Review Filem The Medium

 

Filem:
The Medium 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Banjong Pisanthanakun

Genre:
Seram

Pelakon:
Narilya Gulmongkolpech, Sawanee Utoomma, Sirani Yankittikan, Yasaka Chaisorn & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
2 Disember 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah cerita ngeri berkaitan dengan warisan bomoh di wilayah Isan yang terletak di Thailand. Dikatakan keupayaan dan keistimewaan bomoh ini yang diperoleh daripada dewa dan dewi telah diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi. Tetapi, hanya kaum wanita di dalam keluarga tersebut sahaja yang dipilih. Satu kumpulan produksi telah memilih kisah bomoh Nim untuk dijadikan sebagai subjek utama dokumentari mereka berkaitan kisah bomoh ini. Namun, segalanya menjadi kacau bilau apabila Mink yang merupakan anak saudara kepada Nim berubah sikap. Petanda awal menunjukkan Mink bakal mewarisi gelaran bomoh di dalam keluarga tetapi Nim mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan perubahan yang sedang dialami Mink. Apa sebenarnya yang berlaku? Saksikan filem seram The Medium yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Disember 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada GSC Movies untuk menonton sebuah filem seram daripada negara Thailand berjudul The Medium bersempena dengan acara The Lights-On Screening Of The Medium yang berlangsung di GSC Tropicana Gardens Mall pada 27 November 2021 yang lepas. Tahap keseraman filem-filem dari negara Thailand sememangnya tidak wajar dipertikaikan lagi. Tambahan pula disebabkan budaya dan kisah seram negara mereka yang tidak jauh bezanya dengan Malaysia secara tidak langsung membuatkan rasa ketakutan itu mudah ditimbulkan. Namun, filem ini menampilkan satu gaya penyampaian elemen seram yang kami cukup gemar iaitu naskah ini sangat jarang menggunakan teknik murahan jump scare untuk menakutkan penonton.



Filem The Medium ini dimulakan dengan penceritaan seakan-akan berkonsepkan dokumentari sama seperti beberapa filem seram lain yang menggunakan teknik yang sama. Sebagai contoh ialah filem Paranormal Activity dan yang seangkatan dengannya. Namun di pertengahan kisah filem ini kelihatannya seperti ia mulai hilang arah jika dilihat daripada sudut tersebut. Ini kerana visual filem mulai bercampur dengan rakaman-rakaman daripada kamera berkonsepkan Multiple Camera Production (MCP) yang memaparkan visual yang stabil dan cantik. Kami tiada masalah dari sudut tersebut kerana setiap visual ini memaparkan sinematografi yang cukup cantik serta membawa penonton lebih dekat dengan adat dan budaya masyakarat di Thailand yang unik dan berwarna-warni. Cuma kesukaran filem ini untuk mengekalkan elemen penyampaian visual dan penceritaan seakan-akan dokumentari sedikit sebanyak membantutkan rasa teruja yang dirasai seperti mana bahagian awal filem ini.


Menyentuh berkenaan jalan cerita filem The Medium ini pula, kami boleh katakan kisahnya menarik dimana-mana ketiga-tiga bahagian filem menampilkan perubahan plot yang ketara tetapi menjadi dan ianya bersatu dengan baik di penghujung filem. Misalnya bahagian pertama filem ini membawa penonton menelusuri kisah warisan keluarga yang menyambung kerjaya bomoh ini dan bagaimana persoalan-persoalan menarik tercetus dan menjadi pertikaian antara sesama watak. Bahagian kedua filem ini pula membawa penonton untuk melihat tentang perubahan-perubahan mendadak yang berlaku kepada watak Mink dan bagaimana ianya memberi kesan yang cukup besar kepada semua watak yang ada di dalam filem ini. Bahagian pertengahan boleh kami katakan cukup menarik kerana pelbagai plot twist berjaya mengelirukan penonton dan ini sememangnya menggembirakan buat mereka yang menantikan filem-filem yang cuba bermain dengan permainan plot yang kreatif seperti filem ini. Bahagian ketiga iaitu bahagian akhir filem ini pula menampilkan satu lagi kejutan terbesar tentang pembongkaran rahsia sebenar watak-watak yang wujud di dalam filem ini. Kami rasa ianya memberi kesan yang bercampur baur dimana kemungkinan besar ramai yang menonton akan terpaku dan kagum dengan pengakhirannya yang luar biasa dan ada juga yang mungkin sedikit kecewa. Bergantung kepada penerimaan masing-masing nanti.


Seperti yang kami nyatakan pada perenggan awal tadi, filem The Medium ini memang mempunyai aura seram yang luar biasa. Walaupun menonton di dalam pawagam yang bercahaya tetapi ketakutan yang dicetuskan tetap mampu menyerap di dalam perasaan dan membuatkan penonton dibuat rasa kegelapan dan kengerian yang wujud di dalam keseluruhan filem ini. Sinematografi, permainan kamera dan manipulasi reaksi wajah pelakonnya yang meyakinkan sudah cukup untuk membuatkan anda mengakui bahawa filem ini merupakan antara filem seram terbaik untuk tahun 2021 ini. Filem ini juga berani memaparkan beberapa adegan ngeri yang sensitif dimana ianya jarang dilihat di dalam filem seram sebelum ini seperti yang berkaitan dengan pembunuhan haiwan mahu pun bayi. Memang rare bak kata sesetengah penonton yang memuji tahap seram filem ini.


Filem The Medium ini juga memberi peluang kepada penonton untuk membuat andaian mahupun kesimpulan sendiri tentang apa yang anda mahu fikirkan atau percaya. Terdapat beberapa persoalan yang ditinggalkan tergantung untuk anda cari sendiri jawapannya. Apa-apapun, kami melihat filem ini sebenarnya masih dekat dengan elemen-elemen agama yang secara sinis menyatakan bahawa jika si penganutnya berasa was-was atau tidak beriman dengan kepercayaan yang dipercayai selama ini maka segala-gala yang dilakukan adalah sia-sia. Apa-apapun, filem ini sememangnya mempunyai aura seram yang berbeza tetapi mencengkam rasa ketakutan yang ada di dalam diri kita. 


Jadi, selamat menonton filem seram The Medium bermula pada 2 Disember 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Menarik Berjudul Jai Bhim! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan