Review Filem Us


Filem:
Us

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Jordan Peele

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
Lupita Nyong'o, Winston Duke, Evan Alex, Anna Diop,
Elisabeth Moss, Yahya Abdul-Mateen II, Tim Heidecker & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Mac 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Adelaide Wilson yang kembali pulang ke sebuah rumah di tepi pantai semasa zaman kecilnya bersama suami serta dua orang anaknya sewaktu cuti musim panas. Pada suatu malam, kemunculan sebuah keluarga di hadapan rumahnya telah mengubah segala-galanya pada malam tersebut. Mereka berempat memiliki wajah yang sama dengan Adelaide, suami dan kedua-dua anaknya. Lebih menakutkan apabila keluarga misteri tersebut telah memecah masuk rumah mereka dan mendera keluarga tersebut tanpa sebab yang diketahui. Selain itu, setiap daripada mereka juga mempunyai sebilah gunting yang membuatkan Adelaide dan keluarganya tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang terjadi? Adakah misteri ini dapat diselesaikan oleh Adelaide? Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda pada 21 Mac 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Us di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada 23 Mac 2019 yang lepas. Filem seram arahan pengarah Jordan Peele yang sebelum ini terkenal dengan filem Get Out telah berjaya membawakan sesuatu yang baru untuk peminat filem-filem seram dimana kegemarannya menggabungkan elemen seram, ngeri, komedi dan kritikan sosial di dalam sebuah naskhah telah berjaya menarik perhatian ramai kaki wayang untuk menanti-nantikan karya terbarunya iaitu filem Us ini. Namun, kami melihat filem Us gagal menjadi lebih baik daripada filem Get Out tetapi ia bukannya bermaksud filem ini sebagai sebuah karya yang gagal. Ia masih baik tetapi agak mengecewakan kami yang terlalu memberi harapan yang tinggi kepada filem ini.


Kami melihat filem Us ini telah mencipta sebuah kronologi kisahnya yang cuba membawa penonton untuk sama-sama menyelesaikan segala persoalan yang berlaku di dalam filem ini melalui kaedah teka-teki. Ia dapat dilihat sejak permulaan filem ini lagi dimana beberapa pembayang telah diberi tanpa disedari langsung oleh penonton yang telah ditawan fikirannya melalui permainan emosi menarik yang diberikan oleh watak utamanya iaitu Adelaide Wilson. Salah satu perkara yang menarik perhatian kami berkenaan subteks filem ini ialah ia bertemakan bayang-bayang dimana ia merupakan salah satu benda yang paling dekat dengan manusia. Filem ini memberitahu kita bahawa bayang-bayang ini sentiasa mengekori dan mengetahui segala apa yang kita lakukan di dalam seharian kehidupan kita. Ini antara yang menjadikan hubungan antara watak Adelaide dan Red yang dilakonkan oleh pelakon Lupita Nyong'o menjadi begitu kukuh dan sangat menghiburkan anda usai menonton filem Us ini nanti.


Tidak dinafikan filem Us ini turut menggunakan elemen jump scare tetapi ia sangat terhad dan kena pada waktunya. Kami melihat filem ini tidak terlalu bergantung kepada babak-babak tersebut untuk membuatkan anda berasa seram dengan filem ini tetapi kehebatan Us di dalam memanfaatkan lakonan para pelakonnya yang berjaya membawakan wajah kenakalan psikopat yang menjadikan filem ini memberikan satu skala seram yang menarik untuk diperhatikan. Anda pasti tidak senang duduk menyaksikan babak-babak seram serta ngeri yang pasti menguji keberanian anda sepanjang menonton filem ini. Permainan tona suara, reaksi wajah serta pergerakan karakter-karakter ini yang membuatkan filem Us kelihatan hebat sebagai sebuah filem bergenre seram misteri.


