Review Filem Qodrat

 

Filem:
Qodrat

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Charles Gozali

Genre:
Seram

Pelakon:
Vino G. Bastian, Marsha Timothy, Maudy Effrosina, Randy Pangalila,
Cecep Arif Rahman, Keanu Azka Briansyah, Jason Bangun & Etc.  

Pengedar:
Astro Shaw

Tarikh Tayangan:
24 November 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang ustaz bernama Qodrat yang berpuluh tahun menggunakan ilmu ruqyah untuk menolong orang namun gagal meruqyah anaknya sendiri iaitu Alif Al-Fatanah yang dirasuki syaitan bernama Assuala. Mencari jawapan atas kegundahannya, Qodrat pulang ke tempatnya menuntut ilmu. Namun, tempat tersebut sudah tidak seperti dulu kerana berlaku gangguan-gangguan yang tidak dapat dijelaskan. Ketika situasi semakin tegang, Qodrat harus berhadapan dengan traumanya ketika meruqyah Alif Amri iaitu anak bongsu kepada Yasmin kerana nama anak tersebut sama dengan arwah anaknya. Kali ini Qodrat harus memilig antara menuruti kemarahannya atau kembali menemukan keimanannya. Saksikan filem paling seram untuk tahun 2022 ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 24 November 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Astro Shaw untuk menonton sebuah filem seram daripada Indonesia yang cukup menyeramkan berjudul Qodrat pada 15 November 2022 yang lepas di TGV One Utama. Memang cukup menakjubkan dimana tahap seram filem ini sememangnya berada di atas puncak sehingga kami boleh katakan naskah ini merupakan filem paling seram yang kami pernah tonton sepanjang tahun 2022 ini.


Filem Qodrat ini berjaya membangunkan sebuah premis yang cukup menarik bermula daripada persoalan tentang kegagalan watak Qodrat gagal merukyah anaknya sendiri  Kemudian naskah ini mengekalkan hal tersebut pada bahagian tengah untuk kita mengetahui intipati kisah tersirat di sebalik peristiwa tersebut sambil dibantu oleh subteks-subteks yang dihidangkan sepanjang visual filem ini berlangsung. Jadi, segala peristiwa yang berlaku di dalam filem ini pada bahagian tersebut berjaya dibina dengan baik dan mendapat kepercayaan daripada penonton untuk mudah tertarik dengan setiap suapan intipati cerita yang dipaparkan di layar kaca.  


Sebagai sebuah filem seram yang berlandaskan agama, filem Qodrat sememangnya tidak dapat lari daripada beberapa perkara klise seperti pengguna ayat-ayat suci dan juga pertembungan antara keimanan manusia dan kebatilan syaitan. Namun, kami melihat penyampaian perkara ini di dalam keseluruhan cerita adalah cukup menarik. Permasalahan yang selalu dilihat berat berjaya disampaikan dengan cara yang cukup ringan dan ianya sangat mudah difahami untuk ditelan oleh penonton. Secara taktikalnya strategi penyampaian yang digunakan untuk penceritaan filem Qodrat ini sangat dekat pada kami dan ianya cukup berhasil untuk menarik perhatian peminat filem seram tempatan.


Menyentuh pula berkaitan aspek mahu pun ciri-ciri seram yang patut ada dalam sebuah filem seram, filem Qodrat dilihat hampir sempurna kerana memenuhi kriteria filem seram yang dicari penonton masa kini. Perkara-perkara yang asalnya klise berjaya disampaikan dengan cara tersendiri. Kami melihat pihak produksi filem ini bijak mengambil pendekatan untuk memanfaatkan elemen seram yang dekat dengan rakyat nusantara dan ianya sangat berkesan di dalam menimbulkan rasa seram yang berbekas agak lama pada setiap adegan seram yang wujud di dalam filem ini. Dibantu pula oleh teknik solekan ngeri yang cukup meyakinkan, permainan cahaya yang hebat serta muzik latar yang kena dengan suasana telah membuatkan filem ini layak digelar filem paling seram untuk tahun ini.


Secara keseluruhannya, filem Qodrat merupakan sebuah filem seram komersial yang menampilkan hampir semua elemen yang diingini oleh penonton marhaen iaitu seram, aksi, humor dan kejutan yang tidak henti-henti. Mujur setiap elemen ini bijak disusun dan disampaikan untuk membuatkan penonton seperti kami tidak lelah tetapi teruja menonton filem ini sehingga akhir. Jadi, kami merasakan sebagai peminat filem seram adalah sangat rugi jika anda tidak mengambil peluang ini menonton filem Qodrat di pawagam kerana karya ini memang wajib ditonton pada tahun 2022. 


Jadi, selamat menonton filem Qodrat yang ditayangkan bermula pada 24 November 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Amat jarang filem seram mendapat review tinggi dari Hans. Jika telah direkemen, wajib tonton ni. Terima Kasih Hans...

    BalasPadam
    Balasan
    1. saya suka filem Qodrat ini sebagai sebuah filem seram yang berjaya menyeramkan saya :)

      Padam