Review Filem Extreme Job


Filem:
Extreme Job

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Lee Byeong-Heon

Genre:
Aksi & Komedi

Pelakon:
Ryu Seung-Ryong, Lee Hanee, Jin Seon-Kyu, Lee Dong-Hwi, Gong Myung & Etc.

Tarikh Tayangan:
28 Mac 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan sebuah pasukan narkotik yang sering dipandang rendah di balai polis mereka kerana kegagalan mereka di dalam menyelesaikan beberapa misi yang diberi. Kini mereka perlu menyelesaikan satu misi berisiko yang membabitkan satu perjanjian dadah antarabangsa dimana jika mereka gagal lagi bermakna mereka akan dipecat daripada pasukan polis. Mereka mengambil alih sebuah restoran ayam berhadapan rumah dimana penjenayah beroperasi disitu untuk memantau pergerakan kumpulan penjenayah tersebut. Bagaimanapun perkara menjadi sebaliknya apabila salah seorang detektif telah memperlihatkan bakat memasak ayam gorengnya dan menyebabkan restoran mereka menjadi terkenal dalam tempoh yang sangat singkat. Disebabkan pelanggan semakin ramai menyebabkan mereka menghabiskan banyak masa menggoreng ayam dan melayani pelanggan sehingga menyebabkan masa mereka yang sepatutnya digunakan untuk merancang operasi dan menangkap penjenayah terganggu. Namun sesuatu perkara telah terjadi yang menyebabkan pasukan ini kembali bersatu untuk menangkap semula kumpulan dadah antarabangsa tersebut. Nak tahu apa yang terjadi apabila sepasukan pihak polis menyamar menjadi penjual ayam goreng yang viral tanpa sengaja untuk menangkap penjenayah dadah antarabangsa? Saksikan filem yang sangat menarik dan penuh dengan elemen komedi ini di pawagam berhampiran anda pada 28 Mac 2019 untuk mengetahui jawapannya.


Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula mengucapkan ribuan terima kasih buat pihak TGV Pictures kerana menjemput kami untuk menghadiri Tayangan Media Filem Extreme Job bertempat di TGV Cinemas 1 Utama pada pagi Jumaat, 22 Mac 2019 yang lepas. Sebenarnya kami hampir menonton filem ini sewaktu berada di bandaraya Jakarta tempoh hari kerana menyangkakan filem terlaris sepanjang masa di Korea Selatan buat masa ini tidak akan ditayangkan di Malaysia. Namun, alhamdulillah kami rasa bersyukur kerana pihak TGV Pictures telah membawakan filem ini untuk ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia akhirnya.


Filem Extreme Job atau judul asalnya Geukhanjikeob ini menceritakan sebuah pasukan polis yang ingin membongkar dan menangkap kumpulan pengedar dadah antarabangsa yang sungguh licik. Pasukan ini terdiri daripada lima orang anggota yang diketuai oleh ketua kumpulan iaitu Kapten Go (Ryoo Seung-Ryong), Detektif Jang (Lee Ha Nee), Detektif Ma (Jin Seon Kyu), Detektif Young Ho (Lee Dong Hwi) dan Detektif Jae Hoon (Gong Myung). Walaupun jalan ceritanya mudah tetapi cara penyampaiannya yang sukar dijangka oleh kami membuatkan filem ini berjaya menarik perhatian dan menjadikan kami sentiasa terhibur sepanjang filem ini berlangsung.


Filem Extreme Job ini menampilkan sebuah penceritaan yang berjaya menggabungkan dua genre popular yang diminati ramai kaki wayang iaitu aksi dan komedi. Ternyata karya dari negara Korea Selatan ini berjaya hadir dengan gahnya melalui dua elemen tersebut untuk menjadikan penceritaan filem ini bukan sahaja menyenangkan melalui babak-babak aksinya yang menarik tetapi babak-babak komedinya juga sangat menggembirakan untuk ditonton.


Kami melihat filem Extreme Job ini hadir dengan penceritaan yang sangat sukar untuk diteka oleh para penonton kerana segala yang dipaparkan itu adakalanya tidak terfikir oleh sesiapa saat menonton. Ini yang menyebabkan filem ini berjaya menggeletek hati dan jiwa penonton pada tahap yang sangat maksima. Walaupun ia merupakan sebuah filem komedi namun elemen humor yang ditawarkannya di dalam pelbagai bentuk dan cara sehinggakan pada permulaan filem sahaja sudah cukup untuk filem ini menangkap perhatian setiap penonton untuk bersama-sama ketawa melihat aksi serta kelibat kelima-lima pelakon utamanya yang bertindak sebagai sebuah pasukan narkotik yang gagal di dalam misi awal mereka menangkap penjenayah yang diburu.