Walaupun tempo penceritaan filem Us ini bagi 20 minit pertama filem ini agak perlahan tetapi kami menyukai bagaimana filem ini berjaya menimbulkan rasa ketegangan secara perlahan-lahan sebelum ini mula mencapai klimaks melalui babak kemunculan keluarga misteri yang menyerupai wajah keseluruhan keluarga Adelaide Wilson. Kesinambungan tersebut turut berjaya diteruskan lagi pada babak-babak seterusnya bermula dengan mencuri perhatian para penonton melalui babak pencerobohan rumah yang berjaya dibantu dengan teknik sinematografi filem ini yang sangat hebat di dalam menimbulkan rasa seram penonton sepanjang waktu. Hal ini wajar dipuji dan kami turut melihat bantuan daripada skor muzik filem Us ini juga memainkan peranan yang besar di dalam menakutkan penonton melalui irama melodinya yang mudah diingati serta memberi daya penarik kepada filem Us ini.  


Kami tidak nafikan filem Us ini mempunyai idea serta konsep jalan cerita yang sangat menarik tetapi kelemahan skrip penceritaannya kelihatan begitu terserlah apabila kelompongan jalan ceritanya dapat dilihat dan disedari dengan begitu mudah. Tidak salah untuk meninggalkan penonton dengan pelbagai teori yang bakal dicetuskan tetapi kegagalan untuk mengukuhkan penceritaan tentang dunia pencipta golongan Us yang wujud di ruangan bawah tanah melalui visual adalah satu kegagalan yang agak mengecewakan kami. Kekecewaan kami lebih terarah kepada kisah penceritaan berkaitan dunia Us yang agak gagal disampaikan dengan baik dan berkesan.


Kekuatan filem Us ini dapat dilihat daripada persembahan lakonan para pelakonnya yang sangat mantap. Pelakon utamanya iaitu Lupita Nyong'o kelihatan sangat menakjubkan apabila melihat dia hebat bermain dengan interpretasi sesuatu babak yang menuntut kualiti emosi yang cukup tinggi untuk diterjemahkan di dalam lakonannya kali ini. Kedua-dua karakter yang dimainkan Lupita mempunyai kekuatan serta keistimewaan yang tersendiri yang membuatkan persembahan kedua-dua watak ini pasti akan diingati sebagai antara yang terbaik di tahun 2019. Tidak dilupakan juga peranan Winston Duke sebagai Gabe Wilson yang cukup menghiburkan serta peranannya sebagai Abraham yang penuh misteri. Lebih menarik perhatian ialah permainan emosi yang diterjemahkan dengan baik oleh pelakon Shahadi Wright Joseph yang memainkan watak sebagai Zora Wilson yang berani dan watak Umbrae yang mempunyai senyuman menakutkan yang menawan. Selain itu, satu perkara yang mengagumkan juga untuk melihat bagaimana pelakon Evan Alex turut dapat bersinar dengan watak kecilnya sebagai Jason Wilson dan Pluto.


Filem Us merupakan sebuah filem yang sebenarnya menarik ditonton bagi sesiapa yang sukakan sebuah penceritaan yang membuatkan anda memikirkan beberapa teori untuk menjawab persoalan-persoalan yang ditinggalkan pada akhir filem. Walaupun sebilangan penonton berasa tidak puas hati dengan penamat cerita filem Us yang berkonsepkan 'Disturbing' tetapi secara jujurnya kami sangat meminati penamat filem sebegini yang membuatkan anda terasa gembira apabila tertipu dengan pengolahan cerita serta susunan struktur plotnya yang bijak. 


Kesimpulannya, filem Us merupakan sebuah filem yang sangat menarik dan pasti membuatkan sesiapa sahaja yang menonton berasa ngeri dan teruja pada masa yang sama. Jadi, selamat menonton filem Us di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 21 Mac 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Komedi Berjudul Extreme Job Yang Telah Mencetuskan Fenomena Di Negara Korea Selatan. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Lebih enjoy tengok babak seram dan ngeri daripada jalan ceritanye.. Plot twist senang nak dijangka.. Plot hole merata-rata.. Eksperimen tu tak berapa nak diceritakan dengan jelas.. Memang nak kene fikir sendiri ni, tapi macam takde arah yang jelas.. Huhu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha sama lah kita
      babak seram dan ngeri memang buat Hans enjoy betul
      tetapi yang plot hole tu memang betul banyak dekat bab eksperimen tu..hahaha

      Padam