Review Filem Maanaadu

 

Filem:
Maanaadu 

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Venkat Prabhu

Genre:
Thriller & Aksi

Pelakon:
Silambarasan, Kalyani Priyadarshan, S.J. Suryah, Bharathiraja & Etc.

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
25 November 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Abdul Khaaliq yang terperangkap dalam satu lingkaran masa dimana dirinya menyaksikan seorang Ketua Menteri dan orang-orang rapatnya mati dibunuh di dalam satu persidangan awam. Khaaliq akan kembali kepada waktu dirinya berada di dalam pesawat seandainya dia gagal menyelesaikan misi dan dibunuh oleh mereka yang merancang membunuh ketua menteri tersebut. Pelbagai cara dilakukan Khaaliq namun semuanya menemui kegagalan. Khaaliq kini buntu kerana segala tindak-tanduknya seperti diketahui oleh pihak lain. Bagaimanakah caranya untuk Khaaliq keluar daripada lingkaran masa tersebut? Saksikan filem Maanaadu yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 November 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil yang cukup menarik berjudul Maanaadu di GSC IOI Puchong pada 28 November 2021 yang lepas. Kami sebenarnya tertarik untuk menonton filem ini disebabkan ianya bergenrekan thriller dan aksi. Selalunya filem Tamil memang tidak mengecewakan apabila ianya berada di dalam kategori sebuah filem thriller. Terbukti pemilihan kami untuk menonton filem ini adalah satu keputusan yang tepat kerana ianya bukan sekadar sebuah filem yang menghiburkan tetapi juga bijak serta menampilkan plot penceritaan yang kreatif.


Filem Maanaadu ini sebenarnya merupakan sebuah filem yang cuba menggunakan semula kisah-kisah dimana watak utamanya terperangkap di dalam sebuah lingkaran masa dan perlu menyelesaikan misteri atau teka-teki yang dihadapi untuk terus maju menempuh kehidupan pada hari esoknya. Sebagai contoh filem Hollywood berjudul Happy Death Day dimana walaupun watak utamanya mati di dalam beberapa adegan mimpi namun watak tersebut kembali kepada hari permulaan yang sama dan perlu menjalani hari yang sama berulang kali sehingga misi yang perlu diselesaikan tercapai. Begini jugalah kronologi penceritaan yang ditawarkan oleh filem Maanaadu ini kepada pada penonton.


Namun, apa yang unik dan boleh kami katakan penulis skrip filem Maanaadu ini cukup kreatif ialah mereka bijak mengubah plot penceritaan kepada sesuatu yang tidak dijangka. Bayangkan apabila bukan watak utama si Khaaliq sahaja yang terperangkap di dalam garis masa tersebut tetapi ada lagi orang lain yang turut terperangkap di dalam situasi yang sama. Ini yang menjadikan keseluruhan jalan cerita filem ini cukup menarik dimana segala elemen sama ada aksi, komedi, emosi serta kejutan yang sentiasa tidak dapat dijangka itu berjaya digabungkan sekali di dalam satu acuan untuk memberikan satu pengalaman tontonan yang cukup luar biasa.


Lebih mengagumkan apabila filem Maanaadu ini sangat menitik beratkan tentang persamaan setiap babak yang berulang-ulang di dalam filem ini terutama dari sudut hubungan setiap adegan yang langsung tidak lari kontinya. Lebih menggembirakan apabila setiap watak utama serta watak pembantu yang melatari kisah ini mempunyai fungsi masing-masing dan langsung tidak dimatikan dengan sia-sia. Sebaliknya setiap watak yang dihasilkan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan memberi warna kepada filem ini untuk menjadi sebuah filem yang luar biasa.


Bagi kami filem Maanaadu merupakan salah sebuah filem Tamil bergenre thriller dan aksi paling baik yang pernah kami tonton setakat ini di pawagam pada tahun 2021 ini. Jalan ceritanya ringkas dan mudah difahami tetapi bagaimana filem ini bermain dengan kronologi penceritaan yang sememangnya penuh dengan kejutan dan plot twist yang tidak dijangka sememangnya wajar diberi pujian. Kami yakin anda pasti akan berpuas setelah menonton filem ini nanti kerana kejutan yang disajikan sememangnya di luar jangkaan.


Jadi, selamat menonton filem aksi Maanaadu bermula pada 25 November 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Daripada Thailand Berjudul The Medium! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!


Catat Ulasan

0 Ulasan