Lelucon atau jenaka yang terhasil adalah sangat baik dan berterusan di dalam filem Extreme Job ini. Namun, apa yang menjadikan elemen komedi di dalam filem arahan Lee Byeong-Heon ini tidak memenatkan atau membosankan anda ialah disebabkan penceritaannya yang sering tampil dengan pelbagai jenis kejutan serta tahap komedi yang pelbagai. Ia boleh dilihat melalui gabungan sempurna dialog, karakter, emosi pelakon dan skrip penceritaannya yang sangat menarik untuk membentuk sebuah penceritaan yang cukup sifatnya sebagai sebuah filem aksi komedi.


Salah satu perkara di dalam filem Extreme Job yang turut mencuri perhatian kami ialah apabila filem ini berjaya mengangkat salah satu bahan utama penceritaannya iaitu ayam ke dalam penceritaan berkonsepkan makanan yang sangat menyelerakan. Kami melihat babak-babak penggorengan ayam serta visual ayam yang selesai dimasak berjaya dipaparkan dengan cukup hebat hasil sinematografi filem ini yang berjaya memastikan wajah ayam goreng yang ditampilkan kelihatan begitu menarik dan mengiurkan. Kami pasti anda yang menonton pasti terliur melihat visual keemasan ayam goreng yang dilimpahi dengan sos istimewa yang betul-betul meningkatkan nafsu lapar anda serta merta sewaktu menonton filem ini nanti.


Selain itu, filem Extreme Job ini juga tidak terkecuali di dalam menyelitkan beberapa kritikan sosial yang berlaku di dalam masyarakat Korea Selatan dan juga dunia secara amnya iaitu masalah berkaitan kekeluargaan. Kami dipertontonkan dengan kisah serta dugaan yang dihadapi oleh seorang ayah melalui watak Kapten Go yang sentiasa berfikir bagaimana cara untuk menggembirakan isteri dan anaknya dengan tugasnya sebagai anggota polis yang sentiasa sibuk, bekerja tidak tentu masa dan mempunyai pendapatan bulanan yang rendah. Disini juga dipaparkan bagaimana isteri Kapten Go memprotes perkara ini untuk memaksa Kapten Go memikirkan cara bagaimana untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi lagi bagi membuatkan si isteri berasa lebih bangga. Lebih menarik apabila melihat anak perempuan Kapten Go sendiri bercerita tentang kepentingan wang untuk mendapat ramai rakan dan bagaimana si ayah menerangkan tentang rasuah dan wang RM30 sahaja yang perlu ada di dalam dompetnya demi mengelakkan risiko rasuah berlaku. Kami melihat kebijaksanaan penulis skrip di dalam memasukkan elemen nasihat dan nilai murni di dalam sebuah filem aksi komedi seperti ini wajar dipuji dan diteruskan dengan gaya elegan seperti ini.


Selain itu, Extreme Job juga tidak terlepas di dalam memberikan kritikan sosial terhadap budaya masyarakat kini yang begitu gemarkan isu-isu tular atau menularkan sesuatu berita untuk dijadikan sebagai buah mulut untuk masyarakat bercerita. Ia dapat dilihat di dalam filem ini yang berjaya memaparkan beberapa isu berkaitan makanan seperti rasa ayam yang sedap, harga ayam goreng yang terlalu mahal serta isu penipuan atau pengkhianatan yang dimainkan oleh sesetengah golongan wartawan yang mahu menjadikan bahan berita mereka sensasi di mata masyarakat tanpa memikirkan penat lelah pihak yang membangunkan sesebuah perusahaan. Kami melihat kritikan terhadap golongan wartawan ini sangat menarik untuk dilihat melalui sisi pandangan lima orang anggota polis ini. 


