu
      sudah diperbetulkan

      Padam