10/10/19

Review Filem Kolong


Filem:
Kolong

Penilaian:
?/10

Pengarah:
Zul Abu Kassim

Genre:
Seram & Misteri

Pelakon:
Luthya Suri, Wan Raja, Vanessa Angel, Joey Daud, Annie Arifin, Mamak Putih & Etc.

Tarikh Tayangan:
17 Oktober 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Seri yang terperangkap di dalam masalah hutang dan terpaksa lari dari 2 orang samseng yang memburunya. Dia pulang bersembunyi di kampung dan cuba menggadai rumah mereka untuk membayar hutang tetapi hasratnya itu dihalang oleh adiknya Rudy. Rudy menyuruh Seri bekerja dengan seorang lelaki kaya yang buta iaitu Hairi yang tinggal di sebuah rumah banglo di atas bukit seorang diri selepas kematian isterinya disebabkan tawaran gaji yang lumayan iaitu sebanyak RM5,000. Seri diterima bekerja dirumah tersebut tetapi dia diberi amaran oleh Hairi agar tidak memasuki bilik bawah rumah di banglo itu yang dipanggil kolong. Namun, Seri mungkir janji dan akhirnya memasuki kolong itu tanpa pengetahuan Hairi. Apakah sebenarnya misteri yang terdapat di dalam kolong tersebut? Adakah Seri kini di dalam bahaya? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda pada 17 Oktober 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada vlogger youtube Akmal Hamzah @ Hadam Project untuk sama-sama menonton filem Kolong bertempat di MMCineplex e-Curve sempena malam gala filem ini pada 9 Oktober 2019 yang lepas. Filem seram misteri ini dimulakan terus dengan adegan seram tanpa menunggu terlalu lama sebelum mula memperkenalkan watak utamanya Seri yang ditipu oleh sindiket penjualan tiket dan kemudian mulai diburu oleh ahlong yang menuntut hutang daripadanya. Secara perlahan-perlahan, plot penceritaan filem ini mula membawa penonton untuk mengenali watak Hairi yang buta selepas satu kejadian kemalangan dimana isterinya pula hilang daripada kejadian tersebut secara misteri. Jadi, misteri-misteri berkait ini yang mula dirungkaikan satu persatu sehingga ke akhir ceritanya.


Kami melihat filem Kolong ini cuba tampil dengan satu idea lain dimana ia cuba untuk lari daripada sebuah filem seram tipikal yang gemar menggunakan wajah makhluk halus sebagai umpan untuk menarik penonton ke pawagam. Kolong lebih suka bermain dengan elemen misteri dimana unsur tersebut boleh dikatakan agak berkesan untuk mengekalkan momentum filem ini yang bergerak secara sederhana disamping cuba membawakan mesej kasih sayang terhadap sesuatu hubungan di dalam keseluruhan kisahnya. Lakonan Wan Raja sebagai Hairi iaitu seorang lelaki kaya buta pada awalnya kelihatan tidak konsisten dan adakalanya nampak kelakar. Hal ini disebabkan riak wajah serta emosinya sebagai seorang lelaki buta kurang memberi kepercayaan kepada penonton seperti kami untuk menerimanya dengan sepenuh kepercayaan. Tetapi, permainan plot pada babak klimaks boleh dikatakan sedikit menarik dan menyokong persembahan lakonan yang diberikan oleh Wan Raja. Ini akan anda fahami saat menonton filem ini nanti.

Dari sudut lakonan, kami merasakan para pelakon filem Kolong ini tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyampaikannya walaupun tidak lah terlampau sempurna. Cuma perkara yang sedikit membantutkan filem Kolong ini ialah jalan penceritaannya yang kelihatan agak terlompat dan ada beberapa perkara yang mewujudkan kelompongan pada kisahnya yang membuatkan kami agak tertanya-tanya tentang perihal sebenar kisah  serta hubungan beberapa watak utama di dalam filem ini. Selain itu, transisi gambar sewaktu kemunculan entiti seram juga pada kami agak berlebihan dan seakan-akan seperti menonton filem Tamil yang menggunakan teknik sedemikian. 

Secara keseluruhannya, walaupun filem ini dikategorikan sebagai seram misteri namun kami agak terhibur dengan unsur 'humor' yang wujud tanpa sengaja di dalam filem ini melalui beberapa aspek yang kami sebutkan tadi. Pada kami, filem Kolong mempunyai intipati kisahnya yang tersendiri dan sedikit menarik namun olahan cerita serta susunan kronologi kisahnya dilihat sedikit lemah dan agak tergesa-gesa. Apa-apapun, anda perlu menonton sendiri filem ini untuk merasai dan menilai sendiri adakah pandangan anda sama seperti kami atau sebaliknya.


Jadi, selamat menonton filem Kolong di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Lagi Filem Tempatan Berjudul Geran. Nantikan Ulasannya!

2 ulasan:

  1. simple pula review kali ni, selalu hans kan akan olah banyak pasal setiap watak ... suka cara hans buat tu... sbb nya akak cerita seram ni mmg idok la nk nengok... penakut

    BalasPadam
    Balasan
    1. kali nih ringkas
      karang tercerita spoiler susah pula
      hahahaha

      Padam