Review Filem Minari

 

Filem:
Minari

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Lee Isaac Chung

Genre:
Drama & Keluarga

Pelakon (Suara):
Steven Yeun, Yeri Han, Alan S.Kim & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
1 April 2021

Sinopsis:
Filem yang berlatar belakang tahun 1980-an ini mengisahkan tentang sebuah keluarga Korea yang cuba memburu impian mereka di negara Amerika untuk hidup bahagia dengan memiliki sebidang tanah yang luas disana. Jacob Yi yang merupakan ketua keluarga telah membuat keputusan untuk membeli sebidang tanah yang cukup luas di Arkansas dan telah memindahkan isterinya, Monika serta dua anak mereka ke kawasan tersebut dari California. Namun, keputusan Jacob nampaknya tidak mendapat respon positif daripada Monika disebabkan kawasan tersebut yang sangat jauh daripada bandar dan hospital. Ini membuatkan Monica risau jika anak lelakinya diserang sakit. Selain itu, Monica juga risau jika keputusan Jacob untuk menghabiskan wang simpanan demi mewujudkan kebun sayur-sayuran yang diimpikannya menemui kegagalan. Kemunculan ibu Monica di rumah baru mereka juga mula mencetuskan pelbagai perkara lain. Adakah keluarga ini akan menemui kebahagiaan yang mereka impikan atau akhirnya berakhir dengan sebuah perpisahan yang menyedihkan? Saksikan filem hebat dari Korea ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 1 April 2021 untuk mengetahui kesudahan kisah keluarga hebat ini. 


Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Korea yang sememangnya telah lama kami nantikan iaitu Minari. Terima kasih kepada pihak GSC Movies kerana sudi menjemput kami menghadiri tayangan media untuk filem ini yang berlangsung dengan cukup hebat di Aurum Theatre, The Gardens Mall pada 29 Mac 2021 yang lepas. Memang seronok apabila dapat menonton sebuah filem hebat di dalam keadaan panggung wayang yang cukup selesa.


Faktor utama yang menarik tentang Minari ialah realiti kemanusiaan sebenar yang dipaparkan pada setiap watak yang ada di dalam filem ini. Dapat dilihat bagaimana watak Jacob yang merupakan seorang lelaki korea, suami dan juga bapa kepada 2 orang anak mempunyai impian dan wawasan yang cukup besar dan jelas di dalam menggapai impiannya untuk mempunyai sebidang tanah yang luas dan boleh diusahakan agar Jacob mempunyai kualiti masa yang berharga dengan isteri dan anak-anaknya. Pada masa yang sama, kualiti persekitaran yang bersih dengan kewujudan flora fauna juga mampu membantu kehidupan anak lelakinya yang kurang sihat untuk lebih aktif. Namun, kekuasaan ketua keluarga yang mempunyai ego dominan lelaki asia ini jelas kelihatan yang membuatkan patriaki wanita di dalam kisah ini kelihatan terkurung kejung di dalam ikatan kuasa sang suami. 


Namun, satu sisi menarik yang sangat mengagumkan ialah bagaimana hubungan suami isteri antara Jacob dan Monica ini dipaparkan yang sememangnya menggambarkan hubungan suami isteri masyarakat asia golongan pertengahan dan ke bawah. Apabila berlaku pergaduhan sememangnya pergaduhan yang dilihat kelihatan cukup dasyat. Apabila si isteri meminta untuk berpisah, permainan emosi galak dimainkan sehingga menimbulkan rasa simpati dan kesedihan yang menikam-nikam perasaan penonton. Tetapi, pengakhirannya memang berbeza daripada ramalan asal. Seperti biasa, kebenaran memaparkan kejayaan seorang lelaki itu pasti ada seorang wanita yang setia berdiri belakangnya dilihat bagaikan pengulangan klise namun menariknya disini apabila ada dua wanita yang sebenarnya memberi pengaruh besar kepada lelaki di dalam filem ini iaitu Jacob iaitu isteri serta ibu mentuanya. Tiga faktor utama yang menyatu dengan baik di dalam penceritaan ini ialah permainan psikologi, emosi dan keberkatan doa.


