Ejen Ali The Movie Sasar Kutipan RM20 Juta

Kami di portal filem Rollo De Pelicula berkesempatan menemuramah Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios dan Usamah Zaid, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation berkenaan filem animasi Ejen Ali The Movie yang dijangka bakal ditayangkan sekitar bulan Disember 2019 ini.


Melihatkan kepada perkembangan semasa filem animasi tempatan terutamanya filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal yang mencatatkan kutipan yang cukup hebat pada minggu pertama tayangan membuatkan pihak WAU Animation serta Primeworks Studios meletakkan sasaran awal kutipan sebanyak RM20 juta untuk tayangan tempatan bagi filem animasi terbaru terbitan mereka kali ini iaitu Ejen Ali The Movie. 


Kami turut menerima maklumat bahawa filem Ejen Ali The Movie yang menelan kos pembikinan sebanyak RM5.5 juta ini bakal ditayangkan di 120 pawagam seluruh Malaysia. Kami juga turut dikhabarkan bahawa filem Ejen Ali The Movie ini turut mengintai pasaran luar memandang siri animasi Ejen Ali telah pun dipasarkan lebih dari 50 buah negara setakat ini. Apa yang mengagumkan terdapat beberapa negara luar yang mula meminta kebenaran untuk membuat maskot Ejen Ali sendiri demi mempromosi filem animasi ini di negara masing-masing. Selain itu, kami dimaklumkan terdapat beberapa artis tempatan yang turut terlibat di dalam filem Ejen Ali The Movie ini. Antara yang terlibat dan telah disahkan oleh Usamah ialah Altimet yang bakal membuat kemunculan istimewa melalui penghasilan lagu tema filem animasi ini.


Kami juga turut mendapat info hasil temuramah ini bahawa filem Ejen Ali The Movie ini bakal membawakan kisah penceritaan yang berlainan daripada filem Upin & Ipin mahupun Boboiboy. Filem animasi Ejen Ali The Movie kali ini mengisahkan tentang Ejen Ali yang bangkit untuk menentang satu ancaman baru yang ingin memusnahkan Cyberaya untuk mencetuskan pemerintahan baharu. Sedikit sinopsis ringkas yang dapat kami kongsikan untuk filem Ejen Ali The Movie  kali ini ialah filem animasi ini meneroka dunia pasca kekalahan penjahat, Uno dalam musim kedua siri animasi tersebut. Ketika Ejen Ali mengukuhkan peranannya selaku barisan pertahanan baharu Cyberaya, MATA telah membaikpulih Atlas, alat ciptaan Ali, menjadi IRIS Neo, yang membolehkan peranti baharu itu diguna pakai oleh ejen MATA yang lain. Ciptaan baharu itu menimbulkan perasaan ragu-ragu di jiwa Ali tentang kedudukannya di MATA, dan dia kemudiannya didatangi oleh orang misteri yang mendakwa mengetahui sesuatu tentang masa silam Ali. Ejen Ali kini terjebak dalam misi berisiko tinggi untuk merungkai misteri kisah hidupnya, yang berpotensi untuk mengkhianati kesetiaannya kepada MATA.


Teaser rasmi Ejen Ali The Movie bakal dimuat naik di laman Youtube Ejen Ali dan dapat ditonton oleh seluruh peminat siri animasi ini bermula pada 30 Mac 2019 nanti. Selamat menonton!

Catat Ulasan

0 Ulasan