Satu perkara menarik yang turut disedari oleh kami saat menonton filem Extreme Job ini  ialah kritikan mereka terhadap mana-mana pengusaha restoran atau makanan segera yang mudah gelap mata apabila mendapat tawaran daripada pelabur untuk mengembangkan operasi mereka secara francais. Disini dapat dilihat usaha yang dilakukan bertahun-tahun untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan boleh musnah di dalam sekelip mata jika tidak ada pemantauan dilakukan kepada cawangan-cawangan francais mereka yang tidak mementingkan kualiti makanan yang disediakan sehingga menyebabkan rasa, rupa serta kesegaran menu yang dijual berada di dalam kualiti yang sangat teruk. Ini yang membuatkan kami cukup suka dengan filem Extreme Job ini kerana ia bukan sekadar sebuah filem aksi komedi murahan tetapi pada masa yang sama berjaya mendidik penonton secara bijak.


Selain itu, kami melihat filem Extreme Job ini sebenarnya berjaya memaparkan nilai-nilai patriotik dengan cara yang unik dan tersendiri. Ia berjaya dipaparkan dengan begitu cantik melalui kisah lima orang polis ini dimana walaupun perusahaan ayam goreng yang diusahakan mereka telah memperoleh kejayaan yang sangat sangat luar biasa dan menghasilkan keuntungan yang sangat lumayan melebihi gaji tahunan mereka sebagai anggota polis namun niat, tanggungjawab serta minat mereka untuk meneruskan kerjaya anggota polis secara tidak langsung berjaya mengangkat martabat serta tahap profesional anggota polis Korea Selatan itu sendiri ke tahap yang lebih tinggi.


Selain itu, filem Extreme Job turut tidak ketinggalan untuk mengkritik pihak atasan di dalam mana-mana organisasi atau syarikat yang gemar mengambil kredit di atas kejayaan anak-anak buah bawahan mereka walaupun hakikatnya sebenarnya mereka tidak memberi bantuan atau kerjasama yang sewajarnya kepada pekerja mereka. Apa yang membuatkan kami cukup teruja dengan filem ini ialah ia berjaya membuatkan kami pada awalnya percaya bahawa pasukan polis berlima ini merupakan sebuah kumpulan yang gagal dan tidak berguna. Namun permainan plot yang kemas dan bijak pada akhirnya membuatkan tanggapan kami meleset kerana kelemahan kumpulan ini bukannya disebabkan ahli kumpulan tetapi disebabkan sabotaj daripada pihak-pihak berdekatan yang mempunyai kepentingan tertentu. Nak tahu lebih lanjut kena tonton filem yang cukup menghiburkan ini.


Pujian harus diberikan kepada barisan pelakon Extreme Job yang berjaya menyinar dengan karakter watak yang digalas dimana masing-masing berjaya menjadikan watak mereka unik serta mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Lihat sahaja watak Kapten Go yang takutkan isterinya. Detektif Ma pula yang tidak dapat lari daripada sikap berjudi tetapi sangat pantang apabila orang mempertikaikan wajahnya. Detektif Jang pula seorang yang tegas dan pemarah. Detektif Young Ho pula sangat serius dalam menjalankan misinya dan anggota terakhir yang merupakan anggota termuda iaitu Detektif Jae-Hoon yang begitu berkobar-kobar untuk menangkap penjenayah dan sanggup menunda tarikh pernikahannya demi memastikan misi kumpulan ini berjaya. Apa yang uniknya kesemua watak-watak ini walaupun sudah mempunyai karakter tersendiri tetapi berjaya memberikan humor yang sangat hebat kepada penonton.


Kesimpulannya, walaupun filem Extreme Job menampilkan sebuah jalan cerita yang ringkas namun elemen komedi serta drama yang digabungkan dan dibawakan di dalam karya ini berjaya memberikan satu pengalaman penonton yang sangat menarik. Dibantu lagi dengan visual warnanya yang terang dan sinematografi yang menawan menjadikan filem ini sangat berbaloi untuk ditonton di layar perak. Jadi, selamat menonton filem Extreme Job di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 28 Mac 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Akan Diulas Selepas Ini? Nantikan!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Setelah melihat Hans memberi review yg tinggi dan menarik, saya sekeluarga pergi menonton semalam. Yeeesss, kami amat berpuas hati. Patot la film ni menjadi Blockbuster di Korea, memang best... sepertimana Hans review. Peminat film Korea wajib tonton dan selepas tu confirm mencari Ayam Goreng Korea, heheh... TQ Hans. Jika berkesempatan menonton, review la filem Kamen Rider Generations Forever Hans...

    BalasPadam