Review Filem Rumah Madu Ku Berhantu

 

Filem:
Rumah Madu Ku Berhantu 

Penilaian:
2/10

Pengarah:
Dato' Profesor Dr. A. Razak Hj Mohaideen

Genre:
Komedi & Seram

Pelakon:
Zizan Razak, Rita Rudaini, Nadia Brian, Azlee Jaafar, Saiful Apek, Douglas Lim & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
2 Disember 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Saufi seorang agen hartanah yang setia serta bahagia bersama isterinya, Sofea, dan anak perempuannya Lulu. Namun keharmonian ini bertukar porak peranda apabila seorang sahabat lama, Ali, telah memaksa Saufi untuk bersetuju menjadi ‘Pak Sanggup’ dengan mengahwini bekas isterinya iaitu Alia untuk satu malam sahaja. Perkahwinan ‘sementara’ antara Saufi dan Alia menjadi rumit apabila Ali meninggal dunia di dalam satu kemalangan. Saufi kini harus mencari penyelesaian untuk hidup bersama isteri pertama dan kedua tanpa membocorkan rahsia bahawa mereka kini telah bermadu. Saufi menempatkan isteri keduanya di sebuah rumah banglo usang. Saufi merasai suatu entiti seram mengganggunya di rumah tersebut. Pelbagai insiden lucu dan seram hampir menyebabkan Saufi pecah tembelang namun beliau tetap cekal berahsia sehinggalah satu malam yang maha mengerikan berlaku. Saksikan filem Rumah Madu Ku Berhantu di pawagam berhampiran rumah anda bermula pada 2 Disember 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada GSC Movies untuk menonton sebuah filem tempatan berjudul Rumah Madu Ku Berhantu bersempena dengan tayangan media yang berlangsung di GSC Mid Valley pada 23 November 2021 yang lepas.

Tidak banyak yang ingin kami katakan tentang filem Rumah Madu Ku Berhantu ini. Kita pergi kepada perkara yang baik dan menarik perhatian kami terlebih dahulu. Kami sebenarnya tertarik dengan beberapa kritikan sosial yang cuba diketengahkan di dalam filem ini iaitu berkaitan dengan masalah perceraian serta budaya gurauan versi barat yang lebih kita kenali dengan panggilan 'prank'. Sememangnya ini adalah satu mesej yang cukup menarik untuk diangkat sebagai salah sebuah subjek filem dalam mendidik masyarakat kita agar lebih peka tentang erti sebenar sebuah perkahwinan dan mengelakkan budaya gurauan yang tidak sihat daripada terus berleluasa di dalam masyarakat moden kita hari ini.

Menggunakan pendekatan komedi serta elemen seram sememangnya bersesuaian dengan selera penonton tempatan yang boleh dilihat lebih gemar dengan genre filem sebegini. Jika dilihat kepada barisan pelakon pun maka dapat dilihat pelakon komedi yang membintangi filem ini juga bukan calang-calang orangnya. Masing-masing mempunyai aura dan gaya humor tersendiri di dalam mewarnai filem ini. Ada sesetengah komedinya menjadi. Ada sesetengah komedinya sangat slapstik dan sukar menggeletek hati kami. Kelucuan filem ini adalah sangat subjektif bergantung kepada selera penonton itu sendiri.

Namun, apa yang mengecewakan dan menyedihkan kami apabila elemen-elemen 'seksual lembut' yang kerap kali digunakan di dalam filem ini. Boleh dikatakan daripada awal sehingga ke akhir elemen ini diulang pakai yang membuatkan kami berasa mual dan canggung seketika apabila adegan-adegan yang berkaitan muncul di layar. Menurut kata pengarah sewaktu sesi bersama media yang menyatakan ini adalah filemnya yang sudah ke berapa puluh dihasilkan. Jadi, adakah sekadar ini sahaja yang mampu diberikan kepada kami yang menonton filem Rumah Madu Ku Berhantu ini?

Kami tidak nafikan banyak filem yang cuba mengeksploitasikan elemen seksual di dalam visual penceritaan mereka namun sedar lah ianya kelihatan sangat murah apabila terpapar di skrin. Jika budaya 'prank' yang dipaparkan di awal filem memberitahu bahawa budaya tersebut bukannya budaya kita maka diharapkan pada karya-karya akan datang turut sama mengelakkan visual seksual yang ketara berlebihan ini kerana ianya bukan budaya kita. Memaparkan adegan lidah terjelir berulang kali, beberapa anggota badan sesetengah pelakon yang konon menggoda serta pergerakan tubuh yang bukan-bukan tidak membantu filem ini menjadi bagus tetapi sebaliknya mencalarkan imej dan kualiti tontonan filem ini sendiri.

Pasti filem sebegini ada peminatnya tersendiri. Namun jika ditanya kepada kami, jawapannya adalah bertentangan. Sangat tidak disyorkan untuk anda menonton filem ini bersama kanak-kanak mahu pun remaja dibawah umur kerana ia pasti akan membuatkan anda kekok apabila tiba babak-babak 'nakal' yang tidak sesuai ditonton oleh golongan bawah umur ini. Apa-apapun, tepuk dada tanyalah selera!   

Jadi, selamat menonton filem Rumah Madu Ku Berhantu bermula pada 2 Disember 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Ghostbusters: Afterlife! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!


Catat Ulasan

0 Ulasan