Kami juga sangat menyukai elemen pertembungan budaya Asia dan Barat yang dipaparkan di dalam penceritaan filem ini dimana ianya sangat menarik perhatian kami. Dapat dilihat disini tentang adat dan budaya masyarakat Asia cuba dikekalkan dengan cukup baik melalui kisah keluarga Korea ini. Daripada jenis tanaman, gaya hidup tradisi, jenis makanan, nilai kepercayaan serta merasakan Asia lebih baik dari Barat bijak digabungkan sejak awal penceritaan untuk membuatkan filem ini mempunyai semangat asia yang betul-betul membanggakan. 


Tetapi, satu peribahasa yang boleh membantu penonton untuk memahami kisah ini dari satu sisi lain ialah "Jauhari Juga Yang Mengenal Manikam" yang bermaksud orang yang bijaksana juga yang mengetahui keelokan ilmu. Menarik untuk melihat bagaimana kisah pada awal penceritaan ini tidak dilupakan tetapi kembali dibawakan dan ditamatkan pada penghujung bahagian akhir filem ini. Jelas disini ialah hanya orang asal yang lebih jelas dan memahami geologi mahupun persekitaran tempat tinggal mereka dengan lebih jelas berbanding orang luar. Apabila adegan awal memaparkan bagaimana Jacob tidak percaya kepada dua orang warga US yang mempunyai kemahiran luar biasa dengan menyatakan bahawa idea mereka karut dan tidak berani berubah yang pada akhirnya memakan dirinya sendiri. Tembok ego lelaki asia yang pada akhirnya hancur namun ianya hancur dengan memberikan satu keputusan positif untuk semua orang adalah pengakhiran yang cukup menggembirakan. 


Namun, satu perkara menarik yang berjaya disampaikan dengan cukup jelas dapat difahami dengan lebih mendalam jika kita melihat pada pepatah melayu yang berbunyi "Masuk Kandang Kambing Mengembek, Masuk Kandang Harimau Mengaum yang bermaksud menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya. Seronok untuk melihat dilema yang dihadapi oleh watak kanak-kanak Korea di dalam filem ini yang tersepit antara adat dan budaya dua negara berbeza iaitu Asia dan Barat. Jelas bahawa mereka bukannya seratus peratus berjiwa barat mahu pun asia dan keceleruan ini yang menjadikan kepayahan mereka untuk bergaul dan diterima rakan sebaya sebagai satu perjalanan yang betul-betul berliku dan teruja untuk ditonton. 


Walau bagaimanapun, faktor hubungan kekeluargaan asia melalui hubungan nenek atau datuk dengan cucu-cucu mereka adalah kekuatan utama kepada filem Minari ini. Ayat stereotaip warga tua yang berbunyi "Aku Makan Garam Dulu Dari Kau" itu jelas dilihat dengan gaya penyampaian yang cukup positif di dalam filem ini. Si nenek jelas berjaya memperkenalkan apakah keistimewaan Korea melalui kemunculannya di dalam beberapa babak. Makanan korea yang istimewa berjaya dipaparkan dengan baik serta beberapa elemen kekeluargaan dan budaya Korea juga berjaya dimasukkan dengan berkesan melalui watak ini. Dibantu dengan perkembangan plot cerita serta konflik-konflik menarik yang tidak putus-putus wujud di dalam filem ini menjadikan Minari sebagai sebuah lagi filem Korea yang wajib ditonton buat mereka yang gemarkan filem-filem bergenre keluarga yang berkualiti. 


Kesimpulannya, Minari berjaya memaparkan kehidupan seluruh watak yang wujud di dalam filem ini dengan cukup baik. Anda akan melihat bagaimana kegigihan seorang ayah yang cuba menjadi ketua keluarga yang paling baik buat isteri dan anak-anaknya, jiwa seorang ibu yang mementingkan anak-anak lebih dari segalanya, kesukaran anak-anak asia yang perlu cuba menyesuaikan diri dengan budaya luar dan pada masa sama perlu kekal dengan jati diri negara asal serta peranan besar seorang nenek yang cuba membentuk sebuah keluarga yang hebat dan bahagia dengan menyatukan anak, menantu dan cucu-cucunya melalui pengalaman hidup yang dimilikinya. Jadi, selamat menonton filem Minari ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 1 April 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Dari Negara Vietnam Yang Cukup Hebat Dan Mengejutkan Kami Dengan Intipati Kisahnya Yang Cukup Berani Dan Realistik Iaitu Dreamy Eyes! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!


Catat Ulasan

0 Ulasan