Review Filem Ghostbusters: Afterlife

 

Filem:
Ghostbusters: Afterlife 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Jason Reitman

Genre:
Komedi & Fantasi

Pelakon:
Carrie Coon, Finn Wolfhard, Mckenna Grace, Annie Potts, Paul Rudd, 
Bill Murray, Dan Aykroyd, Ernie Hudson, Sigourney Weaver & Etc.

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan:
2 Disember 2021

Sinopsis:
Filem ini merupakan kesinambungan daripada dua filem awal "Ghostbusters" yang ditayangkan sekitar tahun 1980-an dan mengisahkan dua orang remaja iaitu Wolfhard dan Grace serta ibu mereka yang berpindah ke sebuah kawasan bernama Summerville, Oklahoma yang mereka warisi daripada mendiang datuk mereka.  Satu fenomena gempa bumi yang tidak dapat dijelaskan puncanya melanda kawasan tersebut yang membuatkan kedua remaja ini mulai mengetahui  tentang sejarah dan rahsia keluarga mereka yang mempunyai kaitan dengan Ghostbusters. Jadi, kedua-dua remaja ini bersama guru sains mereka iaitu Grooberson perlu belajar menggunakan peralatan menangkap hantu kepunyaan datuk mereka untuk kembali menyelamatkan bandar tersebut daripada serangan hantu-hantu ini. Apakah yang bakal terjadi seterusnya? Saksikan filem Ghostbusters: Afterlife di pawagam berhampiran rumah anda bermula pada 2 Disember 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Sony Pictures Entertainment untuk menonton sebuah filem yang dinanti ramai iaitu Ghostbusters: Afterlife bersempena tayangan media yang berlangsung dengan jayanya di GSC Starling Mall pada 24 November 2021 yang lepas. Filem ini merupakan kesinambungan daripada dua filem awal "Ghostbusters" yang ditayangkan sekitar tahun 1980-an dan kami merasakan adalah lebih baik jika anda menonton dua filem ini terlebih dahulu untuk mendapat kepuasan yang lebih terutama pada babak-babak klimaks di bahagian akhir filem ini.


Filem Ghostbusters: Afterlife ini menampilkan kronologi penceritaan yang pada kami ringan tetapi penuh dengan rasa nostalgia yang cukup menghiburkan. Tidak dinafikan bahagian permulaannya sedikit meleret kerana filem ini dilihat cuba memperkenalkan watak-watak baru dan perkembangan perwatakan masing-masing melalui penceritaan yang agak panjang. Namun momentum penceritaan di bahagian pertengahan mulai menaik dan impaknya di bahagian akhir filem sama ada bahagian klimaks mahu pun di penghujung kredit filem sangat memuncak. 


Kekuatan filem Ghostbusters: Afterlife ini sebenarnya dapat dilihat kepada kehebatan lakonan dua pelakon cilik yang sangat meyakinkan. Tidak wujud sebarang aspek kejanggalan seperti mana yang sering kita lihat kepada kebanyakan pelakon kanak-kanak di Malaysia yang begitu terserlah lontaran dialog mereka adalah hafalan semata-mata. Sangat berbeza di dalam filem ini dimana dua pelakon cilik ini menampilkan lakonan yang matang tetapi masih mengekalkan tubuh dan jiwa kanak-kanak mereka. Belum lagi ditambah dengan emosi yang mantap sehingga membuatkan kami sendiri terbuai-buai dengan rasa kesedihan semulajadi pada babak-babak yang menyedihkan mahu pun ketawa geli hati melihat adegan lucu yang tampak cukup spontan.


Filem Ghostbusters: Afterlife ini juga boleh diberi pujian dari sudut imej janaan komputer atau CGI mereka yang cantik dan menyerlah. Kesan bunyi yang sedap didengar. Props yang digunakan juga sangat gah dan langsung tidak nampak murah. Latar-latar tempat yang dipilih atau dicipta juga menarik dan kelihatan gah. Secara jujurnya kami sangat terhibur dan menikmati segala aspek yang kami nyatakan ini sepanjang filem ini berlangsung.


Kemunculan watak-watak utama di dalam filem terdahulu sebagai cameo di dalam filem Ghostbusters: Afterlife ini juga dapat dikatakan sebagai bonus tambahan buat peminat karya ini yang datang menonton di pawagam. Memang kemunculan watak-watak cameo ini memberikan satu kegembiraan yang jelas terpancar pada wajah kami ditambah lagi mereka muncul dengan membawa sisi-sisi komedi yang sama seperti mana di dalam lakonan mereka terdahulu. Paling penting walaupun kita semua tahu filem-filem sebegini pastinya akan berakhir dengan kejayaan mahu pun kegembiraan di penghujung, namun babak akhir bahagian klimaks yang melibatkan watak-watak antagonis berjaya dibikin dengan cemerlang pada pandangan peribadi kami. Ianya tidak terlalu klise dan penuh dengan kejutan yang cemerlang. Secara keseluruhan, filem ini berjaya membuatkan kami tersenyum usai tamat menonton di pawagam sebentar tadi.


Jadi, selamat menonton filem Ghostbusters: Afterlife bermula pada 2 Disember 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tamil Yang Menarik Berjudul Maanaadu! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan