Filem:
Searching
Pengarah:
Aneesh Chaganty
Genre:
Drama, Misteri & Thriller
Pelakon:
John Cho, Debra Messing, Michelle La, Joseph Lee, Sara Sohn & Etc.
Penilaian:
7/10
Filem ini mengisahkan Margot, seorang remaja perempuan berumur 16 tahun yang didapati hilang oleh bapanya, David. David cuma menjejak kehilangan anaknya menggunakan laptop Margot untuk menghubungi rakan-rakan anak perempuannya sebelum mengambil keputusan melaporkan kehilangan anaknya kepada pihak polis. Dalam masa yang sama, kehilangan Margot ini menemukan David dengan pelbagai klu daripada gambar dan video yang menyebabkan David curiga dengan ramai pihak. Penemuan David agak mengejutkan apabila mendapati nasib anaknya tidak seperti yang dibayangkan. Apa sebenarnya yang terjadi kepada Margot? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran untuk mendapatkan jawapannya.
Ulasan Hans:
Alhamdulillah selesai menonton filem Searching sebentar tadi di TGV The Mines selepas solat Jumaat pada tanggal 21 September 2018. Pada permulaannya, rasa dihati ini agak berbelah bahagi kerana filem-filem sebegini dimana lokasi rakamannya hampir 95 peratus adalah lokasi yang sama selalunya kurang memberikan impak positif berdasarkan pengalaman menonton filem-filem seperti ini. Namun, pandangan positif yang sempat dibaca daripada para kaki wayang seluruh Malaysia terhadap filem ini menyebabkan diri terpanggil untuk memberanikan diri melabur wang membeli duit tiket untuk menonton filem lakonan pelakon hebat John Cho ini.
Alhamdulillah sekali lagi penulis telah membuat keputusan yang bijak kerana telah menonton filem yang cukup menarik ini. Seperti yang tertulis di atas, hampir keseluruhan babak filem ini membuatkan anda seolah-olah sedang berada di hadapan komputer kerana filem ini banyak mempertontonkan aplikasi-aplikasi laman sosial terkini seperti Facebook, Tumblr, Instagram dan banyak lagi. Tetapi, satu perkara yang boleh dipastikan ialah naratif filem ini bijak bermain dengan plot cerita yang pelbagai dan diluar jangkaan penonton. Apa yang boleh dikatakan, perubahan dan kelainan plot yang cuba disampaikan di dalam filem ini sememangnya menjadikan filem ini tidak bosan daripada permulaan cerita sehingga ke babak akhir.
Kisah yang dipaparkan juga sebenarnya sangat menarik kerana ia berkisar tentang hubungan keluarga yang pada asal dan zahirnya tampak cukup bahagia namun segala-galanya berubah apabila ibu Margot meninggal dunia kerana menghidap kanser. Tetapi, perubahan tersebut tidak nampak pada fizikal Margot yang kelihatan ceria seperti biasa dan perkara inilah yang memacu jiwa penonton untuk setia mengikuti kisah filem ini untuk mengetahui apa sebenarnya masalah yang dialami Margot. Lebih menariknya apabila pencarian bapanya David berjaya membantunya melihat apa yang dia tidak nampak selama ini terhadap anaknya dan secara tidak langsung ini juga merupakan salah satu sindiran kepada ibu bapa moden pada hari ini. Satu dialog yang cukup bermakna di dalam filem ini yang berbunyi,"Kita tidak akan pernah kenal siapa anak kita!" dan daripada dialog ini sahaja sebenarnya menjawab pelbagai persoalan yang timbul di dalam filem ini.
Dalam masa yang sama juga, filem ini sebenarnya mendidik anak-anak pada hari ini supaya taat dan menghormati ibu bapa. Jangan sesekali berbohong atau derhaka kepada ibu bapa kerana jika dilihat dari sudut agama pun ada menyatakan hidup ini tiada keberkatan jika si anak melakukan perkara-perkara seperti ini kepada ibu bapanya. Ini juga satu perkara menarik yang boleh diperhalusi dan dilihat sepanjang filem ini bergerak dengan momentum yang sederhana tetapi konsisten di dalam membuatkan penonton sentiasa tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi kepada Margot.
Satu lagi perkara menarik disini yang boleh dikupaskan ialah berkenaan kemahiran penggunaan teknologi maklumat oleh ibu bapa. Hal ini sebenarnya boleh dikaitkan dengan masyarakat kita sendiri khususnya ibu bapa yang tidak mengambil tahu tentang apa yang dilakukan oleh anak mereka apabila bermain dengan gadget. Laman web apa yang mereka layari? Siapa kawan-kawan mereka sewaktu di sekolah dan di laman sosial? Penulis sangat sukakan permasalahan yang diutarakan di dalam filem ini kerana ia bersifat universal dan terpalit kepada semua ibu bapa zaman kini yang memang ada masalah di dalam mengenali anak mereka sendiri tidak kiralah sama ada yang tinggal bersama mereka 24 jam atau pun sebaliknya. Satu perkara yang menarik yang bagus untuk direnung-renungkan oleh ibu bapa di luar sana dari segi kelebihan dan keburukan penggunaan aplikasi laman sosial ini.
Lakonan John Cho sebagai seorang bapa juga wajar dipuji. Permainan emosi, pergerakan badan dan lontaran dialog yang disampaikan menjadikan filem ini cukup kuat. Kegigihan dan betapa kasihnya seorang bapa terhadap anak perempuannya berjaya ditunjukkan dengan begitu cemerlang. Dan di dalam watak ini juga sebenarnya berjaya menembak sikap bapa-bapa diluar sana yang kebanyakkannya mempunyai sifat ego atau tidak tahu bagaimana untuk meluahkan atau menunjukkan rasa sayang kepada anak-anak mereka tidak kira anak lelaki mahu pun perempuan walaupun hakikat sebenar rasa kasih dan sayang mereka sama seperti ibu anak-anaknya. Dan disebabkan ego ini juga sebenarnya yang menimbulkan pelbagai masalah di dalam pembesaran anak-anak yang mendambakan kasih sayang kerana mereka tidak merasakan mereka disayangi atau difahami. Ini menyebabkan penulis menyukai filem Searching ini kerana berjaya menyampaikan nilai-nilai pendidikan keibubapaan yang perlu ada di dalam diri setiap ibu bapa dengan cukup baik dan santai.
Jadi, penulis senaraikan disini beberapa sebab kenapa anda semua perlu menonton filem Searching :
1) Ibu bapa disarankan untuk menonton filem ini supaya memperkasakan lagi ilmu keibubapaan didalam mendidik dan lebih memahami jiwa anak-anak di zaman yang dipenuhi dengan lambakan aplikasi sosial yang sangat sosial ini.
2) Anak-anak perlu menonton filem ini supaya anda dapat memahami jiwa dan ego seorang bapa dan bagaimana kasihnya seorang bapa kepada anaknya.
3) Plot cerita tidak bergerak perlahan dan tidak juga terlalu laju tetapi menjadi sangat menarik kerana banyak twist plot yang pasti membuatkan jiwa anda meronta-ronta tidak sabar ingin tahu apa punca sebenar kehilangan Margot.
4) In Sha Allah, filem yang membuatkan anda rasa berbaloi membeli tiket untuk menikmati durasi filem sepanjang 1 jam 43 minit ini.
Apa-apapun, kepada kaki wayang di luar sana, selamat menonton filem Searching ini dan semoga menikmati keseronokan yang terdapat di dalam kisahnya. Sekian!
P/S : In Sha Allah Jika Tidak Ada Aral Melintang Akan Menonton Filem PASKAL Pada Esok Malam!
0 Ulasan