Review Filem The Aftermath


Filem:
The Aftermath

Penilaian:
5/10

Pengarah:
James Kent

Genre:
Drama

Pelakon:
Keira Knightley, Alexander Skarsgard, Jason Clarke, Alexander Scheer & Etc.

Tarikh Tayangan:
21 Mac 2019

Pengedar:
20th Century Fox

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan selepas tamat Perang Dunia II di Jerman pada 1946, Rachael Morgan tiba di bandar Hamburg yang hancur untuk bertemu dengan suaminya Lewis, seorang pegawai tentera British yang ditugaskan untuk membina semula bandar itu. Ketegangan tercetus apabila pasangan itu perlu berkongsi rumah baru mereka dengan bekas pemilik rumah itu, iaitu seorang duda Jerman dan anak perempuannya. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda pada 21 Mac 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak 20th Century Fox untuk menghadiri tayangan media untuk filem The Aftermath bertempat di GSC One Utama pada 14 Mac 2019 yang lepas. Filem yang berlatar belakangkan perang dunia ke-2 ini menampilkan pelakon wanita yang cukup dikenali ramai iaitu Keira Knightley sebagai pemain utama filem ini. Walaupun lakonan yang diberikannya tidak perlu dipersoalkan lagi tetapi plot penceritaan yang agak lemah menjadikan filem ini tidak berjaya memberi impak yang kuat kepada kami sepanjang tontonan filem The Aftermath ini.


Filem The Aftermath yang diadaptasi daripada sebuah novel ini memaparkan kisah cinta tiga segi berlatar belakang era peperangan. Ia bukanlah sesuatu yang terlalu asing kerana ada filem-filem lain sebelum ini yang turut memainkan isu yang sama di dalam penceritaanya. Filem The Aftermath turut tidak ketinggalan mengikut acuan yang sama dengan memaparkan kisah cinta tiga segi antara Rachael Morgan, Lewis Morgan dan Stephen Lubert. Tetapi, malangnya apabila filem ini tidak memanfaatkan penceritaan latarnya yang telah dibangkitkan pada awal filem tentang penentangan golongan penyokong Nazi terhadap pihak Britain. Elemen romantis yang cuba dijual di dalam filem ini sama sekali tentang menghilangkan dan menenggelamkan secara sempurna elemen perang yang melatari filem ini.


Kisah cinta segi tiga yang penuh melodrama ini terlalu mudah diramal di dalam filem The Aftermath. Penceritaannya agak santai dan lurus. Sayang sekali kerana permulaan filem ini membawa penonton melihat sebuah kehidupan yang hancur di sebalik runtuhan bangunan di serata ceruk sudah dikira sangat menarik sebelum akhirnya ia terkandas di latar rumah agam yang mewah dan lebih menampilkan aksi-aksi ghairah dan kecurangan si isteri terhadap suaminya dengan bermain kayu tiga dengan lelaki lain.


Kami tidak menyatakan filem ini tidak menarik kerana penceritaannya tentang kisah cinta tiga segi serta bagaimana pemberontakan anak muda di Jerman pada era tersebut tidak kira lelaki mahu pun wanita berjaya dipaparkan dengan baik dan menimbulkan ketegangan yang menarik kepada momentum penceritaan filem The Aftermath ini. Walau bagaimanapun, kegagalan plot cerita untuk berkembang dengan lebih dramatik lagi adakalanya membuatkan kami sebagai penonton sedikit bosan dengan penceritaan filem ini. Nasib baik filem ini berjaya menampilkan sinematografi yang cantik dan berjaya membawa penonton merasai sendiri detik selepas perang dunia kedua tersebut.


Kesimpulannya, filem ini sesuai untuk ditonton bagi peminat filem romantis. Jika anda mengharapkan babak perang maka ini bukanlah filem yang anda inginkan. Jadi, selamat menonton filem The Aftermath di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 21 Mac 2019 nanti. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Komedi Korea Iaitu Filem The Odd Family: Zombie On Sale. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan