Review Filem Pee Nak


Filem:
Pee Nak

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Phontharis Chotkijsadarsopon

Genre:
Komedi & Seram

Pelakon:
Vachiravit Paisarnkulwong, Bhuripat Vejvongsatechavat, Witthawat Rattanaboonbaramee, Atiwat Saengtien, Jannine Parawie Weigel, Chinawut Indracusin & Etc.

Tarikh Tayangan:
14 Mac 2019

Pengedar:
MM2 ENTERTAINMENT SDN BHD

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang tiga orang lelaki yang perlu ditahbiskan menjadi sami di sebuah kuil lama di pinggir bandar. Apa yang menakutkan ialah sesiapa yang ingin ditahbiskan di kuil tersebut pasti akan menemui ajal kerana dikatakan kuil tersebut telah terkena sumpahan roh Pee Nak yang mati di kuil tersebut sebelum pentahbisan dapat diselesaikan. Bagi tiga pemuda, mereka tidak mempunyai pilihan lain dan perlu menerima pentahbisan di sana. Dua daripada mereka iaitu Balloon dan First adalah gay yang berjanji mahu menjadi sami jika mereka menang loteri. Lelaki ketiga iaitu Nong berharap mendapat karma yang baik memandangkan hidupnya sentiasa malang. Teman wanitanya telah meninggalkannya dan dia ditipu oleh rakan perniagaannya. Ketiga-tiga mereka tahu tentang sumpahan Pee Nak tetapi mereka tidak boleh tinggalkan kuil itu kerana sesiapa yang keluar dari kuil sebelum pentahbisan akan mati mengejut. Saksikan filem seram komedi yang melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 14 Mac 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Pee Nak di TGV Cinemas The MinesS pada 14 Mac 2019 yang lepas. Filem Pee Nak bukan lah kesinambungan daripada filem Pee Mak, Nang Nak atau Mae Nak sebaliknya ia merupakan sebuah filem yang memaparkan kisah tersendiri berkaitan tiga watak yang terpaksa ditahbiskan sebagai sami demi memenuhi janji atau nazar yang telah dilakukan oleh mereka.  


Tidak dinafikan filem Pee Nak ini dipenuhi dengan elemen seram serta komedi yang seimbang. Permulaan filem ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan bulu roma anda meremang menonton kelibat beberapa jasad yang sedang menari tanpa kepala yang berjaya memberi bayangan bahawa filem Pee Nak ini akan menampilkan babak-babak yang lebih menyeramkan selepas ini.


Kemudian filem Pee Nak bertukar rupa buat sementara waktu dengan menampilkan elemen komedi melalui watak tiga lelaki homeseksual seperti yang tertera pada gambar di atas. Satu perkara yang agak mengganggu kami sepanjang menonton filem ini ialah kualiti suara ketiga-tiga pelakon ini. Kami tidak pasti adakah audio suaranya sememangnya kuat atau masalah ini berpunca daripada sistem suara di panggung tetapi apa yang kami pasti ia sangat menganggu kami. Betapa bingitnya suara watak-watak lelaki lembut ini sangat memenatkan telinga kerana kebanyakkan babak yang melibatkan mereka pasti dipenuhi dengan intonasi jeritan yang kadang kala agak mengjengkelkan.


Walau bagaimanapun, tidak dinafikan elemen komedi di dalam filem ini berjaya mengundang ketawa kami sepanjang menonton filem Pee Nak ini. Walaupun kebanyakkan babak penceritaan filem ini sangat mudah dijangka namun kami harus akui persembahan lakonan yang diberikan oleh watak-watak utama seperti Baloon, First dan Nong ini yang kelihatan semula jadi dan meyakinkan berjaya membuat kami terhibur melihat keletah mereka.


Kami turut gembira untuk memuji elemen seram yang terdapat di dalam filem Pee Nak ini Selain sinematografi dan tona warna filemnya yang berjaya menimbulkan suasana seram, kami tidak nafikan solekan ngeri yang diberikan terhadap roh Pee Nak juga berjaya memberi kesan yang cukup ngeri kepada para penonton filem Pee Nak ini. Elemen persahabatan dan kekeluargaan juga berjaya disampaikan dengan baik di dalam filem Pee Nak ini. Cuma apa yang boleh kami katakan walaupun filem ini berjaya menghiburkan dan memberi rasa seram kepada kami namun tiada sebarang pembaharuan atau keunikan yang boleh didapati pada karya kali ini. Ianya hanya sekadar sebuah filem seram komedi yang mampu menghiburkan kami tetapi hanya sekadar itu. Ia tidak lebih dan tidak juga kurang.


Kesimpulannya, filem Pee Nak merupakan sebuah filem ringan yang sesuai ditonton oleh kaki wayang yang inginkan sebuah filem seram komedi yang menghiburkan. Jadi, selamat menonton filem Pee Nak di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 14 Mac 2019 nanti. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Dari India Berjudul Boomerang. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan