Review Filem Stand By Me Doraemon 2

 

Filem:
Stand By Me Doraemon 2

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Ryūichi Yagi & Takashi Yamazaki

Genre:
Animasi

Pelakon (Suara):
Megumi Oohara, Satoshi Tsumabuki, Wasabi Mizuta, Yumi Kakazu & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
5 Mac 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Nobita yang telah berjaya mengubah masa depannya menjadi lebih baik dengan menjadikan Shizuka sebagai isterinya. Apabila Nobita menjumpai sebuah teddy bear yang dijahit tangan dan dibuat khas untuknya oleh nenek kesayangannya, Nobita memutuskan untuk kembali ke masa lalu untuk bertemu dengan neneknya yang telah meninggal dunia ketika Nobita masih kecil. Nenek Nobita gembira dengan kehadiran Nobita dan menyatakan keinginannya yang cukup besar untuk bertemu dengan bakal isteri cucu kesayangannya itu. Namun, masalah mula timbul apabila Nobita masa depan yang bakal berkahwin dengan Shizuka telah melarikan diri ke masa lalu. Kini Nobita dan Doraemon mula risau jika masa depannya sekali lagi berubah dan bakal mengecewakan neneknya. Adakah misi Nobita dan Doraemon untuk membantu Nobita masa hadapan berjaya atau sebaliknya? Saksikan filem animasi yang menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 5 Mac 2021 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem animasi yang cukup hebat iaitu Stand By Me Doraemon 2 di pawagam GSC IOI Mall Putrajaya pada 11 Mac 2021 yang lepas. Mendapat pujian yang cukup positif daripada peminat setia animasi kucing robot biru tanpa telinga ini sememangnya memanggil kami untuk menonton filem ini dengan kadar segera. Tidak syak lagi kami yang juga merupakan peminat setia animasi Doraemon ini turut bersetuju dan berpandangan serupa dengan sebahagian besar penonton lain bahawa filem animasi ini sememangnya menarik dan sangat berbaloi untuk ditonton.


Cukup kuat dengan elemen kekeluargaan dan persahabatan, filem terbaru Doraemon ini sekali lagi membawa peminat untuk melihat sisi lain seorang lelaki bernama Nobita di dalam dua fasa kehidupan yang berbeza iaitu sisi hidup Nobita ketika kanak-kanak serta Nobita yang sudah dewasa dan sedang menghadapi saat genting saat ingin mendirikan rumah tangga dengan gadis yang disukainya sejak kecil iaitu Shizuka. Gabungan tiga garis masa yang berjaya menemukan Nobita pada masa lampau, masa sekarang dan masa depan ini sememangnya bijak disusun untuk membuatkan kita sebagai penonton turut sama terbuai dan mengingati sendiri perbezaan pemikiran di dalam 3 fasa yang berlainan ini.


Menjadi dewasa membuatkan seseorang itu terlalu memikirkan banyak perkara yang pada asalnya tidak lah rumit. Tetapi, ianya menjadi sangat rumit apabila manusia itu terlalu takut jika ianya merupakan satu keputusan yang salah dan memberi kesan kepada diri mereka atau pada orang yang berada disekeliling dan dekat dengan kehidupan mereka. Hal ini juga lah yang terjadi kepada Nobita yang telah dewasa sehingga membuatkan dirinya tidak keruan dan perlu masa untuk mencari jawapan kepada persoalan rumit yang diciptakannya sendiri. Persoalan ini yang memberikan nyawa buat filem Stand By Me Doraemon 2 untuk bernafas di dalam acuannya tersendiri serta menjadikan filem animasi tersebut berjiwa dewasa dan begitu dekat dengan kehidupan penonton yang membesar dengan animasi Doraemon ini. Namun, ianya juga menyebabkan filem ini kelihatan menjauh daripada kanak-kanak kecil yang mungkin mengambil masa yang agak lama untuk memahami perjalanan sebenar filem ini. 



Filem yang cukup kuat dengan falsafah kehidupan yang begitu dekat dengan jiwa kebanyakan manusia. Kemunculan watak nenek Nobita walaupun tidak lah terlampau banyak namun sudah cukup untuk membuatkan ianya berdiri dengan tegap dan menyinari keseluruhan filem ini. Ia mengajar penonton untuk menghargai setiap apa yang ada di hadapan kita kerana pada suatu saat kita pasti akan kehilangan sesuatu yang berharga kerana ianya adalah lumrah kehidupan alam. Tiada yang kekal melainkan kebaikan dan kenangan manis yang masih tersimpan di dalam memori kehidupan. Filem yang tampil dengan kualiti animasi yang menarik, gred warna yang segar serta plot cerita yang mantap. Sangat berbaloi untuk anda tonton di pawagam!


Jadi, selamat menonton filem animasi Stand By Me Doraemon 2 ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 5 Mac 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Thailand Yang Membawakan Isu Yang Cukup Dekat Dengan Warga Malaysia Terutama Wanita iaitu The Con-Heartist! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan